Follow us

Pegawai Kehakiman AS Kembalikan AS$300 Juta Dana 1MDB Dicuri Kepada Malaysia

Staf BeritaBenar
Washington
2020-04-14
E-mel
Komen
Share
Anggota-anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia membawa dokumen kes 1MDB ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada perbicaraan rasuah kedua bekas Perdana Menteri Najib Razak, 28 Ogos 2019.
Anggota-anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia membawa dokumen kes 1MDB ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada perbicaraan rasuah kedua bekas Perdana Menteri Najib Razak, 28 Ogos 2019.
[AP]

KEMASKINI pada 9.25 malam waktu tempatan ETS - 2020-04-14

Kerajaan Amerika Syarikat pada Selasa berkata bahawa ia telah mengembalikan kepada Malaysia sebanyak AS$300 juta (RM1.292 bilion) wang yang didakwa diselewengkan pembiaya kewangan dalam buruan daripada dana pelaburan negara Malaysia, 1MDB, dan melalui kegiatan pengubahan wang di Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura dan Luxembourg.

Dengan mengambil kira wang yang dipulangkan kepada kerajaan Malaysia sebelum ini, AS kini telah mengembalikan lebih AS$600 juta (RM2.6 bilion) kepada negara Asia Tenggara itu, demikian diumumkan oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) dalam satu kenyataan. Menurutnya, usaha untuk mendapatkan kembali lebih banyak dana yang dicuri daripada 1Malaysia Development Berhad sedang dijalankan.

"Pemulangan dana yang dicuri itu kepada warganegara Malaysia mencerminkan usaha gigih para pendakwa raya dan ejen persekutuan untuk mencegah kleptokrat asing dan rakan-rakan sekutu mereka daripada menjadikan Amerika Syarikat sebagai ‘taman permainan’ di mana mereka boleh menikmati hasil kekayaan yang dicuri," kata Peguam AS Nick Hanna dari Daerah Tengah California.

Pada 2019, sebuah mahkamah persekutuan di daerah California memutuskan untuk merampas lebih AS$700 juta (RM3.03 bilion) aset yang diperolehi pembiaya kewangani dalam buruan Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, dan keluarganya.

AS telah mendapatkan semula atau membantu mendapatkan semula lebih AS$1 bilion (RM4.3 bilion) aset yang berkaitan dengan skim pengubahan wang haram dan rasuah antarabangsa 1MDB. Ini merupakan jumlah aset terbesar yang dapat diperolehi semula di bawah Inisiatif Mendapatkan Semula Aset Kleptokrasi dan rampasan awam terbesar yang pernah diselesaikan oleh DOJ, kata jabatan itu dalam kenyataan media.

"Jumlah wang yang luar biasa ini akan dikembalikan kepada rakyat Malaysia di mana ia sepatutnya berada dan akhirnya dapat digunakan untuk tujuan asalnya - meningkatkan kehidupan harian rakyat Malaysia," kata Don Fort Ketua IRS-Siasatan Jenayah (IRS-CI).

"Encik Low cuba mengubah aset ini melalui pelbagai bidang kuasa antarabangsa dan jaringan syarikat selindung, tetapi ketamakannya akhirnya memakan dirinya. Kes ini adalah model kerjasama antarabangsa penting dalam penyiasatan pengubahan wang haram merentas sempadan.”

Low, yang sedang diburu pihak berkuasa, menghadapi pertuduhan jenayah di Malaysia kerana didakwa terlibat menyelewengkan berbilion dolar daripada 1MDB melalui hubungannya dengan bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Sementara itu, di Putrajaya, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan yang antara lain memetik Muhyiddin Yassin sebagai berkata Amerika Syarikat telah memulangkan sebanyak AS$300 juta daripada dana 1MDB kepada Malaysia

Kata Perdana Menteri itu, pemulangan AS$300 juta oleh kerajaan AS bermakna dana 1MDB yang telah dikembalikan kepada Malaysia, sama ada dalam bentuk hasil proses penjualan ataupun aset secara keseluruhannya kini berjumlah AS$620 juta dengan proses menjual baki aset yang disita daripada Jho Low masih diteruskan atas keputusan penghakiman DOJ.

“Jumlah AS$300 juta ini merangkumi beberapa aset yang telah dilucut hak dan dijual, serta juga aset berkaitan 1MDB yang telah disita dan diserahkan kembali oleh individu tertentu berkait dengan Jho Low,” kata Muhyiddin dalam kenyataan yang dikeluarkan awal pagi Selasa waktu Malaysia.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkenaan turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Amerika, terutamanya kedutaan negara itu di Kuala Lumpur atas bantuan dan kerjasama utuh dalam melancarkan pemulangan wang berjumlah AS$300 juta itu.

“Saya juga berterima kasih kepada Menteri Kewangan Malaysia dan Peguam Negara atas peranan mereka dalam proses rundingan yang berkaitan,” katanya.

Muhyiddin berkata usaha untuk mendapatkan semula aset 1MDB di seluruh dunia masih berjalan, dan kerajaan akan terus bekerjasama dengan Amerika Syarikat, DOJ dan agensi luar negara untuk membawa pulang lebih banyak aset 1MDB pada masa akan datang.

1MDB ditubuhkan oleh Najib pada 2009 kononnya untuk memacu pembangunan ekonomi tetapi dana itu sebaliknya menanggung hutang berjumlah berbilion dolar. Pada 2016, Jabatan Kehakiman AS menuduh "Pegawai Malaysia 1" - yang kemudiannya dikenali sebagai Najib - dan rakan-rakannya menggelapkan dan mengubah AS$4.5 bilion (RM19.5 bilion) wang yang berkaitan 1MDB antara 2009 dan 2014.

Najib, yang menghadapi 42 pertuduhan jenayah, sedang menjalani perbicaraan di dua mahkamah bagi 32 pertuduhan berkaitan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan 1MDB dan anak syarikatnya, SRC International. Beliau mungkin menghadapi perbicaraan bagi 10 lagi pertuduhan itu.

Isteri Najib, Rosmah Mansor, turut menghadapi pertuduhan berkaitan 1MDB di Malaysia.

Pada Mac, Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa pegawai pasukan petugas berkenaan memberitahunya bahawa sebanyak RM1.4 bilion (AS$323 juta) yang berkaitan dengan 1MDB telah dikembalikan dan sebanyak RM6.9 bilion (AS$1.6 bilion) pula sudah dikenal pasti.

"Perdana menteri telah mengarahkan supaya usaha untuk mengesan dan mendapatkan kembali dana 1MDB dari berbagai-negara perlu diteruskan," demikian menurut pejabat perdana menteri pada 17 Mac.

Lihat Laman Penuh