Polis Terima Laporan Kes Penipuan Kontrak Kerajaan Bernilai RM2.3 Juta

Hadi Azmi
2019.02.26
Kuala Lumpur, Malaysia
190226-my-defence620.jpg Pegawai Tugas Khas Menteri Pertahanan Malaysia, Rafizal Ali bercakap kepada pemberita selepas memfailkan laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju di Kuala Lumpur, 26 Februari, 2019.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Pihak berkuasa Malaysia mengesahkan pada Selasa telah menerima laporan polis daripada wakil menteri berhubung penipuan kontrak Kementerian Pertahanan bernilai lebih 2.3 juta ringgit (AS$570,000), yang membabitkan dua syarikat tempatan, demikian kata pegawai polis Kuala Lumpur.

Ketua Polis Balai Wangsa  Maju, Noor Azmi Yusoff semasa dihubungi BeritaBenar mengesahkan yang pihaknya sudah menerima laporan polis itu daripada pegawai tugas khas Menteri Pertahanan, Rafizal Ali yang mewakili menteri tersebut dan siasatan mengenainya akan dibuat segera.

“Kami telah terima laporan daripada wakil pihak Kementerian Pertahanan dan siasatan akan dilakukan dibawah Seksyen 420 dan 511 Kanun Keseksaan,” kata Noor Azmi.

Laporan tersebut dibuat oleh Rafizal pada Selasa, ekoran penemuan dua kontrak perolehan palsu yang tertera dengan tandatangan dan persetujuan oleh Menteri Pertahanan Mohamad Sabu yang dinafikan oleh Menteri tersebut.

“Tujuan laporan polis ini dibuat adalah kerana bimbang wujudnya pihak tertentu yang cuba menggunakan nama Menteri dan Kementerian Pertahanan tanpa kebenaran bagi tujuan menipu untuk mendapatkan keuntungan,” kata Rafizal kepada media lepas membuat laporan polis itu.

Beliau memberitahu bahawa sepucuk surat bertarikh 9 Dis 2018 daripada Nasa Setia Enterprise yang berdaftar di Kelantan cuba untuk memperolehi sokongan daripada menteri untuk mendapat kontrak membekalkan peralatan perabot kepada Angkatan Tentera Malaysia bernilai 2.3 juta ringgit.

“Setelah meneliti dan mendapatkan maklumat daripada pihak berkaitan, ingin ditegaskan bahawa Menteri Pertahanan tidak pernah mengeluarkan sebarang sokongan kepada syarikat tersebut.

“Tandatangan, cop rasmi serta nota arahan seperti yang tertera pada surat adalah bukan daripada Yang Berhormat [YB] Menteri atau Pejabat YB Menteri,” kata Rafizal kepada pemberita di perkarangan balai polis Wangsa Maju di ibunegara itu.

Menurut Rafizal, surat pertama itu juga mengandungi arahan yang mendakwa menteri mengarahkan pihak kementerian untuk menguruskan permohonan syarikat tersebut bagi Kelantan dan Perak “sehingga selesai”.

Dalam surat kedua yang bertarikh 17 Jan mendakwa pihak Bahagian Perbendaharaan dan Audit, Jabatan Angkatan Tentera Laut sebagai mengeluarkan tawaran kontrak kepada TMJ Mesra Travel & Tours yang berdaftar di Sungai Petani, Kedah untuk membekalkan bas dan kenderaan di markas-markas tentera untuk tempoh lima tahun berakhir Februari 2024.

Rafizal bagaimanapun tidak dapat mendedahkan jumlah yang ditawarkan dalam surat tersebut.

“Ingin ditegaskan bahawa tiada surat tawaran seperti dalam surat tersebut dikeluarkan oleh pihak berkenaan,” kata pegawai khas itu sambil menegaskan bahawa surat serta projek-projek yang disebut di dalamnya adalah palsu dan direka-reka.

Bercakap kepada BeritaBenar, Rafizal berkata pihak kementerian telah sejak beberapa bulan lepas pernah mendengar khabar angin berkaitan kewujudan surat-surat sedemikian namun buat pertama kali pihaknya berjaya mendapat bukti fizikal.

“Kami yakin ada lagi kes-kes lain seperti ini, tetapi kes ini merupakan kali pertama kami mendapat bukti secara hitam putih,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata pihak Kementerian Pertahanan belum bercadang untuk menubuhkan sebarang jawatankuasa dalaman untuk menyiasat penipuan yang terjadi itu.

“Buat masa ini kita cuma akan lihat secara case-by-case,” tambahnya.

Dakwaan penipuan surat itu timbul hasil maklumat daripada dua individu yang tidak dinamakan yang merupakan entiti luar kementerian dan memberitahu mengenai maklumat berhubung perkara tersebut sehingga membawa kepada penemuan surat-surat berkenaan.

“Kami telah serahkan semuanya kepada polis, jadi sekarang biarlah polis melakukan siasatan selanjutnya,” kata Rafizal.

Sementara itu, Noor Azmi semasa diminta mengulas lanjut mengenai laporan polis itu bagaimanapun enggan berbuat demikian kerana katanya perkara tersebut dibawah siasatan.

Di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan, mana-mana individu yang cuba melakukan penipuan boleh dipenjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebatan. Individu terlibat juga boleh didenda dengan jumlah yang ditentukan oleh mahkamah.

Usaha BeritaBenar untuk menghubungi kedua-dua syarikat yang dinamakan oleh Kementerian Pertahanan dalam laporan polis itu gagal.

Minggu lalu Kementerian Pertahanan membuat satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dua projek kem tentera yang melibatkan perjanjian pertukaran hak milik tanah berjumlah 4.5 bilion ringgit [AS$1.15 bilion].

Laporan itu dibuat oleh pegawai tugas khas Menteri Pertahanan, Mohd Nasaie Ismail di ibupejabat SPRM di Putrajaya ekoran hasil siasatan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Siasatan Khas Isu-Isu Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Negara yang dipengerusikan oleh Ambrin Buang melibatkan 16 projek pertukaran tanah milik kementerian tersebut.

Pertukaran tanah melibatkan 16 projek itu merangkumi kira-kira 1,286 hektar tanah milik Kementerian Pertahanan yang melibatkan kos kesemua projek itu sebanyak 4.886 bilion ringgit.

Dua projek itu terletak di Paloh, Johor dan Hutan Melintang, Perak dengan kedua-dua projek berkenaan dijalankan oleh pihak swasta hasil pertukaran tapak tanah kem tentera di Kinrara, Selangor dan Rasah, Negeri Sembilan.

Siasatan itu mendapati sebahagian besar perjanjian pertukaran hak milik tanah tersebut dilakukan tanpa perancangan teliti dan usaha wajar.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu terdahulu memberitahu media bahawa terdapat campurtangan politik dari pihak-pihak tertentu berhubung perjanjian tersebut.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.