Follow us

Mahkamah Malaysia Sekat Dong Jiao Zong Adakan Kongres Bantah Tulisan Jawi

Lex Radz & Ali Nufeal
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-12-27
E-mel
Komen
Share
Seorang kanak-kanak Islam sedang belajar tulisan Jawi di sebuah sekolah di Klang, Malaysia, 12 Sept, 2017.
Seorang kanak-kanak Islam sedang belajar tulisan Jawi di sebuah sekolah di Klang, Malaysia, 12 Sept, 2017.
[AFP]

Mahkamah Malaysia menyekat kumpulan pendidikan Cina (Dong Jiao Zong) daripada mengadakan kongres mengenai tulisan Jawi di sekolah vernakular, kata polis pada Jumaat, selepas pihak berkuasa memberi amaran bahawa perhimpunan yang dijadual diadakan berhampiran Kuala Lumpur pada Sabtu itu boleh mencetuskan rusuhan kaum.

Pada Selasa lalu, Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Jioa Zong) melalui Ahli Jawatankuasa Pusatnya Low Chee Chong memberitahu yang persekutuan itu merancang untuk mengadakan Persidangan Membantah Isu Tulisan Jawi di secara tertutup di Kolej Universiti New Era di Kajang pada Sabtu, yang dijangka dihadiri kira-kira 1,000 peserta.

Ketua Polis Daerah Kajang, Ahmad Dzaffir Mohd Yussof yang bertanggungjawab terhadap permohonan mendapatkan perintah mahkamah itu menegaskan bahawa perintah itu dibuat selepas bimbang tercetusnya kekecohan, selepas beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Melayu turut mengumumkan mahu mengadakan perhimpunan membantah kongres Dong Jiao Zong  pada hari yang sama.

"Bagi mengekalkan ketenteraman dan keselamatan awam, polis khasnya Ibupejabat Polis Daerah Kajang telah memohon perintah mahkamah ini atas dasar untuk mengelakkan berlakunya gangguan kepada ketenteraman awam, yang boleh mencetuskan kegusaran orang ramai di daerah ini," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Menurut Ahmad Dzaffir, perintah mahkamah itu telah diserahkan kepada Dong Jiao Zong pada kira-kira pukul lima.

Sesalinan dokumen mahkamah yang ditandatangani oleh Majistret Syahrul Sazly Md Sain dari Mahkamah Majistret Kajang telah dilihat BeritaBenar.

Antara isi kandungan perintah mahkamah itu berkata, "Dan bahawasanya, ia telah didapati oleh Mahkamah ini bahawa adalah perlu bagi suatu tindakan segera diambil bagi mengelakkan suatu perbuatan yang menganggu ketenteraman awam atau mendatangankan bahawa kepada nyawa atau keselamatan manusia atau rusuhan atau gaduh gempar jika persidangan diadakan.

“Dan bahawasannya, ia telah didapati oleh mahkamah ini bahawa suatu perintah larangan adalah amat diperlukan dan dikeluarkan secara ex-parte dengan segera atas kesuntukan masa memandangkan persidangan tersebut akan diadakan pada 28 Disember 2019 (Sabtu) dan berdasarkan kepada maklumat terkini yang diperolehi oleh pihak pemohon mendapati akan berlaku satu gaduh-gempar/rusuhan sekiranya persidangan tersebut diteruskan.

"Oleh yang demikian, kehadiran kamu di Dewan Kolej Universiti New Era Kajang pada 28 Disember 2019 (Sabtu) adalah dengan ini dilarang, dan kamu diberi amaran agar tidak berada atau berkumpul atau mengambil apa-apa bahagian dalam persidangan itu," menurut dokumen mahkamah berkenaan.

Ahmad Dzaffir berkata Polis mahu semua pihak menghormati perintah mahkamah itu dan tindakan tegas akan diambil jika ada yang melanggarnya.

"Polis menggesa semua pihak terlibat dan orang ramai agar tidak hadir ke persidangan tersebut atau mana-mana perhimpunan bagi membantahnya yang dianjurkan NGO, persatuan dan pertubuhan.

Dalam pada itu, Ahmad Dzaffir semasa dihubungi BeritaBenar dari Washington mengenai sama ada Dong Zong memerlukan permit untuk penganjuran perhimpuan kongres tersebut berkata, “Tidak perlu permit”.

Sementara itu, Dong Jiao Zong dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas menerima perintah mahkamah itu berkata, persekutuan itu akur dengan perintah mahkamah yang menerima dokumen itu pada kira-kira pukul 5.10 petang Jumaat.

“Dong Jiao Zong mendapat perintah mahkamah daripada pihak Polis pada pukul 5.10 petang hari ini. Pihak polis mendapatkan perintah mahkamah atas alasan menggangu ketenteraman dan tidak membenarkan Persidangan Pertubuhan-pertubuhan Cina diadakan pada hari esok iaitu 28 Disember 2019 di Auditorium Kolej Universiti New Era,

“Maka pihak Dong Jiao Zong terpaksa membatalkan persidangan tersebut dan meminta semua wakil dan pertubuhan yang terlibat membatalkan kehadiran utnuk persidangan tersebut. Kami akan memberi maklum balas seterusnya selepas perbincangan dalaman sekian hari,” kata persekutuan itu dalam satu kenyataan ringkas.

Dong Jiao Zong sebelum ini berkata, program itu hanya akan dilakukan di tingkat lima kolej tersebut, dan tiada ada rancangan untuk para peserta keluar bagi mengadakan perhimpunan dan juga telah mengeluarkan larangan kepada peserta untuk membawa sepanduk, plakad dan bahan berunsur provokasi.

NGO Melayu turut batal perhimpunan


Sementara itu, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang turut mahu mengadakan perhimpunan di hadapan kolej universiti itu sebagai bantahan terhadap kongres oleh Dong Jiao Zong itu turut menyatakan kesediaan mereka untuk membatalkan perhimpunan berkenaan.

NGO seperti Pertubuhan Angkatan Gerak Minda Malaysia (Agra), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) telah membatalkan himpunan yang dijadualkan berlangsung di hadapan Kolej Universiti New Era selepas perintah mahkamah dikeluarkan.

Menurut Presiden Agra Ashraf Mustaqim Badrul Munir bagaimanapun pihaknya akan turut memantau Dong Jiao Zong sekiranya pihak mereka terus berdegil dalam isu tulisan Jawi itu.

“Sesungguhnya Dong Zong sememangnya biadab! kerana berani menunggu sehingga saat akhir keputusan mahkamah untuk baru akur dengan desakan pelbagai pihak, suka ditekankan bahawa Agra, GPMS dan Perkasa bersama lain-lain gabungan masyarakat dan orang awam yang cintakan negara serta mendaulatkan Perlembagaan dan menjunjung Rukun Negara jelas sama sekali tidak akan berganjak untuk melawan pengkhianatan Dong Zong andai diteruskan Kongres 'Khianat', Anti-Jawi tersebut,” kata dalam satu kenyataan.

Ashraf juga telah dipanggil polis pada Jumaat untuk memberi keterangan berhubung perhimpunan yang dirancang oleh badan bukan kerajaan itu.

Parti Politik Cina bantah

Bagaimanapun dua parti politik yang menjaga kepentingan kaum Cina membantah keputusan polis dan mahkamah tersebut.

Setiausaha Agung parti Persatuan Cina Malaysia (MCA) Chong Sin Woon berkata pembatalan tersebut adalah diskriminasi terhadap kaum kedua terbesar di Malaysia itu.

"Kerajaan boleh anjurkan Kongres Maruah Melayu, pertubuhan Cina tak boleh anjur pertemuan tertutup? Adakah Cina tidak ada hak untuk berhimpun?" soalnya dalam hantaran di laman Facebook beliau yang merujuk kepada Perhimpunan Maruah Melayu yang berlangsung Oktober lepas.

Sementara itu, Ketua Pemuda Parti Tindakan Demokratik [DAP] Howard Lee berkata langkah polis mendapatkan perintah mahkamah itu bercanggah dengan hak rakyat Malaysia berhubung kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Polis patut melindungi hak Dong Zong berhimpun secara aman, seperti mana penganjur Kongres Maruah Melayu dilindungi. Hak untuk berbeza pendapat di kalangan warga adalah tulang belakang demokrasi," katanya dalam satu lagi kenyataan.

Kerajaan sebelum ini mengingatkan bahawa penganjuran satu kongres oleh Dong Jiao Zong bagi membantah pengenalan pembelajaran jawi di sekolah vernakular boleh mencetuskan kekacauan.

Perdana Menteri, Mahathir Mohamad meluahkan kebimbangan tindakan Dong Jiao Zong itu akan menyebabkan pihak tertentu bertindak balas.

Ogos lalu, Kementerian Pendidikan menetapkan pengajaran tulisan Jawi untuk pelajar Tahun Empat yang dijadualkan bermula tahun hadapan hanya akan dilaksanakan dengan persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan ibu bapa murid.

Bagaimanapun Dong Jiao Zong bertegas agar Lembaga Pengelola Sekolah dilibatkan dalam proses membuat keputusan itu.

Lihat Laman Penuh