Pasukan Khas Siasat Budaya Buli di kalangan Doktor Pelatih

Noah Lee & Nisha David
2022.05.06
Kuala Lumpur
Pasukan Khas Siasat Budaya Buli di kalangan Doktor Pelatih Seorang doktor yang memakai pakaian pelindung diri sedang memeriksa pesakit di Jabatan Kecemasan di Hospital Kuala Lumpur, di tengah-tengah pandemik koronavirus (COVID-19), di Kuala Lumpur, Malaysia, 23 Mei 2020.
[Reuters]

Kementerian Kesihatan Malaysia akan meneliti dakwaan mengenai berlakunya amalan membuli doktor pelatih di sebuah hospital di Pulau Pinang dalam siasatannya ke atas kematian seorang doktor muda yang jatuh dari sebuah apartmen pada bulan lepas, menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada Jumaat.

Kejadian pada 17 April itu menyaksikan doktor pelatih lelaki berusia 25 tahun maut selepas jatuh dari bangunan kediaman petugas Hospital Pulau Pinang hanya kira-kira dua minggu selepas dihantar untuk menjalani latihan di fasiliti kesihatan kerajaan tersebut, dan merupakan kejadian kedua doktor pelatih hospital sama mati dalam keadaan mengejut.

Siasatan oleh pihak berkuasa masih berjalan bagi mengenal pasti punca dan menentukan sama ada kematian mangsa adalah akibat kemalangan, bunuh diri atau sebaliknya.

"Saya telah menerima laporan awal mengenai kematian seorang doktor pelatih dari Ketua Jabatan mendiang di Pulau Pinang. Pihak polis juga sedang lengkapkan siasatan.

"@KKMPutrajaya akan menubuhkan sebuah 'task force' bebas untuk siasat kes ini & juga budaya 'buli' yang didakwa berlaku," kata Khairy melalui satu ciapan di Twitter pada petang Jumaat.

Dalam kejadian pada 17 April, seorang doktor pelatih dilaporkan telah jatuh dari unit apartmen di Tingkat 23 yang didiaminya bersama beberapa yang lain di Jalan Dato Keramat di Georgetown. Mangsa yang baru menamatkan pengajian perubatan di sebuah institut pengajian tinggi swasta telah melaporkan diri untuk bertugas sebagai doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang pada 4 April.

Kejadian tersebut adalah kematian kedua membabitkan doktor pelatih Hospital Pulau Pinang dalam tempoh kurang dua tahun. Menurut laporan portal The Vibes, seorang doktor pelatih lelaki ditemui mati di dalam rumahnya di Bukit Jambul pada 22 Disember 2020 selepas tiga minggu meletak jawatan di hospital yang sama. Mangsa dipercayai membunuh diri.

Menurut polis, pasukan penyiasat masih sedang berusaha untuk mengenalpasti punca kejadian pada 17 April, dan telah merakam percakapan beberapa individu termasuk rakan sekerja serta serumah mangsa.

"Polis sudah merakam keterangan doktor dan rakan serumah mangsa. Seterusnya kami akan mengambil keterangan ahli keluarga mangsa dalam masa terdekat mungkin minggu ini bagi membantu siasatan.

"Buat masa ini kes masih klasifikasikan sebagai kematian mengejut. Siasatan punca kematian masih diteruskan," kata pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, V Saravanan ketika dihubungi BenarNews pada Jumaat.

Menurut pegawai tersebut, polis juga sedang menunggu keputusan dari bedah siasat terhadap mangsa serta ujian makmal dan laporan kimia untuk melengkapkan siasatan mereka.

Dakwaan buli

Kejadian terbaru pada 17 April itu telah menimbulkan spekulasi bahawa terdapat amalan membuli doktor pelatih berlaku di Hospital Pulau Pinang, yang merupakan fasiliti perubatan kerajaan yang utama di negeri tersebut.

Ia telah menarik perhatian Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, yang dilaporkan membuat gesaan supaya KKM menubuhkan satu jawatankuasa siasatan khas bagi mengenalpasti punca di sebalik kematian doktor pelatih itu.

Beliau turut menggesa supaya KKM membuat rombakan keseluruhan sistem pengurusannya, termasuk jadual bekerja para doktor.

"Kementerian Kesihatan (KKM) dan pihak berkuasa berkaitan perlu segera ke hadapan untuk menjelaskan apa yang berlaku.

"Pada masa sama, mereka perlu merombak keseluruhan sistem pengurusan. Jika perlu, terutama membabitkan waktu bekerja doktor di institusi perubatan ketika ini," katanya pada Khamis, seperti dilaporkan oleh akhbar tempatan Berita Harian.

Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang turut membuat gesaan serupa, termasuk Exco Kesihatan Negeri Norlela Ariffin yang mahukan supaya Khairy melihat secara serius mengenai isu tempat kerja membabitkan doktor muda.

Di dalam satu kenyataan, Norlela berkata bahawa beliau sebelum ini pernah menyuarakan mengenai isu situasi tempat kerja yang "tidak berperikemanusiaan" terhadap doktor pelatih namun hanya diberikan maklumbalas bahawa semua doktor perlu melalui situasi yang serupa.

"Ia seperti budaya yang diterima dalam profesion perubatan," kata Norlela, seperti dilaporkan beberapa media tempatan.

Kata wakil rakyat Penanti itu, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang sebelum ini mendakwa bahawa bebanan kerja yang tinggi dihadapi doktor adalah disebabkan oleh kekurangan kakitangan, namun beliau mempersoalkan alasan tersebut kerana ramai graduan perubatan yang masih belum mendapat kerja.

Timbalan Ketua Menteri 2 Pulau Pinang P. Ramasamy pula berkata bahawa beliau percaya doktor pelatih yang jatuh bangunan pada 17 April adalah mangsa kejadian buli dan dimalukan, dan mendakwa bahawa sebelum ini telah terdapat dakwaan mengenai doktor pelatih di hospital berkenaan menjadi mangsa buli.

Dalam satu kenyataan, Ramasamy menggesa supaya pihak berkuasa tidak hanya menolak kejadian kematian itu sebagai satu lagi kes "mati mengejut".

"Ini bukan kes yang pertama. Sebelum ini sudah terjadi kematian seorang lagi doktor dua tahun lalu," kata Ramasamy, seperti dilaporkan The Malay Mail.

Cari punca

Dakwaan mengenai amalan buli di Hospital Pulau Pinang turut mendapat perhatian Ketua Pengarah KKM Noor Hisham Abdullah, yang menyatakan bahawa kementerian itu tidak akan sekali-kali bertolak ansur terhadap aktiviti sedemikian.

"Amalan membuli adalah salah dan tidak boleh diterima walau dimana sekalipun, apatah lagi di hospital.

"Kami sedang menunggu siasatan polis diselesaikan berserta dengan laporan post-mortem dan ujian kimia," kata beliau dalam satu ciapan ketika membalas kenyataan dikeluarkan Menteri Kesihatan Khairy.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Exco Kesihatan Pulau Pinang Norlela pada Jumaat berkata bahawa Jawatankuasa Kesihatan Pulau Pinang akan mengadakan mesyuarat khas dalam masa terdekat untuk mengenalpasti masalah dihadapi doktor pelatih di negeri tersebut.

Beliau dilaporkan berkata bahawa jawatankuasa itu berkemungkinan akan memanggil para doktor pelatih terlebih dahulu untuk mendengar daripada mereka sebelum melibatkan pihak hospital dan jabatan kesihatan.

"Kita ingin menangani isu ini secara rasmi dan cari penyelesaian sebenar untuk perubahan sebenar. Bukan penyelesaian sementara (band-aid solution)," katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Komen

Sarawakian
May 06, 2022 06:51 PM

Bukan bertugas 17 jam saja tapi, hendak makan pun susah waktu berbuka puasa ( sungkei ) dan sahur semasa menjalani housemenship semasa bulan puasa ini tahun 2022

Sarawakian
May 06, 2022 08:13 PM

Bukan 16 jam saja, bahkan 17 ke 18 jam , siap menyediakan laporan utk 15 watsup spt laporan kpd doktor pakar , pihak nurse dan ketua jabatan...sedangkan laporan itu dapat di kurangkan kepada pihak berkaitan sahaja....memang nampak buli dan melepas dendam dari doktor senior kepada doktor muda n doktor pelatih tahun 1 dan tahun 2 selain doktor junior MO medical officers....yang buat jadual diserah kuasa oleh pihak atasan sepecialis, kpd housemen tahun 2 kepada housemen tahun 1....memang kejutan besar terhadap fizikal, mental emosi rohani dan sosial doktor pelatih tahun 1 .....3 minggu housemen timbang berat badan sudah turun 3 kg.....ada di kalangan doktor pelatih, dalam masa 2 tahun housemenship turun 20 kg.

Sarawakian
May 06, 2022 09:02 PM

Utk kesinambungan profesion kedoktoran negara Malaysia eloklah KKM menyusun semula jadual bekerja selama 17 jam atau lebih itu....doktor pelatih bukan robot mereka juga manusia biasa seperti doktor pakar dan nurse senior.