Malaysia Sambut Baik Pengumuman AS Dakwa Suspek Pengeboman Bali

Dalam pada itu, seorang peguam bela Indonesia berpendapat bahawa suspek pengebom Bali harus dibicarakan di negara itu.
Muzliza Mustafa, Noah Lee & Ronna Nirmala
2021.01.22
Kuala Lumpur & Jakarta
Malaysia Sambut Baik Pengumuman AS Dakwa Suspek Pengeboman Bali Seorang tahanan dilihat berada dalam pusat tahanan Amerika Syarikat di Teluk Guantanamo, Cuba, 6 Jun 2018.
[AP]

KEMASKINI pada 5.15 petang waktu tempatan ETS - 2021-01-22

Malaysia pada Jumaat berkata keadilan dapat ditegakkan melalui pendakwaan di mahkamah, semasa menyambut baik keputusan Amerika Syarikat (AS) mahu mendakwa dua rakyatnya dan seorang warganegara Indonesia yang terlibat dalam insiden pengeboman Bali.

Ketiga-tiga suspek itu, yang telah ditahan di Penjara Teluk Guantanamo sejak 15 tahun lalu, akan dibicarakan di mahkamah tentera, dengan jurucakap Pentagon memberitahu bahawa perbicaraan itu dijangka bermula dalam masa sebulan lagi.

Jabatan Pertahanan (DOD) Amerika Syarikat pada lewat petang Khamis mengumumkan mengenai keputusan untuk mendakwa dua rakyat Malaysia iaitu Mohammed Nazir Lep atau Bashir Lap dan Mohammed Farik Amin (Zubair) serta warganegara Indonesia, Encep Nurjaman atau lebih dikenali sebagai Hambali, kerana terlibat dalam kejadian pengeboman di Bali dan sebuah hotel di Jakarta masing-masing pada 2002 dan 2003.

Kesemua mereka, yang ditangkap di Thailand pada Ogos 2003, ditahan di penjara tentera Guantanama di Cuba sejak 4 September 2006. Sebelum itu, mereka ditahan di sebuah rangkaian penjara rahsia Agensi Perisikan Pusat (CIA) AS selama tiga tahun.

"Ini langkah bagus oleh Amerika Syarikat. Kesemua mereka yang ditahan itu mempunyai peluang untuk dibicarakan di mahkamah. Keadilan akhirnya dapat ditegakkan dan dilihat semasa prosiding mahkamah nanti," kata Normah Ishak, Ketua Bahagian Anti-keganasan Polis DiRaja Malaysia kepada BeritaBenar, semasa ditemui di pejabatnya di Bukit Aman pada Jumaat.

Jabatan Pertahanan AS, yang mengeluarkan kenyataan lima perenggan berhubung keputusan itu di Washington, antara lain menyatakan bahawa Pihak Berkuasa Perbicaraan, pejabat yang mengawal selia suruhanjaya ketenteraan, telah merujuk pendakwaan suruhanjaya tentera berhubung kes AS terhadap ketiga-tiga suspek itu.

"Jabatan Pertahanan mengumumkan hari ini bahawa Pihak Berkuasa Perbicaraan, Pejabat Suruhanjaya Ketenteraan telah merujuk pendakwaan kepada suruhanjaya tentera itu dalam kes Amerika Syarikat terhadap Encep Nurjaman, Mohammed Nazir Lep, dan Mohammed Farik Amin.

"Encik Nurjaman (Hambali) didakwa menjadi ketua dalam Jemaah Islamiyah iaitu sebuah organisasi di Asia Tenggara yang berkaitan dengan Al-Qaeda.

“Pertuduhan itu antaranya berhubung dakwaan bahawa mereka telah merancang, membantu dan bersubahat dalam perbuatan yang membawa kepada pengeboman kelab-kelab malam di Bali, Indonesia pada 2002 dan pengeboman Hotel JW Marriott di Jakarta, Indonesia pada 2003.

“Pertuduhan terhadap ketiga-tiga suspek antaranya melibatkan dakwaan konspirasi, pembunuhan, cubaan membunuh, menyebabkan kecederaan parah dengan sengaja, keganasan, serangan ke atas orang awam dengan kesemua pertuduhan itu adalah melanggar undang-undang peperangan.

“Pertuduhan itu membabitkan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Akta Suruhanjaya Tentera, dan tertuduh dianggap tidak bersalah kecuali terbukti bersalah,” menurut kenyataan itu. Kesemua suspek berkenaan akan didakwa dengan lapan pertuduhan.

Jabatan Pertahanan sedang menunggu keputusan bagi mengemukakan kesemua pertuduhan itu, yang tidak membawa hukuman mati.

"Peraturan itu menyatakan bahawa perbicaraan tersebut perlu dimulakan dalam tempoh 30 hari setelah rujukan dibuat," kata Ron Flesvig, jurucakap Pihak Berkuasa Perhimpunan di Pejabat Suruhanjaya Tentera kepada BeritaBenar pada Jumaat.

"Langkah seterusnya ialah ketua hakim perlu memperincikan penghakiman tentera. Peraturan tersebut menyatakan bahawa dalam masa 10 hari bekerja setelah pertuduhan dibuat, pihak pendakwa raya, peguam bela dan hakim tentera akan berhubung atau berkomunikasi melalui e-mel untuk menetapkan tarikh perbicaraan,” katanya.

Profil Hambali, yang dikeluarkan Jabatan Pertahanan AS, menyifatkan beliau sebagai dalang operasi Jemaah Islamiyah (JI), sebuah kumpulan militan Asia Tenggara yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda – kumpulan yang melancarkan serangan keganasan di New York dan Washington pada 11 September, 2001.

210122-ID-MY-terror-inside.jpg
Polis Indonesia memeriksa lokasi letupan bom di kawasan pelancongan Kuta di Pulau Bali, 14 Oktober 2002. (AFP)

Malaysia masih boleh dakwa

Sementara itu, Normah memberitahu bahawa sebelum ini, pihak berkuasa AS menghantar pasukan mereka ke Malaysia bagi membincangkan nasib Nazir dan Farik, namun tidak mencapai sebarang persetujuan berikutan faktor teknikal perundangan.

“Ini berikutan kemahuan AS untuk membicarakan dua rakyat Malaysia itu bersama-sama dengan Hambali dan mereka perlu menjalani sebahagian hukuman di AS, jika didapati bersalah, dan selebihnya di penjara di Malaysia,” kata Normah.

Beliau berkata isu teknikal itu adalah berkaitan dengan pemindahan pesalah penjara tentera ke penjara sivil Malaysia berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Penjara.

“Nazir dan Farik bagaimanapun masih boleh didakwa jika mereka pulang ke Malaysia, walaupun selepas menjalani hukuman di AS jika didapati bersalah.

"Ya, mereka boleh didakwa di Malaysia dengan pihak polis boleh mengambil tindakan sewajarnya apabila tiba masanya nanti kerana ada peruntukan undang-undang di negara ini di mana seseorang itu boleh didakwa kerana menjadi anggota organisasi keganasan," kata Normah.

Ditanya sama ada keputusan mendakwa Hambali dan dua rakyat Malaysia itu boleh membawa impak negatif terhadap keselamatan di Malaysia, pegawai kanan polis wanita itu percaya tidak mungkin berlakunya serangan balas kerana ketiga-tiga individu itu tidak dikenali generasi kini.

"Generasi kini lebih mengenali IS atau Daesh berbanding Jemaah Islamiyah. Jadi, saya tidak nampak impak atau kemungkinan berlakunya serang balas terhadap pengumumam pihak pertahanan AS berkaitan Hambali dan dua rakyat Malaysia itu,” kata Normah.

Penganalisis keselamatan Malaysia Ahmad El-Muhammady, yang bersetuju dengan kenyataan Normah, berkata ketiga-tiga suspek itu tidak dikenali generasi kini.

“Saya melihat tiada impak ke atas Malaysia secara umumnya kerana mereka ini tergolong dalam generasi lama JI dan tidak mempunyai ikatan yang kuat dengan generasi sekarang,” katanya semasa dihubungi BeritaBenar.

Beliau bagaimanapun mempersoalkan mengapa kerajaan Amerika Syarikat hanya membuat pengumuman itu kini.

"Hambali, Nazir Lep dan Mohd Farik telah ditahan di AS lebih daripada 10 tahun. Kenapa baru sekarang pihak berkuasa di sana tiba-tiba buat keputusan untuk membawa kes mereka ke tribunal.

"Kegagalan untuk menjawab pertanyaan ini akan menyebabkan integriti sistem perundangan AS dipersoalkan. Saya percaya kedua mereka sepatutnya diserahkan kepada Malaysia kerana mereka adalah warganegaranya dan kita mempunyai sistem perundangan yang bagus untuk mengendalikan kes seperti itu,” kata penganalisis keselamatan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu.

Hambali.jpg
Encep Nurjamen (juga dikenali sebagai Hambali) ditunjukkan dalam gambar yang tidak bertarikh oleh Pejabat Peguam bela Awam Persekutuan, di pangkalan AS di Guantanamo Bay, Cuba. [Pejabat Peguam Bela Awam Persekutuan melalui AP]

Perbicaraan di Indonesia

Di Indonesia, Achmad Michdan iaitu peguam yang mewakili Hambali, berkata beliau mahu perbicaraan itu dipindahkan dari penjara AS di Cuba.

"Nampaknya tentera AS tidak tahu apa yang harus dilakukan dengannya [Hambali] walaupun kami telah membincangkan bahawa perbicaraan tidak harus diadakan di sana," katanya kepada BeritaBenar.

Achmad berkata beliau telah berhubung dengan Mejar James Valentine, peguam Marin AS, yang mewakili Hambali.

“Sebelum pandemik berlaku, kami merancang untuk mengunjungi [Hambali]. Kami telah membuat permohonan kepada Pentagon,”kata Achmad. "Kami ingin membawa doktor tetapi ia dibatalkan kerana pandemik COVID-19."

Valentine pula menyelar keputusan pihak tentera AS yang disifatkannya dibuat dalam keadaan terdesak ketika negara itu melihat perubahan kepimpinan tertinggi kerajaan yang kini diterajui Joe Biden.

Laporan The Weekend Australian memetik Valentine sebagai berkata bahawa pegawai tentera AS bertindak "secara terdesak dalam keadaan panik sebelum kerajaan baru (pimpinan Biden) dapat menyesuaikan diri" dan mendakwa bahawa "rejim penyeksaan terpaksa menekan butang panik selepas majlis angkat sumpah Biden sebagai Presiden AS yang baharu semalam."

Valentine, semasa dihubungi BeritaBenar pada April 2019, pernah menempelak tindakan memfailkan pertuduhan konspirasi sebagai ‘cubaan terdesak’ pihak pendakwaan untuk menyelamatkan kredibiliti suruhanjaya ketenteraan.

Pihak berkuasa AS tidak mahu kes Hambali dibawa ke mahkamah kerana perbicaraan itu akan mendedahkan penyeksaan yang dilakukan pihak tentera terhadap anak guamnya, dakwa Valentine.

"Saya rasa AS tidak mempunyai kuasa moral atau keupayaan praktikal untuk membicarakan kes ini kerana dalam membicarakan kes ini, dengan mengikut piawaian hak asasi manusia dan peraturan undang-undang, jenayah penyeksaan pasti akan didedahkan," kata Valentine kepada BeritaBenar pada masa itu.

Beliau mempersoalkan tindakan kerajaan AS untuk menunjukkan bidang kuasanya ke atas kes itu dan bukannya membenarkan Hambali untuk menghadapi perbicaraan tersebut di Indonesia, tempat di mana kebanyakan dakwaan jenayah itu berlaku.

"Dia adalah warganegara Indonesia dan dia perlu didakwa berhubung jenayah yang berlaku di Indonesia," kata Valentine. "Saya fikir ini adalah suatu penghinaan kepada Republik Indonesia apabila AS menahan dan kemudian mahu membicarakan warganegaranya itu berbanding menyerahkannya kembali kepada Indonesia."

"Mereka tidak boleh membiarkan dunia luar mengetahui apa telah mereka lakukan terhadapnya (Hambali), jadi bagaimana mereka dapat menjamin adanya perbicaraan yang adil," kata Valentine.

Pendakwa raya Pentagon yang memfailkan pertuduhan baharu dan tambahan terhadap Hambali telah menuduh rakyat Indonesia itu bersekongkol dengan pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden, dan 47 orang yang lain untuk melakukan serangan pengganas di seluruh Asia Tenggara serta di tempat-tempat lain.

Pendakwa raya juga menamakan ulama Islam radikal, Abu Bakar Bashir, yang sedang ditahan di penjara di Indonesia, sebagai seorang daripada rakan konspirasi utamanya. Dokumen undang-undang terbaru itu juga memberikan butiran tentang penglibatannya dalam membiayai pengeboman Bali dan rancangan keganasan lain di Asia Tenggara termasuk di Filipina, Singapura dan Australia.

Hambali adalah seorang daripada 17 tahanan "berprofil tinggi" di Guantanamo, yang turut digelar oleh pendakwa raya tentera sebagai "pejuang yang melanggar undang-undang" kerana mereka ditangkap di Afghanistan, Iraq dan negara-negara lain selepas empat serangan yang diselaraskan oleh al-Qaeda di AS pada 11 September, yang menyebabkan hampir 3,000 orang terbunuh dan mencederakan lebih 6,000 yang lain.

Jangan pandang rendah kemampuan JI

Seorang penganalisis keselamatan serantau, Mizan Aslam, yang juga pakar anti-keganasan di Universiti Malaysia Perlis, bagaimanapun mengingatkan tentang kemampuan JI bertindak balas susulan pengumuman AS itu.

Beliau berkata walaupun JI sudah tidak relevan lagi dalam aktiviti keganasan di rantau Asia terutamanya sejak kewujudan IS serta perpecahan di kalangan mereka, namun keupayaan mereka tidak harus dipandang rendah.

"Hasil penyelidikan yang dibuat mendapati tidak kurang 6,000 ahli JI masih lagi aktif di Indonesia dengan saki bakinya masih wujud di Malaysia, Filipina dan Singapura. Ideologi radikal yang dimiliki mereka boleh dihidupkan kembali jika diperlukan," kata Mizan.

Selain itu, banyak sekolah agama moden dibangunkan oleh anak didik Abu Bakar Bashir dan Hambali di Indonesia, yang menampilkan ideologi radikal dan keras, katanya.

"Oleh itu, pihak berkuasa di pelbagai negara perlu mengambil langkah berjaga-jaga bagi melindungi kepentingan AS dan aset-aset strategik yang dimilikinya…saya yakin JI mampu melakukan serangan dalam skala kecil atau besar kerana mereka mempunyai kapasiti untuk melakukannya.

"Langkah awal Joe Biden untuk membuka semula kes Hambali, Nazir dan Farik juga memberikan satu isyarat yang jelas bahawa JI bakal dihancurkan, namun kubu JI bukanlah di AS sebaliknya di Asia Tenggara. Apa sahaja keputusan mahkamah tentera AS berkaitan Hambali, Nazir dan Farik bakal memberi kesan kepada rantau ini dan segala kepentingan yang berkaitan AS," jelas Mizan.

Untuk rekod, Biden, yang secara rasminya mengangkat sumpah sebagai Presiden AS ke-46 pada Khamis, merancang untuk menutup pusat tahanan Guantanamo.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.