1MDB: Firma Audit Antarabangsa Setuju Bayar Pampasan AS$80 Juta Kepada Malaysia
2021.03.03
Kuala Lumpur
Firma audit antarabangsa Deloitte PLT telah bersetuju untuk membayar penyelesaian berjumlah AS$80 juta (324 juta ringgit) bagi menyelesaikan kesemua tuntutan berkaitan pengauditan ke atas akaun syarikat 1Malaysia Development Berhad, dana pelaburan negara yang terpalit dengan skandal rasuah, demikian menurut Kementerian Kewangan Malaysia pada Rabu.
Pada hari yang sama polis Malaysia turut mengumumkan bahawa mereka sedang menyiasat seorang lelaki yang didakwa mempunyai hubungan kekeluargaan dengan bekas gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar atas dakwaan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB.
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata penyelesaian dengan Deloitte menandakan satu lagi kejayaan yang dicapai kerajaan Malaysia dalam usahanya mendapatkan semula dana dan aset dari pihak-pihak dalam 1MDB, anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd and lain-lain entiti yang berkaitan antara 2011 sehingga 2014.
"Kementerian Kewangan ingin mengumumkan bahawa Deloitte PLT (“Deloitte”) telah bersetuju dengan suatu penyelesaian bernilai RM324 juta (USD80 juta) untuk menyelesaikan semua tuntutan yang berkaitan dengan tanggungjawab fidusiari mereka di dalam pengauditan akaun 1MDB dan SRC International Sdn Bhd (SRC) bagi tempoh 2011 - 2014.
"Ini merupakan satu lagi kejayaan dalam usaha pemulihan berterusan Kerajaan Malaysia terhadap pihak yang terlibat dalam 1MDB, SRC dan entiti yang berkaitan dengannya.
"Kerajaan Malaysia bertekad untuk memastikan bahawa tindakan sewajarnya diambil terhadap semua individu atau entiti yang terlibat, secara langsung atau tidak langsung di dalam skim global 1MDB," menurut Tengku Zafrul dalam kenyataan media yang dikeluarkan Putrajaya pada Rabu.
Beliau turut menambah bahawa penyelesaian dengan Deloitte mewakili penyelesaian terbesar dengan firma audit di Asia Tenggara berkait 1MDB.
"Kejayaan penyelesaian luar mahkamah dengan Deloitte akan mempercepatkan pembayaran wang penyelesaian tersebut untuk memenuhi kewajiban tertunggak 1MDB dan SRC, tanpa proses mahkamah yang mungkin berpanjangan dan mahal," kata beliau.
Menurut rekod, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pernah menyaman Deloitte sebanyak RM2.2 juta (AS$543 juta) pada tahun 2019 kerana gagal untuk melaporkan aktiviti yang menyimpang berkaitan sukuk yang dikeluarkan oleh syarikat berkait dengan 1MDB.
Firma audit itu cuba untuk membatalkan denda tetapi gagal.
Pada Julai tahun lalu, Putrajaya telah berjaya berunding dengan satu lagi firma audit terkenal Goldman Sachs untuk penyelesaian berjumlah AS$3.9 billion (RM15.8 bilion).
Selepas itu pada 26 Feb, kerajaan sekali lagi berjaya mendapatkan persetujuan penyelesaian dari sebuah kumpulan bank dalam negara - AMMB Holdings Bhd (AmBank) dimana bank berkenaan bersetuju untuk membayar sebanyak AS$700 juta (RM2.83 bilion) dalam penyelesaian dengan kerajaan Malaysia atas keterlibatannya dalam skandal 1MDB.
Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan Ambank pada 1 Mac lalu turut mengesahkan perjanjian penyelesaian dengan Kementerian Kewangan berkaitan skandal 1MDB, selepas kenyataan memaklumkan mengenainya dikeluarkan oleh Kementerian berkenaan.
Tengku Zafrul berkata penyelesaian-penyelesaian ini tidak akan mempengaruhi atau menjejaskan tuntutan kerajaan terhadap individu seperti ahli perniagaan dalam pelarian Low Taek Jho (Jho Low) yang merupakan watak utama dalam skandal 1MDB dan parti-parti berkepentingan yang lain.
Low menafikan sebarang salah laku berkaitan 1MDB.
Malaysia dan pihak pendakwaraya di Amerika Syarikat mendakwa bahawa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (RM18.8 bilion) telah dicuri dari 1MDB dan diselewengkan melalui pembelian hartanah, lukisan dan aset mewah oleh bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dan rakan sekutunya.
Najib menubuhkan 1MDB pada 2009 ketika beliau menjadi Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan dengan penubuhan 1MDB adalah sebagai satu langkah inisiatif strategik untuk mewujudkan dana kekayaan negara.
Najib menafikan salah laku berkaitan 1MDB dan sekarang ini memfailkan rayuan selepas didapati bersalah menerima RM42 juta (AS$9.67 juta) dari anak syarikat 1MDB-SRC.
Anak tiri Najib, Riza Aziz dibebaskan mahkamah selepas berjaya dalam rundingan dengan pihak pendakwaraya di mana lelaki berusia 44 tahun itu berjanji untuk mendapatkan semula lebih AS$100 juta wang yang dicuri dari dana 1MDB sebagai balasan bagi penguguran lima pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan AS$248 juta (RM1 bilion) pada Mei tahun lepas.
Ahli keluarga bekas gabenor Bank Negara disiasat
Pihak Polis Malaysia juga turut mengumumkan yang satu kertas siasatan telah dibuka ke atas Tawfiq Ayman di bawah Akta Pencegahan Wang Haram berhubung penerimaan dana yang dikaitkan dengan 1MDB ke dalam akaun bank miliknya di Singapura.
Walaupun tiada pengesahan dari pihak berkuasa, carian di internet berkaitan Zeti menunjukkan bahawa beliau mengahwini seorang lelaki bernama Tawfiq Ayman dan mempunyai dua orang anak.
Nama suami Zeti sama dengan nama yang disiarkan oleh polis Malaysia dalam satu kenyataan pada Rabu tetapi tidak dapat disahkan jika individu tersebut yang mempunyai kesamaan nama adalah orang yang sama walaupun media tempatan menggelarkan individu itu sebagai suami kepada Zeti.
"Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis DiRaja Malaysia mengesahkan siasatan masih dijalankan terhadap Dato' Dr. Tawfiq Ayman di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 berhubung penerimaan dana yang dikaitkan dengan 1MDB dalam akaun bank miliknya di Singapura," kata Pengarahnya Zainuddin Yaacob dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Polis Bukit Aman pada Rabu.
Zati bersara dari jawatan gabenor pada April 2016.
Menurut Zainuddin disebabkan siasatan tersebut melibatkan proses di dalam dan luar negara, maka satu permohonan perlu dibuat bagi membolehkan anggotanya mendapatkan data di luar negara.
"Memandangkan kes ini melibatkan pengambilan keterangan di Malaysia dan luar negara, PDRM sedang mengambil tindakan susulan di bawah Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah (Mutual Assistance in Criminal Matters Act 2002) bagi mendapatkan keterangan di luar negara.
Zainuddin meminta semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu sehingga siasatan selesai dan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.
Siasatan polis hadir selepas perkara itu dilaporkan media tempatan bahawa bahagian komersil Polis Singapura telah memaklumkan Bank Negara Malaysia berkaitan transaksi meragukan melibatkan bank akaun UBS milik Iron Rhapsody Ltd yang dimiliki oleh Tawfiq Ayman.
Syarikat itu dikatakan telah menerima AS$16.22 juta (RM65.71 juta) dari lima transaksi berasingan dari syarikat dan akaun bank milik Jho Low pada 2008 dan 2009.
Menurut laporan tempatan, dana dalam empat transaksi melibatkan lebih RM600 juta (AS$148 juta) keuntungan yang dilakukan oleh Jhow dan rakan-rakan dari bon 1MDB/TIA (Terengganu Investment Authority) bernilai RM5 bilion (AS$1.23 bilion) yang diuruskan oleh Ambank pada 2009.
Media tempatan The Edge pula melaporkan bahawa Tawfiq dan Jho Low dikatakan pernah menjadi rakan niaga dalam satu syarikat yang ditubuhkan oleh Low pada Julai 2017 dinamakan Abu Dhabi Kuwait Malaysia (ADKMIC).