COVID-19: Malaysia Lulus Penggunaan Dos Tambahan Vaksin Pelbagai Jenis

Pihak berkuasa kesihatan telah dibenarkan menggunapakai kaedah 'mix and match', semasa memulakan proses inokulasi untuk golongan sasar.
Noah Lee
2021.10.04
Kuala Lumpur
COVID-19: Malaysia Lulus Penggunaan Dos Tambahan Vaksin Pelbagai Jenis Sekumpulan warga tua sedang menunggu giliran untuk diberikan vaksin COVID-19 di Petaling Jaya, Selangor, 27 April 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Menteri Kesihatan Malaysia pada Isnin mengumumkan bahawa bakal penerima dos penggalak vaksin COVID-19 di negara itu tidak semestinya akan menerima jenis vaksin sama seperti yang telah didapati mereka sebelum ini.

Khairy Jamaluddin memberitahu Parlimen bahawa pihak berkuasa kesihatan telah dibenarkan untuk menggunapakai kaedah 'heterologous vaccination', atau kaedah campuran yang lebih dikenali sebagai 'mix and match', apabila memulakan proses inokulasi untuk golongan sasar yang akan bermula pada bulan ini.

"Pada minggu lepas, Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin telah bermesyuarat bersama Jawatankuasa Kecil Teknikal yang dipengerusikan oleh pengarah Institut Kajian Klinikal Kalaiarasu Peariasamy.

"Dalam mesyuarat tersebut, jawatankuasa kecil itu telah mengesyorkan supaya pemberian dos penggalak yang kita akan mulakan pada Oktober ini, dibenarkan heterologous vaccination atau vaksin yang boleh dicampur, iaitu penerima boleh menerima vaksin yang tidak sama seperti dos pertama dan kedua mereka sebelum ini," kata Khairy ketika menjawab soalan diajukan oleh seorang Anggota Parlimen.

Tambah beliau, kajian mengenai keselamatan untuk memberikan vaksin campuran telah dilaksanakan oleh pihak berkuasa kesihatan yang mengesyorkan supaya kerajaan meneruskan dengan kaedah tersebut.

Malaysia telah memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, atau PICK, pada Feb lepas bagi melawan penularan pandemik koronavirus yang telah meragut lebih 26,000 nyawa di negara itu setakat ini.

Bagi tujuan tersebut, Kementerian Kesihatan telah meluluskan penggunaan empat jenis vaksin iaitu Pfizer, Sinovac, AstraZeneca dan CanSino untuk memvaksinasi populasi dewasa manakala bagi PICK untuk kumpulan remaja berusia antara 12 tahun dan 17 tahun pula, hanya vaksin Pfizer dan Sinovac mendapat kelulusan.

Setakat 2 Oktober, 87.2 peratus daripada populasi dewasa Malaysia telah menerima vaksinasi lengkap, manakala bagi program imunisasi remaja yang bermula pada 20 September lepas, 52.9 peratus daripada 3.2 juta sasaran telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan setakat 21 September, vaksin jenis Pfizer adalah yang paling meluas digunakan dalam PICK untuk populasi dewasa dengan 46.6 peratus, diikuti oleh Sinovac (45.2 peratus), dan AstraZeneca (8 peratus).

Lebih 0.2 peratus pula adalah vaksin CanSino yang merupakan vaksin dos tunggal yang banyak digunakan untuk kumpulan sasar yang sukar dicapai seperti di kawasan pedalaman, Orang Asli serta warga asing.

Pada 24 September lepas, Khairy memberitahu satu sidang media bahawa Kementerian Kesihatan sedang membangunkan garis panduan berkenaan pelaksanaan pemberian dos penggalak, yang bertujuan untuk merangsang sistem imun penerima vaksin.

Pihak berkuasa kesihatan itu juga melihat keperluan untuk memberikan dos ketiga kepada individu yang memerlukan dos tambahan bagi membolehkan tindakbalas sistem imun yang optimum terhadap koronavirus.

"Dos penggalak adalah bagi mereka yang mana dos kedua sudah mencukupi, tetapi dalam beberapa bulan, respon imun mereka sudah mula menurun. Jadi, dos penggalak akan diberi sebagai perangsang sistem imun supaya lebih berkesan terhadap COVID-19," kata beliau semasa sidang media tersebut.

Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk memberikan dos tambahan vaksin COVID-19 bagi meningkatkan tahap imuniti dalam kalangan individu berisiko tinggi terhadap jangkitan COVID-19.

"Keutamaan pemberian dos ketiga ini akan tertumpu kepada kumpulan yang berisiko tinggi terlebih dahulu seperti anggota barisan hadapan kesihatan, pesakit kurang daya tahan imun, warga tua dengan komorbiditi dan individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang, apabila liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara melebihi 80 peratus," kata Ismail Sabri dalam ucapan pada 19 September ketika mengumumkan pemberian Pakej Penjagaan COVID-19 kepada golongan B40.

Pembukaan sempadan

Sementara itu, Ismail Sabri dalam satu sesi temuramah khas dengan beberapa media tempatan minggu lepas memberikan bayangan bahawa rakyat Malaysia bakal dibenarkan ke luar negara tanpa perlu memohon kebenaran khas melalui sistem MyTravelPass.

Beliau dilaporkan berkata bahawa kerajaan mensasarkan untuk membuka semula hampir sepenuhnya sektor ekonomi apabila 90 peratus populasi negara sudah menerima vaksin lengkap.

"Kita sasarkan kalau 90 peratus sudah dapat vaksin, kita akan buka hampir sepenuhnya. Rentas negeri kita benarkan, apabila rentas negeri, tentu saja sektor pelancongan akan mendapat faedah dari rentas negeri. Kerana kalau kita lihat sektor paling teruk ialah sektor pelancongan.
"Begitu juga dengan sektor penerbangan. Ini akan dipulihkan apabila kita membuka rentas negeri dan beri kebebasan. Kemungkinan besar juga dari segi ke luar negara, kita tak akan lagi menggunakan MyTravelPass," kata beliau dalam sesi temuramah berkenaan yang disiarkan beberapa stesen televisyen serta media elektronik tempatan.

Pada Mei 2020, Jabatan Imigresen Malaysia telah memperkenalkan sistem MyTravelPass bagi individu yang ingin membuat perjalanan keluar negara membuat permohonan dengan pihak berkuasa itu.

Bagaimanapun, kebenaran hanya dipertimbangkan untuk beberapa kategori perjalanan seperti menyambung pelajaran, menghadiri mesyuarat, serta urusan kecemasan ahli keluarga terdekat, manakala perjalanan keluar untuk aktiviti melancong atau lawatan biasa ke atas ahli keluarga adalah tidak dibenarkan sama sekali.

"Tidak ada lagi. Kebebasan untuk pergerakan, dan Kementerian Kesihatan sudah mengkaji dari segi tempoh jangka masa kuarantin misalnya.

Ini semua boleh menggalakkan pelancongan, dan boleh meningkatkan, beri kesan kepada pertumbuhan ekonomi kita," tambah Ismail.

Kerajaan sebelum ini telah memulakan langkah pembukaan semula sektor pelancongan dengan menjadikan Pulau Langkawi di Kedah sebagai projek pemandu, dengan mewujudkan gelembung perjalanan untuk pelancong dalam negeri bermula 16 September lepas.

Inisiatif berkenaan mengenakan syarat ketat dengan hanya individu yang lengkap vaksinasi dibenarkan ke destinasi pelancongan tersebut, serta mereka perlu menunjukkan keputusan ujian saringan COVID-19 negatif di pintu-pintu masuk sebelum dibenarkan berlepas ke Langkawi.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah, sejak 16 Sept sehingga Isnin (4 Okt), seramai 40,458 individu telah disaring di pintu masuk udara dan laut ke Pulau Langkawi. Ia menyaksikan seramai 149 didapati positif manakala 186 lagi dikenalpasti sebagai kontak rapat mereka, dan kesemua mereka telah diasingkan di bawah Perintah Pemerhatian dan Pengawasan.

Sepanjang tempoh sama, pihak berkuasa kesihatan juga mengenalpasti satu kes positif dalam kalangan pelancong yang telah memasuki pulau tersebut, membabitkan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun berasal dari Negeri Sembilan.

Manakala pada 1 Oktober, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah melaporkan satu kluster jangkitan telah dikenalpasti di kalangan pekerja sebuah hotel di Langkawi.

Sehingga 4 Oktober, seramai 149 individu dalam kluster berkenaan telah disaring, dengan 59 pekerja hotel telah didapati positif manakala 187 negatif dan tiga lagi masih menunggu keputusan ujian. Noor Hisham berkata bahawa kluster itu tidak berkaitan dengan kes kanak-kanak tiga tahun berkenaan.

"Siasatan awal mendapati penularan jangkitan disyaki dari komuniti dan seterusnya merebak di tempat kerja akibat ketidakpatuhan prosedur operasi standard di tempat kerja dan asrama penginapan," kata Noor Hisham dalam satu kenyataan media.

Malaysia pada Isnin merekodkan 8,075 kes COVID-19 baharu, bilangan terendah dicatatkan sejak 7 Julai lalu (7,097 kes). Bilangan kumulatif kes positif setakat Isnin adalah 2,285,640.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.