Doktor Kontrak Protes Tuntut Jawatan Tetap dan Faedah Pekerjaan

Bantahan berlangsung serentak di beberapa hospital utama dan fasiliti kesihatan di seluruh negara dengan dipantau oleh pihak berkuasa.
S. Adie Zul & Noah Lee
Kuala Lumpur
2021-07-26
Share
Doktor Kontrak Protes Tuntut Jawatan Tetap dan Faedah Pekerjaan Sekumpulan doktor kontrak memegang plakad ketika protes di Hospital Shah Alam di Selangor, 26 Julai, 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Ribuan doktor muda berstatus kontrak di Malaysia pada Isnin melancarkan satu siri protes menuntut diserapkan ke jawatan tetap bersama faedah pekerjaan lain, semasa negara itu merekodkan lebih satu juta jangkitan COVID-19 dengan jumlah kematian tertinggi sejak penularan wabak bermula tahun lalu.

Protes tersebut telah diadakan secara serentak di beberapa hospital utama dan fasiliti kesihatan di seluruh negara dan berlangsung kurang dari satu jam sebelum para pegawai perubatan yang terlibat - yang kebanyakannya masih dalam tugas di fasiliti kesihatan yang mengendalikan kes COVID-19 - kembali ke stesen tugasan masing-masing untuk memastikan rawatan pesakit tidak terjejas.

"Jawatan tetap, bukan kontrak… Kami adalah barisan hadapan COVID-19. Keutamaan kami adalah pesakit kami," laung sekumpulan doktor kontrak di Hospital Selayang di Selangor, negeri yang paling teruk terjejas akibat pandemik dan menyaksikan ribuan kes jangkitan baharu setiap hari.

Pada Isnin, semasa protes itu berlangsung, Malaysia merncatatkan kes kematian pandemik COVID-19 tertinggi pernah direkodkan negara dengan jumlah kematian seramai 207 dan kes harian baharu pula sebanyak 14,516 kes, sekaligus menjadikan jumlah kumulatif jangkitan melebih 1.02 juta.

Para pegawai perubatan kontrak tersebut menuntut supaya mereka diberikan layanan yang lebih adil dalam pekerjaan, serta diberikan status jawatan tetap untuk memastikan masa depan yang lebih terjamin.

Mereka menyatakan bahawa status kontrak telah menghalang para doktor muda daripada mendapat peluang untuk maju dalam kerjaya, termasuk untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kepakaran, selain dinafikan daripada mendapat faedah pekerjaan yang lain seperti yang dinikmati rakan sekerja mereka yang berjawatan tetap.

BenarNews difahamkan hospital utama di Selangor dan ibunegara Kuala Lumpur menyaksikan para pegawai perubatan kontrak terlibat dalam protes tersebut, termasuk hospital utama kerajaan yang merawat pesakit kritikal COVID-19, iaitu Hospital Sungai Buluh, Pusat Kuarantin dan Risiko Rendah MAEPS Serdang, Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Hospital Shah Alam, kesemuanya di Selangor, juga Hospital Kuala Lumpur.

Mereka yang menyertai protes tersebut berpakaian hitam sebagai simbol solidariti, dengan keluar beramai-ramai dari hospital masing-masing tepat jam 11 pagi sambil memegang sepanduk dan poster menyatakan tuntutan mereka, dengan diawasi serta dipantau oleh pihak berkuasa Malaysia.

Selain itu, ramai doktor kontrak yang tidak dapat menyertai perarakan keluar turut menunjukkan solidariti mereka menerusi hantaran di pelbagai plaftform media sosial.

Jumlah sebenar peserta tidak dapat dipastikan, tetapi penganjur bantahan yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai Gerakan Hartal Doktor Kontrak mendakwa bahawa ia berjaya mendapat sambutan sekurang-kurangnya 5,000 orang doktor.

"Kami menganggarkan bahawa jumlah doktor yang menyertai hartal ini adalah di antara 5,000 ke 8,000 orang," kata jurucakap kumpulan berkenaan, Mustapha Kamal A. Aziz.

Penganjur sebelum ini mendakwa ada di antara doktor kontrak telah diberikan amaran oleh pihak pengurusan supaya tidak mengambil bahagian dalam bantahan manakala ada sebilangan dari mereka telah menyerahkan notis meletak jawatan dalam tempoh 24 jam, atas alasan kepenatan bekerja dan hilang keyakinan kepada kerajaan.

Namun, di sebalik tekanan dari pihak atasan mereka, para peserta protes telah mendapat respon yang positif dari rakyat Malaysia di media sosial, dengan rata-rata dari mereka percaya bahawa para doktor itu terutama yang bertungkus-lumus menangani pandemik layak mendapat layanan lebih baik dari kerajaan.

Sokongan yang diterima mereka turut datang dari ramai doktor kanan dan pakar kesihatan di hospital kerajaan, termasuk mereka yang menyuarakan sokongan kepada gerakan itu secara jelas melalui media sosial.

Selain itu, terdapat juga doktor tetap serta doktor pakar yang memberikan bantuan dengan cara menggantikan para peserta protes di tempat kerja supaya mereka boleh mengadakan tunjuk perasaan.

"Apa yang saya tahu sekarang, masa depan kesihatan saya berada di tangan yang baik. Mereka melakukannya secara profesional dan elegan. Tidak gementar dengan ‘ancaman-ancaman’.

"Mereka tidak pernah mengabaikan pesakit dan penjagaan pesakit. Memalukan bagi yang berfikir mereka berbuat demikian,” kata Rafidah Abdullah, seorang doktor pakar nefrologi di Hospital Putrajaya melalui akaun Twitternya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Persekutuan Abd Jalil Hassan ketika dihubungi media memaklumkan bahawa pihaknya tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan memandangkan protes berkenaan adalah isu Kementerian Kesihatan.

"Disebabkan isu ini melibatkan perihal doktor kontrak, lebih baik ianya dirujuk kepada jabatan atau kementerian yang berkenaan. Jabatan Siasatan Jenayah tidak akan membuat sebarang kenyataan akhbar berkenaan isu ini," kata beliau dalam satu mesej kepada para pemberita.

Skim kontrak langkah sementara
Skim doktor kontrak telah diperkenalkan pada Disember 2016 di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional terdahulu, bagi menangani masalah kelewatan penempatan graduan dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi di hospital awam.

Di bawah skim itu, yang sepatutnya menjadi langkah sementara, graduan perubatan diambil bekerja di hospital dan klinik awam sebagai doktor kontrak, di mana mereka perlu berkhidmat selama tiga tahun sebagai doktor pelatih, serta dua tahun perkhidmatan wajib di bawah Kementerian Kesihatan.

Sebaik sahaja selesai kontrak lima tahun, para doktor muda itu perlu bersaing untuk mendapatkan jawatan tetap untuk kekal berkhidmat di sektor awam. Bagaimanapun, bilangan jawatan yang ditawarkan amat terhad.

Gerakan HDK mendakwa daripada 23,077 doktor kontrak yang telah diambil menerusi skim itu dari Disember 2016 sehinga Mei 2021, hanya 789 atau 3.4 peratus daripada mereka telah berjaya diserap ke dalam jawatan sektor awam.

Para doktor kontrak berkata mereka mendapat gaji yang lebih rendah berbanding rakan mereka yang diserap ke jawatan tetap dan tidak mendapat manfaat dan kemudahan yang dinikmati oleh penjawat awam, selain ketidaktentuan mengenai peluang mendapat latihan menjadi doktor pakar memandangkan kerajaan hanya menawarkan kemudahan cuti belajar dengan bergaji kepada doktor berjawatan tetap.

Kerajaan tidak mampu

Para doktor kontrak menggerakkan bantahan mereka setelah Menteri Kesihatan Adham Baba mengeluarkan kenyataan proses pengambilan pegawai perubatan untuk sektor kesihatan awam akan diteruskan ‘seperti biasa’.

Beliau menyatakan kekangan yang dihadapi oleh kementerian menyebabkan usaha mewujudkan lebih banyak jawatan dalam kerajaan sebagai alasan, sambil menambah yang doktor kontrak boleh mendapatkan pekerjaan di sektor swasta atau di hospital yang dikendalikan oleh agensi-agensi kerajaan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 13 Julai lalu memberi jaminan akan membawa isu berkenaan kepada Jemaah Menteri memandangkan kerajaan perlu membelanjakan RM2 bilion untuk melaksanakan semua tuntutan HDK dan seterusnya Jumaat lepas beliau mengumumkan keputusan kerajaan melanjutan kontrak pegawai perubatan, doktor gigi dan ahli farmasi selama dua tahun, sebaik sahaja mereka menamatkan tempoh perkhidmatan wajib.

Muhyiddin berkata Jemaah Menteri juga telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan selama empat tahun kepada doktor kontrak yang sedang menjalani latihan pakar dalam bidang masing-masing, serta ditawarkan kemudahan-kemudahan lain yang dinikmati oleh doktor berjawatan tetap seperti bayaran gaji penuh dan tajaan untuk melanjutkan pelajaran, penambahbaikan kemudahan lain seperti cuti khas dan tambang untuk pulang ke kampung halaman.

“Kerajaan amat menghargai sumbangan para doktor di barisan hadapan berperang dengan COVID-19 dan kekal komited untuk memastikan kebajikan dan perkembangan kerjaya pegawai perubatan, pergigian dan farmasi kontrak diberi perhatian dan keadilan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim pada Isnin mendesak kerajaan untuk mengambil serius desakan yang dikemukakan oleh para doktor kontrak yang telah bertungkus-lumus bersama rakan sekerja yang berjawatan tetap, khususnya dalam tempoh pandemik COVID-19.

“Orang itu kerja, kerja setengah mati, dan banyak juga terkorban jadi saya ingin gesa dan mendesak jangalah sampai doktor-doktor itu buat hartal dan mogok, kemudian ambil tindakan pulak, ugut pulak,” katanya ketika meminta penjelasan daripada kerajaan pada sidang Dewan Rakyat.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia dalam satu kenyataan menyeru semua pihak berkepentingan untuk menyelesaikan isu berkenaan secepat mungkin kerana ia melibatkan kepentingan awam.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh