Follow us

Jabatan Kehakiman AS Failkan Aduan Pelucutan Sivil Bagi Dapatkan Semula AS$96 Juta

Staf BeritaBenar
Washington
2020-07-01
E-mel
Komen
Share
Bekas perdana menteri Najib Razak bersama penyokong beliau memasuki perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 5 Jun 2020.
Bekas perdana menteri Najib Razak bersama penyokong beliau memasuki perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 5 Jun 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat pada Rabu mengumumkan bahawa ia telah memfailkan aduan pelucutan sivil dalam usaha merampas dan mendapatkan semula kira-kira AS$96 juta dalam bentuk aset yang didakwa mempunyai kaitan dengan konspirasi antarabangsa untuk mengubah wang yang diseleweng daripada dana pelaburan negara Malaysia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dengan mengambil kira semua aduan pelucutan sivil yang difailkan sejak Julai 2016, Amerika Syarikat berjaya memperoleh hasil rampasan lebih AS$1.8 bilion dalam bentuk aset daripada dana 1MDB yang diselewengkan, demikian diumumkan oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

"Ini adalah tindakan terbaru dalam komitmen Bahagian Jenayah sejak sekian lama bagi mengesan, merampas, dan melucutkan aset yang diperoleh melalui perbuatan rasuah besar-besaran dan, di mana sahaja yang mungkin, memulangkan aset yang dicuri itu kepada mereka yang berkenaan.

"Aduan yang difailkan hari ini bertujuan melucutkan sejumlah barangan mewah - termasuk hartanah di Paris, karya seni oleh Monet, Warhol dan Basquiat, serta akaun bank antarabangsa – yang kesemuanya didakwa diperoleh dengan wang yang dicuri daripada dana kewangan Malaysia," kata Penolong Peguam Negara Brian A. Benczkowski dari Bahagian Jenayah Jabatan Kehakiman.

Menurut DOJ, aduan yang difailkan di Daerah Tengah California pada Rabu telah mengenal pasti aset tambahan yang dikesan daripada penawaran bon pada 2012 dan 2013 termasuk aset dan hartanah mewah serta beberapa akaun simpanan di institusi kewangan di Luxembourg dan Switzerland.

Menurut aduan itu, dari 2009 hingga 2015, lebih daripada AS$4.5 bilion dana milik 1MDB didakwa disalahgunakan oleh pegawai tertinggi 1MDB dan sekutu mereka.

Setakat ini, hasil daripada tindakan itu Amerika Syarikat telah mendapatkan semula atau membantu Malaysia mendapatkan semula aset bernilai hampir AS$1.1 bilion yang berkaitan dengan rancangan  pengubahan wang haram dan rasuah antarabangsa 1MDB.

Kes ini merupakan tindakan terbesar dalam Inisiatif Rampasan Aset Kleptokrasi jabatan itu selain tindakan pelucutan sivil terbesar dalam sejarah Jabatan Kehakiman.

Perdana Menteri Najib Razak pada ketika itu menubuhkan 1MDB pada 2009 untuk mempromosi pembangunan ekonomi di Malaysia menerusi perkongsian global dan pelaburan langsung asing. Dananya adalah bertujuan bagi digunakan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia.

1MDB sebaliknya menanggung kerugian berbilion dolar. Pada 2016, DOJ menuduh “Pegawai Nombor 1 Malaysia” – kemudian dikenal pasti sebagai Najib – dan sekutu menyeleweng serta mengubah lebih AS$4.5 bilion daripada wang yang dikaitkan dengan 1MDB antara 2009 dan 2014.

Najib, yang berdepan sejumlah 42 pertuduhan jenayah, kini dibicarakan atas pertuduhan berkaitan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB serta anak syarikat 1MDB iaitu SRC International dengan perbicaraan berkenaan menghampiri tempoh lebih setahun.

Penolong Pengarah Biro Siasatan Persekutuan FBI Calvin Shivers dari Bahagian Siasatan Jenayah berkata, “Seperti yang ditampilkan dalam usaha berkaitan kes ini, para penyiasat kami yang berdedikasi akan menjejaki perbuatan rasuah, merampas hasil daripada kegiatan haram, dan mengembalikan hasil tidak sah itu kepada pemiliknya yang sah. Dalam kes ini, kepada rakyat Malaysia. "

Ketua Siasatan Jenayah Perkhidmatan Hasil Dalaman (IRS) Don Fort pula berkata aduan pelucutan sivil berkaitan dengan 1MDB nampak seperti tidak berkesudahan tetapi skandal tersebut merupakan rancangan berterusan bagi menyembunyikan dan mengubah wang sebagai sebahagian daripada usaha canggih untuk mencuri daripada rakyat Malaysia.

“Aduan pelucutan sivil terbaru ini akan mengembalikan sejumlah besar wang kepada rakyat Malaysia di mana ia sepatutnya berada dan di mana ia akhirnya dapat digunakan bagi tujuan asalnya - untuk meningkatkan kehidupan rakyat Malaysia," tambah beliau.

DOJ dalam kenyataannya itu turut berkata, seperti yang didakwa di dalam aduan tersebut, mereka yang terlibat dalam konspirasi berkenaan - yang merangkumi para pegawai 1MDB, saudara-mara mereka dan sekutu lain – telah mengalihkan lebih AS$4.5 bilion dana 1MDB.

“Dengan menggunakan dokumen dan pernyataan palsu, mereka didakwa mengubah wang berkenaan melalui siri transaksi yang rumit dan mewujudkan syarikat-syarikat tidak aktif yang mempunyai akaun bank di Amerika Syarikat dan di luar negara,

“Urus niaga ini juga didakwa bertujuan menyembunyikan asal-usul, sumber dan pemilikan dana dan akhirnya melalui institusi kewangan AS, untuk digunakan bagi memperoleh dan melabur dalam aset yang terletak di Amerika dan luar negara,” tambah kenyataan itu.

DOJ turut berkata, seperti yang didakwa dalam aduan-aduan sebelum ini, pada 2009, para pegawai 1MDB dan rakan-rakan mereka menyelewengkan kira-kira AS$1 bilion yang seharusnya dilaburkan untuk meneroka konsesi tenaga yang kononnya dimiliki oleh rakan kongsi asing.

“Sebaliknya, dana tersebut didakwa dipindahkan melalui syarikat-syarikat tidak aktif tersebut dan digunakan untuk memperoleh sejumlah aset, seperti yang dinyatakan dalam aduan berkenaan. Aduan tersebut juga mendakwa bahawa para pelaku konspirasi itu telah menyalahgunakan hampir AS$1.4 bilion dana yang diperoleh melalui penawaran bon pada 2012, dan lebih AS$1.2 bilion daripada penawaran bon lain pada 2013,” kata jabatan tersebut.

Kata DOJ, aduan itu juga mendakwa bahawa pada 2014, para pelaku konspirasi telah menyalahgunakan dana 1MDB sebanyak AS$850 juta dengan alasan untuk membeli semula opsyen tertentu yang diberikan berkaitan dengan jaminan kepada bon pada 2012.

“Aduan perampasan sivil hanyalah satu pertuduhan bahawa wang atau hartanah terlibat atau merupakan hasil daripada perbuatan jahat. Pertuduhan ini tidak dapat dibuktikan sehinggalah mahkamah membuat penghakiman yang memihak kepada Amerika Syarikat,” tambah DOJ.

Kosong tarikh perbicaraan


Sementara itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Najib untuk mengosongkan tarikh perbicaraan sehari pada Khamis atas pendakwaan berkaitan 1MDB bagi memberi peluang kepada ahli politik berkenaan menyertai kempen semasa Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini di Pahang.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan tersebut setelah mendengar permohonan yang dibuat oleh peguambela Najib, Muhammad Shafee Abdullah dengan hakim itu turut memendekkan waktu perbicaraan pada Rabu kepada jam 2 petang berbanding sehingga jam 5 petang seperti kebiasaan.

"Yang Arif, anak guam saya perlu berada di Pekan esok untuk Pilihan Raya Kecil DUN Chini," kata Shafee semasa membuat permohonan secara lisan kepada mahkamah dengan menambah bahawa PRK itu penting bagi Najib kerana Chini adalah DUN di bawah parlimen Pekan, di mana Najib adalah Ahli Parlimennya.

Selepas mendengar hujah Shafee, Hakim tersebut secara ringkas bersetuju untuk membenarkan permohonan tersebut.

"Baiklah," kata Sequerah.

PRK DUN Chini dijadualkan berlangsung pada 4 Julai iaitu Sabtu ini selepas penyandang kerusi terbabit Abu Bakar Harun meninggal dunia pada 7 Mei lepas, dan menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara BN dan dua calon bebas.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh