Follow us

Malaysia Kesan Kluster COVID-19 di Depot Tahanan Imigresen

Hadi Azmi & Nisha David
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-05-21
E-mel
Komen
Share
Seorang anggota polis lengkap memakai alat perlindungan mengiringi para migran ke ruang saringan koronavirus di daerah Pudu, Kuala Lumpur selepas 15 kes jangkitan virus itu dikesan di kawasan berdekatan, 15 Mei 2020.
Seorang anggota polis lengkap memakai alat perlindungan mengiringi para migran ke ruang saringan koronavirus di daerah Pudu, Kuala Lumpur selepas 15 kes jangkitan virus itu dikesan di kawasan berdekatan, 15 Mei 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Pegawai-pegawai Malaysia pada Khamis berkata bahawa mereka mengesan kluster koronavirus di depot tahanan Imigresen utama di Kuala Lumpur selepas 35 orang tahanan didapati positif COVID-19, dengan ini merupakan kali pertama pihak berkuasa mengumumkan kes jangkitan tersebut di depot berkenaan.

Sementara itu di Geneva, pelapor khas PBB mengenai hak-hak migran meminta Malaysia menghentikan apa yang disifatkannya sebagai tindakan berterusan terhadap pendatang asing, seleaps beberapa minggu melakukan penahanan dan penangkapan atas nama membendung penyebaran virus tersebut.

Ratusan tahanan asing di depot itu disaring dan mereka yang dijangkiti terdiri daripada 17 warganegara Myanmar, 15 rakyat India serta masing-masing seorang rakyat Bangladesh, Sri Lanka dan Mesir, kata ketua pengarah kesihatan Malaysia Noor Hisham Abdullah.

"Saya ingin memaklumkan bahawa terdapat cluster baru yang dikesan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil. Sehingga tengah hari pada 21 Mei 2020, seramai 645 orang telah diambil sampel.  Daripada jumlah itu, seramai 35 orang didapati positif, 400 orang negatif manakala 210 lagi masih menunggu keputusan,” katanya kepada pemberita pada taklimat harian COVID-19.

Pihak berkuasa telah melaksanakan pelbagai langkah untuk mencegah wabak itu di depot tersebut termasuk melakukan proses nyahkuman, memastikan mereka yang ditempatkan di situ mengamalkan penjarakan social serta sering mencuci tangan, kata Noor Hisham.

Malaysia mempunyai 14 depot tahanan, yang dapat menampung kira-kira 13,000 tahanan. Depot di Bukit Jalil mempunyai kapasiti yang dapat menampung 1,500 orang, kata dua pegawai imigresen Malaysia, yang enggan dikenali kerana mereka tidak dibenarkan bercakap dengan media.

Seramai 35 tahanan yang didapati positif itu berada di depot berkenaan sejak sebelum Malaysia melaksanakan sekatan pergerakan yang dikenali sebagai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac, dan mereka tidak disaring sebelum memasuki depot itu buat pertama kalinya, kata Noor Hisham.

Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan tentang kluster jangkitan itu dua hari selepas Myanmar mengumumkan bahawa sekurang-kurangnya lima rakyatnya didapati positif virus itu setelah dihantar pulang dari Malaysia.

Minggu lalu, Kementerian Luar Negeri Myanmar menyatakan dalam catatan Facebook bahawa seramai 391 pekerja migran Myanmar telah diusir dari Malaysia.

Aung Zaw Min yang merupakan atase buruh di Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur berkata pekerja tersebut terkandas di depot tahanan di Malaysia selama berbulan-bulan lamanya berikutan penangguhan penerbangan dan perintah kawalan pergerakan itu, menurut satu laporan yang diterbitkan pada Isnin oleh The Irrawaddy, akhbar Myanmar.

Noor Hisham berkata saringan itu dilakukan selepas kerajaan  diberitahu bahawa beberapa orang yang dihantar pulang itu didapati positif coronavirus.

"Kami diberitahu tentang hal itu oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara dan kami telah melakukan pemeriksaan dan saringan terhadap mereka yang masih ada di sini. Sebahagian daripada mereka menunjukkan gejala jangkitan itu, ”katanya.

Pihak berkuasa Malaysia masih menyiasat punca jangkitan di Depot Bukit Jalil itu, kata Noor Hisham.

Sejak 1 Mei, Jabatan Imigresen telah melakukan beberapa serbuan yang menyasarkan pendatang asing tanpa dokumen sah dan telah menahan lebih daripada 2.000 orang walaupun terdapat jaminan sebelum ini bahawa pihaknya tidak akan mengambil tindakan terhadap mereka semasa wabak koronavirus.

Mereka yang ditahan akan dihantar pulang ke negara masing-masing setelah menjalani hukuman kerana melanggar undang-undang imigresen negara itu, kata para pegawai.

Dasar Malaysia untuk menahan pendatang tanpa izin semasa krisis kesihatan itu menerima banyak kecaman dan kritikan.

Pada Khamis, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai hak asasi migran Felipe González Morales turut menyuarakan kecamannya.

"Saya khuatir dengan apa yang terjadi di Malaysia selepas sebelum ini kerajaan menunjukkan sikap positif dalam tindakan inklusifnya untuk menangani wabak itu," katanya.

"Tindakan tegas dan kempen kebencian pada ketika ini nyata menjejaskan usaha memerangi wabak tersebut di negara itu,"katanya yang merujuk kepada xenofobia yang disasarkan terhadap migran.

Semasa wabak itu, anggota komuniti pelarian Rohingya di Malaysia juga menjadi sasaran kata-kata kebencian dalam media sosial di negara itu.

"Kami mendesak pihak berkuasa Malaysia supaya tidak melakukan serbuan di kawasan terlibat perintah kawalan pergerakan kerana mahu menahan dan menangkap migran."

Pada Khamis, Malaysia melaporkan 50 kes jangkitan coronavirus yang baru menjadikan jumlah keseluruhan di negara itu sebanyak 7,059 kes. Tidak ada kematian baru yang dilaporkan tetapi 114 orang di negara itu telah meninggal dunia setelah dijangkiti COVID-19.

Lebih 5 juta kes jangkitan itu dikesan di seluruh dunia yang menyebabkan hampir 330,000 kematian, menurut data terbaru yang dikumpulkan oleh pakar penyakit di Johns Hopkins University di Amerika Syarikat.


Lihat Laman Penuh