Protes Jalanan: Polis KL Tutup Operasi 25 Stesen Keretapi, Rel, Lencong Jalan

Pihak berkuasa menunjukkan corak sistematik dalam usaha menutup suara tidak puas hati rakyat dan boleh lunturkan amalan demokrasi, kata ngo.
Noah Lee & Nisha David
2022.01.21
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Protes Jalanan: Polis KL Tutup Operasi 25 Stesen Keretapi, Rel, Lencong Jalan Anak muda Malaysia berpakaian hitam bergerak ke Dataran Merdeka di Kuala Lumpur untuk mengadakan tunjuk perasaan mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletak jawatan, 31 Julai 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Polis Kuala Lumpur pada Jumaat mengumumkan telah mengambil beberapa tindakan bagi menghalang secara efektif satu demonstrasi jalanan yang dirancang untuk menggesa pihak berkuasa Malaysia menangkap ketua agensi anti-rasuah negara itu yang dikaitkan dengan skandal pembelian jutaan unit saham.

Pasukan keselamatan itu telah merancang menutup buat sementara operasi 25 buah stesen keretapi dan rel di dalam bandaraya Kuala Lumpur serta melencongkan trafik di enam jalan utama menuju pusat bandar, supaya mereka yang mahu menyertai protes dinamakan '#TangkapAzamBaki' itu tidak dapat pergi ke lokasi perhimpunan pada Sabtu.

Polis juga telah mendapatkan perintah mahkamah bagi melarang sebarang perhimpunan di tiga lokasi di bandaraya Kuala Lumpur dalam tempoh satu minggu, dan menyatakan bahawa penganjur protes juga tidak mendapat sebarang kebenaran atau permit mengadakan aktiviti berkenaan.

Langkah pencegahan itu telah memaksa jawatankuasa penganjur protes mengumumkan lokasi baru perhimpunan pada lewat Jumaat, dan menegaskan bahawa mereka akan meneruskan protes secara aman itu.

"Bagi memastikan keselamatan orang ramai dan ketenteraman awam berada pada tahap yang baik, pihak polis akan menjalankan lencongan jalan di sekitar pentadbiran Ibupejabat Polis Daerah Dang Wangi. Setakat ini sebanyak enam jalan yang akan dibuat lencongan.

"Selain daripada lencongan jalan, pengoperasian stesen MRT, LRT, Monorail dan KTM juga akan membuat penghentian sementara pengoperasian bagi beberapa stesen utama di dalam kawasan pentadbiran IPD Dang Wangi," kata Ketua Polis Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya pada satu sidang media yang diadakan pada tengahari Jumaat.

Tindakan berkenaan diambil selepas polis menerima maklumat mengenai penganjuran protes berkenaan, kata pegawai kanan polis itu, dan menegaskan bahawa perbuatan berhimpun serta berarak adalah menyalahi undang-undang yang kini berkuatkuasa bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

Menurut Dellhan, penganjur protes juga tidak membuat sebarang permohonan kepada pihak berkuasa untuk mengadakan himpunan tersebut.

Lencongan jalan serta penutupan operasi stesen pengangkutan awam itu akan bermula jam 11 pagi Sabtu sehingga protes yang dirancang itu berakhir.

Antara jalan utama yang terlibat termasuk Jalan Kuching, Jalan Maharajalela dan Jalan Sultan Ismail manakala stesen-stesen pengangkutan awam yang akan ditutup adalah stesen LRT, MRT, Monorel dan Keretapi Tanah Melayu di sekitar bandaraya.

"Untuk makluman semua juga, Mahkamah telah mengeluarkan perintah untuk menghalang mana–mana pihak bagi mengadakan perhimpunan di tiga lokasi iaitu Dataran Merdeka, Sogo dan Masjid Jamek," kata Dellhan.

Menurut beliau, lebih 1,000 anggota polis juga telah ditugaskan untuk mengawal keadaan pada Sabtu.

Sejak minggu lepas, poster mengajak rakyat Malaysia supaya menyertai perhimpunan di Kuala Lumpur bagi menggesa penangkapan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki telah menjadi tular di media sosial.

Penganjur protes berkenaan kemudiannya mengumumkan melalui Twitter bahawa demonstrasi itu akan bermula di kompleks membeli-belah Sogo di tengah bandaraya Kuala Lumpur pada jam 11 pagi Sabtu, sebelum berarak beramai-ramai ke Dataran Merdeka.

Penganjur protes tersebut yang menggelar diri mereka sebagai Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki dalam satu kenyataan berkata bahawa mereka mahu Azam ditangkap kerana dikatakan telah terlibat banyak salahlaku tetapi tidak dikenakan apa-apa tindakan, dan mendakwa bahawa kerajaan telah gagal mengambil tindakan terhadap pegawai tinggi anti-rasuah itu.

Mereka juga mahu supaya rombakan dibuat terhadap SPRM.

Jawatankuasa itu dalam Tweet terbaru pada Jumaat menyatakan bahawa perhimpunan pada Sabtu disokong lebih 30 buah organisasi bukan kerajaan dan masyarakat sivil, serta 11 buah organisasi politik.

Ia termasuk sayap pemuda parti-parti pembangkang Malaysia seperti Parti Tindakan Demokratik, Parti Amanah Negara dan Parti Keadilan Rakyat serta parti Muda, dan badan-badan sosial seperti Sekretariat Solidariti Rakyat, Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil, Angkatan Belia Islam serta Persatuan Patriot Kebangsaan.

Tukar lokasi

Susulan daripada kenyataan polis mengenai larangan berhimpun, penganjur protes pada lewat Jumaat telah mengumumkan penukaran lokasi ke Stesen LRT Bangsar. Lokasi berkenaan terletak di dalam Kuala Lumpur tetapi di daerah Brickfields, dan berada di luar kawasan yang ditutup oleh pihak berkuasa.

"Melihat kepada situasi ini, kami sebagai rakyat Malaysia yang prihatin tiada pilihan lain kecuali meneruskan dengan gesaan #TangkapAzamBaki pada hari esok jam 11 pagi di bawah Jambatan LRT Bangsar, Jalan Bangsar.

#TangkapAzamBaki yang disokong oleh 33 buah NGO dan 11 buah organisasi politik akan dijalankan secara aman dengan menepati prosedur operasi standard bagi meminimumkan penyebaran wabak COVID-19 serta keselamatan rakyat Malaysia keseluruhannya," kata kenyataan jawatankuasa penganjur.

Mereka turut mengkritik usaha keterlaluan yang diambil oleh polis untuk menghalang protes terhadap ketua SPRM sehingga menutup hampir keseluruhan bandaraya Kuala Lumpur.

Sementara itu, gabungan empat badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak kebebasan bersuara turut mengkritik polis kerana cuba menghalang penganjuran demonstrasi aman.

FOE Group dalam satu kenyataan media berkata mereka terkejut dengan pengumuman lencongan jalan-jalan utama serta penutupan operasi pengangkutan awam di Kuala Lumpur, yang dilihat sebagai berlebihan.

"Pihak berkuasa menunjukkan corak sistematik dalam usaha menutup suara tidak puas hati terutama apabila ia meletakkan kerajaan dalam imej yang tidak baik, dan ini menghalang proses semak dan imbang serta melunturkan amalan demokrasi.

"Kami ingin mengingatkan polis bahawa mereka mempunyai tanggungjawab untuk melindungi hak rakyat untuk bersuara dan berkumpul. Menutup jalan serta menghalang operasi pengangkutan awam adalah perbuatan yang melanggar hak individu kepada amalan kebebasan bersuara.

"Ini juga adalah tindakbalas berlebihan oleh kerajaan terhadap kumpulan serta individu yang mempersoalkan isu kepentingan awam dan bertujuan untuk menggesa institusi awam supaya menjalankan tanggungjawab mereka," kata kumpulan tersebut.

Empat organisasi dalam FOE Group adalah Suara Rakyat Malaysia, Centre for Independent Journalism, Justice for Sisters dan Freedom Film Network.

Kumpulan itu berkata mereka juga akan turut hadir ke lokasi demonstrasi pada Sabtu bagi memantau amalan kebebasan bersuara serta hak untuk berhimpun secara aman, dan melihat bagaimana pihak berkuasa menjalankan tugas mereka semasa perhimpunan berkenaan.

Azam, yang sebelum ini menerajui unit siasatan SPRM, telah dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya agensi itu sebaik sahaja kerajaan Pakatan Harapan tumbang dan Pertubuhan Kebangsaaan Melayu Bersatu (UMNO) kembali berkuasa dan beliau mula menjadi tumpuan media sejak bulan lepas apabila dikaitkan dengan isu pemilikan jutaan unit saham dalam sebuah syarikat senaraian awam.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh