AS: Goldman Sachs, Subsidiari Di Malaysia Bayar Denda AS$2.9 Bilion Kes Rasuah 1MDB

Staf BeritaBenar
Washington
2020-10-22
Share
201022-MY-US-goldman-620.jpg Pemangku Penolong Peguam Negara AS Brian Rabbitt (tengah) menyatakan tentang pengakuan bersalah dan perjanjian Goldman Sachs untuk membayar lebih AS$2.9 bilion bagi pertuduhan yang berkaitan dengan 1MDB Malaysia, dalam satu sidang berita di Washington, 22 Oktober 2020.
(AP)

Bank pelaburan Wall Street Goldman Sachs dan subsidiarinya di Malaysia bersetuju membayar lebih AS$2.9 bilion setelah mengaku bersalah atas pertuduhan persekutuan di Amerika yang berkaitan dengan beberapa rasuah berkaitan dengan rampasan wang berbilion dolar daripada 1MDB iaitu dana pelaburan kerajaan Malaysia, kata pegawai di Washington pada Khamis.

Bank itu mengaku berkonspirasi melanggar Akta Amalan Rasuah Asing (FCPA). Pegawai Jabatan Kehakiman AS berkata Goldman Sachs membayar rasuah lebih AS$1 bilion kepada pegawai Malaysia dan Abu Dhabi dengan, sebagai gantinya, memperoleh peranan untuk menaja jamin kira-kira AS$6.5 bilion dalam tiga perjanjian bon untuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“1MDB ditubuhkan untuk memacu inisiatif strategik bagi pembangunan ekonomi jangka panjang Malaysia. Goldman Sachs hari ini mengakui bahawa sebanyak AS$1 bilion yang diperuntukkan untuk membantu rakyat Malaysia sebenarnya telah dialihkan dan digunakan untuk memberi rasuah kepada para pegawai Malaysia dan Abu Dhabi bagi mendapatkan perniagaan mereka,” kata Ejen Khas Ryan L. Korner dari Siasatan Jenayah Hasil Dalam Negeri  Pejabat Los Angeles dalam kenyataan media.

"Pengakuan bersalah hari ini menunjukkan bahawa undang-undang adalah tertakluk kepada semua orang, termasuk bank pelaburan besar seperti Goldman Sachs."

Anak syarikat Goldman Sachs, GS Malaysia mengaku bersalah melakukan konspirasi untuk melanggar peruntukan anti-rasuah FCPA, kata pegawai DoJ.

Pegawai AS mendapati pegawai bank itu tidak melaksanakan tugas yang sepatutnya semasa berurusan dengan 1MDB.

"Goldman seterusnya mengakui bahawa terdapat isyarat amaran semasa proses urus niaga itu dan selepasnya - termasuk tetapi tidak terhad kepada penglibatan Low - yang tidak diendahkan atau hanya ditangani secara sedikit sehingga urus niaga itu diluluskan dan Goldman dapat meneruskan perniagaan dengan 1MDB,” kata DoJ dalam kenyataan media itu.

"Hasil daripada perbuatan itu, Goldman menerima kira-kira $606 juta dalam bentuk yuran dan pendapatan, serta meningkatkan kedudukan dan kehadirannya di Asia Tenggara."

Kenyataan itu merujuk kepada pembiaya kewangan dalam buruan, Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low. Low yang diburu pihak berkuasa antarabangsa menghadapi pertuduhan jenayah di Malaysia kerana didakwa terlibat dalam menggelapkan berbilion dolar dari 1MDB semasa menjadi penasihat kewangan untuk bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Pada Oktober 2018, kerajaan AS membuat pertuduhan terhadap pegawai bank Goldman Sachs Ng Chong Hwa (juga dikenal sebagai Roger Ng) dan Tim Leissner dengan mendakwa mereka menyembunyikan tentang kerjasama mereka dengan Low daripada majikan mereka. Leissner mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang berkaitan dengan pengubahan wang haram manakala Ng ditangkap di Malaysia dan menghadapi pertuduhan jenayah di sana dan di AS dengan para pegawai menyatakan bahawa dia akan dibicarakan pada  Mac 2021.

Najib, yang menubuhkan 1MDB pada 2009 ketika menjadi perdana menteri dan menteri kewangan dengan matlamat seolah-olah ia akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia, disabitkan kesalahan pada Julai dan dijatuhi hukuman 12 tahun atas pertuduhan menerima RM42 juta (AS$9.67 juta) secara tidak sah daripada anak syarikat 1MDB.

Pendakwa raya Malaysia dan AS mendakwa bahawa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (RM18.8 bilion) telah diselewengkan daripada 1MDB dan dialihkan melalui pemerolehan hartanah, karya seni dan harta mewah oleh Najib dan rakan-rakan sekutunya termasuk Low. DoJ menyifatkan 1MDB sebagai "skandal kleptokrasi paling buruk sejak sekian lama."

Bekas perdana menteri itu, yang menghadapi sejumlah 42 pertuduhan jenayah yang berkaitan 1MDB,  sedang dibicarakan bagi pertuduhan yang khusus berkaitan 1MDB. Perbicaraan itu ditangguhkan sehingga 27 Okt kerana pandemik COVID-19 dan beliau berdepan dua lagi perbicaraan bagi pertuduhan lain.

Beberapa hari sebelum Najib disabitkan kesalahan pada 28 Julai lalu, Goldman Sachs dan kerajaan Malaysia mengumumkan perjanjian penyelesaian berjumlah AS$3.9 billion (RM16.6 billion) yang membawa kepada pengguguran pertuduhan jenayah Malaysia terhadap firma Wall Street itu.

Pada Khamis, pegawai AS menyatakan pembayaran AS$2.9 bilion itu adalah sebahagian daripada penyelesaian yang diselaraskan dengan pihak berkuasa di AS, United Kingdom, Singapura dan negara-negara lain.

Ketua Goldman Sachs pada lewat Khamis mengeluarkan kenyataan  kepada semua pekerja bank itu di New York. Firma itu turut mempunyai cawangan di seluruh dunia.

"Ini adalah satu proses yang panjang dan kita berasa gembira untuk melepaskannya pergi. Tetapi, kita akan mengambil iktibar daripada pengalaman ini,” kata David M. Solomon, pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif firma itu dalam kenyataannya yang disiarkan di laman web Goldman Sachs.

"Saya telah memikirkan dengan mendalam tentang peranan kita dalam urus niaga 1MDB dan mempertimbangkan dengan teliti hasil siasatan itu. Hampir dua tahun yang lalu, saya memberitahu anda semua bahawa kewajipan kita adalah untuk sentiasa bermuhasabah dan menilai diri kita. Ia kini menjadi lebih penting berbanding hari ini.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh