Bangladesh Minta Malaysia Tangkap Bekas Diplomatnya Atas 'Penglibatan' Kes Pembunuhan Tahun 1975

Sumber dalam kerajaan Malaysia berkata bahawa bekas diplomat itu ditahan awal minggu ini kerana visa tamat tempoh.
Muzliza Mustafa, Nisha David & Kamran Reza Chowdhury
2022.02.11
Kuala Lumpur & Dhaka
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Bangladesh Minta Malaysia Tangkap Bekas Diplomatnya Atas 'Penglibatan' Kes Pembunuhan Tahun 1975 Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina (tengah) mendengar penerangan dari seorang pegawainya sebelum memberi ucapan pada perhimpunan ulangtahun ke- 22 pembunuhan empat bekas pemimpin Awami League yang ditembak di penjara Dhaka pada tahun 1975. Gambar dirakam di Dhaka pada 3 Nov, 1997.
[Reuters]

Seorang bekas diplomat Bangladesh yang ditangkap di Malaysia minggu ini telah ditahan atas permintaan oleh Dhaka "atas penglibatan" beliau dalam pembunuhan empat bekas menteri dalam penjara negara itu pada tahun 1975, kata Menteri Dalam Negeri Asaduzzaman Khan Kamal pada Jumaat.

Pegawai Malaysia pula menyatakan bahawa M. Khairuzzaman, bekas pesuruhjaya tinggi Bangladesh ke Malaysia, telah ditahan pihak berkuasa kerana tinggal selepas tamat tempoh visanya - walaupun diplomat itu merupakan pemegang kad pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) dan menetap di Kuala Lumpur sejak lebih satu dekad yang lalu.

"Ya, kami telah membuat permohonan kepada kerajaan Malaysia supaya menangkap Khairuzzaman atas penglibatannya dalam kes pembunuhan di penjara itu," kata Asaduzzamn, yang merupakan Menteri Dalam Negeri Bangladesh kepada BenarNews.

"Kami akan meneruskan usaha untuk membawanya pulang."

Khairuzzaman sebelum ini telah dibebaskan daripada kes sensasi tersebut pada tahun 2004, ketika Bangladesh dipimpin oleh parti politik yang merupakan seteru utama kepada parti pemerintah hari ini. Pihak berkuasa di Dhaka pada Khamis berkata bahawa kerajaan pimpinan Awami League sedang mempertimbangkan untuk membuka semula kes pembunuhan tersebut terhadap Khairuzzaman sekiranya beliau dihantar pulang.

Sumber kerajaan Malaysia berkata bahawa Khairuzzaman yang kini berada dalam tahanan Jabatan Imigresen telah ditangkap walaupun mempunyai kad agensi pelarian UNHCR.

"Beliau ditahan di bawah Seksyen 51(b) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana tinggal melebihi tempoh," kata sumber yang bercakap dengan BenarNews dengan syarat identitinya tidak didedahkan disebabkan sensitiviti isu tersebut.

Buat masa ini, tiada sebarang maklumat sama ada bekas diplomat itu akan diekstradisi ke Bangladesh. Menteri Dalam Negeri Malaysia pada Khamis menyatakan bahawa penahanan Khairuzzaman telah dibuat mengikut lunas undang-undang negara.

UNHCR ketika dihubungi enggan mengesah atau menafikan sama ada Khairuzzaman atau wakilnya telah menghubungi agensi itu untuk mendapatkan bantuan.

"Bagi tujuan perlindungan dan kerahsiaan, UNHCR tidak boleh memberikan komen mengenai butiran setiap kes," kata seorang jurucakap UNHCR di Kuala Lumpur.

Khairuzzaman, seorang anggota tentera yang kemudiannya dilantik menjadi duta, terbabit dalam kancah kekacauan yang berlaku susulan satu rampasan kuasa oleh tentera di Bangladesh pada Ogos 1975, yang menyaksikan pengasas Bangladesh Sheikh Mujibur Rahman dibunuh. Sheikh Mujibur Rahman juga adalah bapa kepada Perdana Menteri Bangladesh hari ini, Sheikh Hasina.

Khairuzzaman dan beberapa orang anggota tentera lain didakwa telah membunuh empat pemimpin yang mengasaskan Bangladesh - Syed Nazrul Islam, Tajuddin Ahmad, M. Mansur Ali and A.H.M. Quamruzzaman - dalam Penjara Pusat Dhaka pada November 1975. Kejadian tersebut berlaku selepas pembunuhan Sheikh Mujibur Rahman.

Selepas 29 tahun, ketika Bangladesh dipimpin oleh sebuah parti politik yang kini telah menjadi parti pembangkang, sebuah mahkamah telah membebaskan Khairuzzaman daripada pembabitan dalam kejadian pembunuhan tersebut. Pihak pendakwaan tidak merayu keputusan mahkamah pada ketika itu.

Beliau yang dibebaskan pada 2004, telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Kementerian Hal Ehwal Luar dalam kerajaan gabungan pimpinan Perdana Menteri Khaleda Zia, yang merupakan seteru Sheikh Hasina.

Khairuzzaman telah berkhidmat sebagai diplomat di Kuala Lumpur ketika Hasina kembali berkuasa pada 2009. Selepas diarahkan kembali ke Dhaka, beliau memilih untuk tinggal di Malaysia dan menerima kad pelarian daripada UNHCR.

Kerajaan perlu beri sebab kukuh

M. Shahriar Alam, Menteri Hal-Ehwal Luar Bangladesh pada Khamis berkata bahawa kerajaan negara itu bercadang untuk meneliti mengenai penglibatan Khairuzzaman dalam pembunuhan pada 1975, termasuk kemungkinan untuk ia dibuka semula.

"Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Undang-Undang akan bersama-sama meneliti sekiranya terdapat peluang untuk membuka kembali kes terhadap beliau [Khairuzzaman] atau apa-apa langkah yang boleh diambil selepas ini."

Di Bangladesh, Jyotirmoy Barua, seorang peguam di Mahkamah Tinggi, memberitahu BenarNews bahawa kerajaan negara itu perlu menunjukkan sebab yang kukuh sekiranya ia mahu merayu keputusan yang dibuat mahkamah lebih sedekad yang lalu.

"Menurut undang-undang Bangladesh, rayuan mesti dibuat dalam tempoh 30 hari selepas keputusan penghakiman mahkamah dikeluarkan. Tetapi kerajaan tidak berbuat demikian terhadap keputusan yang membebaskan Khairuzzaman," kata Jyotirmoy.

"Sekiranya kerajaan mahu merayu keputusan yang dibuat mahkamah lebih 17 tahun lepas, ia perlu memberikan sebab-sebab munasabah mengenai kelewatan itu. Sekiranya Mahkamah Tinggi menerima penjelasan dari kerajaan, barulah kerajaan dapat membuat rayuan terhadap keputusan tersebut."

Sebuah kumpulan peguam yang memperjuangkan hak asasi di Malaysia pada Jumaat menggesa kerajaan supaya membebaskan Khairuzzaman, menyatakan bahawa beliau adalah pelarian politik dan akan berhadapan layanan tidak berperikemanusiaan sekiranya dihantar pulang ke Bangladesh.

"Tidak kira apa pun sebab penahanan beliau, yang mana enggan didedahkan oleh Menteri Dalam Negeri, status Khairuzzaman sebagai pelarian mesti mengecualikan beliau daripada dihantar pulang. Sebagai pelarian politik, tidak syak lagi bahawa Khairuzaman akan menghadapi kesan buruk jika beliau dihantar pulang ke Bangladesh," kata kumpulan Lawyers for Liberty dalam satu kenyataan.

"Satu perkara lagi yang perlu diambil kira ialah badan-badan antarabangsa telah merekodkan banyak kejadian pembunuhan, kehilangan, penangkapan dan penahanan yang dibuat secara sewenang-wenangnya, serta perbicaraan yang hanya dibuat sebagai wayang politik yang berakhir dengan hukuman mati di Bangladesh," kata Zaid Malek, Ketua Penyelaras kumpulan tersebut.

Beliau menggesa supaya Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia supaya menghormati amalan hak asasi manusia antarabangsa dalam kes seumpama itu.

"Khairuzzaman mesti dilepaskan dari tahanan dengan segera, dan diberikan perlindungan yang sewajarnya sebagai seorang pelarian politik," kata Zaid lagi.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh