Kuala Lumpur Tuan Rumah Rundingan Damai Kerajaan Thailand dan Pemberontak Selatan
2015.08.25

Delegasi Kerajaan Thailand yang diketuai oleh Jen. Aksara Kerdpol telah mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil dari Majlis Amanah Rakyat Patani (MARA Patani) untuk mencari jalan penyelesaian bagi konflik di selatan negara itu di sebuah ‘Rumah Selamat Polis’ di Kuala Lumpur pada Selasa, sumber yang boleh dipercayai berkata.
"Secara umum, rundingan itu berlangsung selama empat jam dan berjalan dengan lancar seperti biasa. Kedua-dua pihak nampaknya mempercayai satu sama lain. Ini sememangnya baik untuk proses damai di Deep South, " sumber yang rapat dengan kumpulan pemberontak di selatan Thailand memberitahu BeritaBenar dari pengkalannya di Malaysia.
Sesi dialog tersebut diadakan selepas beberapa sesi dialog tertutup yang diadakan pada April dan Jun lalu. Sesi dialog kali ini dilihat sebagai petanda positif dalam membina momentum rundingan damai yang digerakkan oleh Malaysia.
Tiga cadangan
Timbalan Pengarah Pusat Penyelaras Operasi Ke-5 Perintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri Thailand Mej. Jen. Nakrob Boonbuathong yang juga merupakan sekretariat rundingan damai itu berkata, “terdapat banyak maklumat yang dibincangkan secara umum, dan pada dasarnya kami bersetuju dengan tiga cadangan tersebut"
Kerajaan Thailand membuat tiga cadangan pada Selasa: kedua-dua pihak perlu mewujudkan "zon keselamatan" dan berhenti bermusuhan di selatan Thailand; pembangunan ekonomi yang didorong oleh penduduk majoriti Islam dibenarkan berkembang; dan 'keadilan untuk semua’ dengan menghentikan pembunuhan di luar undang-undang,” katanya selepas sesi dialog tertutup di Kuala Lumpur.
Kawasan selatan Thailand meliputi wilayah Patani, Narathiwat dan Yala, serta empat daerah di wilayah Songkhla.
Nakrob berkata, MARA Patani menuntut kerajaan Thailand memberi keutamaan kepada Deep South sebagai agenda kebangsaan; mengiktiraf MARA Patani sebagai sebuah organisasi yang sah; dan memastikan keadilan yang saksama bagi penduduk yang tinggal di wilayah bergolak itu.
"Kami menerima MARA Patani sebagaimana yang telah dibincangkan dengan mereka," kata Maj. Jen. Nakrob.
Konflik berdarah selama sedekad ini telah menyebabkan lebih 6,000 nyawa terkorban dan lebih 10,000 yang lain tercedera, kebanyakannya melibatkan orang awam.
Lima kumpulan hadir
MARA Patani ditubuhkan pada 25 Okt 2014 oleh Barisan Revolusi Nasional (BRN). Pada Mac lalu ia membuka peluang kepada organisasi perjuangan Patani yang lain untuk menyertainya supaya ada satu organisasi yang utama menentukan hala tuju perjuangan mereka. Ini termasuk menetapkan tuntutan bersama dalam rundingan damai dengan pihak kerajaan Thai.
Menurut sumber tersebut, rundingan pada Selasa dihadiri oleh lima daripada enam kumpulan pemberontak; Barisan Islam Pembebasan Patani (BIPP), Barisan Revolusi Nasional (BRN), Gerakan Mujahideen Islam Patani (GMIP) dan dua kumpulan dalam Patani United Liberation Organization (PULO).
PULO P4, lebih dikenali di Thailand sebagai "PULO lama," yang diketuai oleh Samsuding Khan, telah menarik diri daripada perbincangan selepas dua rundingan awal pada Jun lepas, tambah sumber itu.
Kumpulan itu juga dipercayai sudah tidak aktif sejak beberapa tahun lepas, kata seorang pemerhati.
Para pegawai Thailand berkata, rundingan tertutup itu membina asas bagi rundingan awam yang mungkin diadakan pada akhir tahun ini atau pada awal 2016.
Kerajaan Thailand telah memberi mandat kepada Malaysia untuk menjadi fasilitator berdasarkan persetujuan yang ditandatangani pada 28 Februari 2013.
Ketua Fasilitator Rundingan, Ahmad Zamzamin Hashim memberitahu BeritaBenar pada Isnin, Malaysia sangat berharap dialog tertutup itu dapat mewujudkan keakraban dan kerjasama di antara kerajaan Thailand dengan Mara Patani.
“Rundingan ini merupakan satu usaha untuk bergerak kehadapan oleh semua pihak yang bertelagah, memandangkan rundingan masih di peringkat awal,
"Bagaimanapun, Malaysia tetap yakin bahawa rundingan ini akan dapat mencapai sesuatu kerana semua pihak kini bersedia untuk menyambung semula rundingan disebalik pelbagai insiden yang masih berlaku di selatan Thailand," katanya sambil menambah, Malaysia hanya memainkan peranan sebagai pemudah-cara tetapi kejayaan rundingan bergantung sepenuhnya kepada pihak-pihak yang berkepentingan.
Proses rundingan terhenti pada Disember 2013 apabila kerajaan Thai pada masa itu menolak lima tuntutan yang dibuat oleh Ketua Perunding Hassan Toyib yang antara lain menuntut kedaulatan bagi kesemua wilayah di selatan negara itu selain memperakui kewujudan “Patani Negara Melayu”.
Faktor lain yang menyumbang kepada terhentinya proses rundingan itu ialah kegawatan politik di Thailand sehingga membawa kepada rampasan kuasa oleh tentera pada Mei 2014.
Gerakan pemisah di selatan Thai yang wujud sejak 1959 aktif di wilayah Patani, Yala, Narathiwat dan Songkla dengan matlamat untuk mendapat kemerdekaan dari Bangkok.
Gerakan ini mula melancarkan pemberontakan bersenjata sejak 1970an yang menjadi semakin agresif pada awal tahun 2004 sehingga kini.
Hata Wahari menyumbang kepada laporan ini.