Warga Malaysia Bersama 12 Lagi Aktivis Kemanusian Antarabangsa Ditahan Israel

A. Ariffin
2016.10.06
Kuala Lumpur
161006-my-drfauziah620.jpg Dr. Fauziah Mohd Hasan kelihatan menaiki kapal Zaytouna-Oliva ketika bertolak dari Barcelona, Sepanyol, 14 September 2016.
[Ihsan MyCare]

Kapal kemanusiaan Zaytouna-Oliva yang membawa 13 aktivis wanita termasuk wakil tunggal Asia dari Malaysia dalam misi mereka “Women’s Boat to Gaza (WBG)” telah ditawan tentera laut Israel kerana cuba memecah kepungan ke atas Gaza, Palestin.

Dr. Fauziah Mohd. Hasan, Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCare, sebuah badan NGO kemanusiaan dari Malaysia bersama 12 aktivis dari negara lain telah ditahan kira-kira 42 batu nautika dari pantai Gaza sekitar pukul 10 malam Rabu waktu Malaysia, menurut MyCare Humanitarian Care Malaysia yang berpejabat di Kuala Lumpur.

Delegasi 13 wanita itu disertai wakil dari Tunisia, Israel, Algeria, Kanada, Turki, Amerika Syarikat, Sweden, Ireland, New Zealand dan Australia.

Dr. Fauziah yang merupakan seorang konsultan di Hospital Pakar Ampang Puteri bersama 12 aktivis lain dilaporkan ditahan di penjara Givon, di daerah Ramla, Israel.

Menurut laman Twitter rasmi WBG, @GazaFFlotilla dalam tweet terbarunya memaklumkan bahawa maklumat mengenai penahanan itu diperolehi daripada Kedutaan Sepanyol di Tel Aviv.

Zaytouna-Oliva telah bertolak dari Barcelona bersama sebuah lagi kapal iaitu Amal Hope pada 14 September lepas bagi memecah kepungan Israel ke atas Gaza.

Walaubagaimanapun, Kapal Amal Hope mengalami masalah teknikal menyebabkan hanya kapal Zaytouna-Oliva meneruskan misi tersebut bersama 10 ahli misi dan tiga orang anak kapal termasuk Dr. Fauziah.

“Selepas sembilan hari pelayaran dari Messina, Sicily, dan Itali, kami menerima berita bahawa kapal yang dinaiki Dr. Fauziah, Zaytouna-Oliva telah dipintas dan dirampas oleh tentera laut,” kata MyCare dalam kenyataan media pada Khamis.

Berdasarkan laporan terkini daripada bilik gerakan Freedom Flotilla Coalition (FFC), badan yang menganjurkan pelayaran itu, mengesahkan bahawa kapal tersebut telah ditawan  dan ditunda oleh pihak berkuasa Israel ke pelabuhan Ashdad yang terletak kira-kira 40 kilometer dari selatan Tel Aviv sekitar pukul 12 malam waktu tempatan (5 pagi waktu Malaysia).

Dalam pada itu, Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan media berkata, Kerajaan Malaysia sedang berusaha mencari jalan bagi membebaskan rakyat Malaysia yang berada dalam kapal tersebut.

Pihak Malaysia sedang berhubung dengan pihak yang berkaitan bagi memastikan warga Malaysia yang menjadi tahanan Israel berada di dalam keadaan baik.

“Kementerian sedang memantau perkembangan yang berlaku terhadap kapal misi kemanusiaan Zaytouna-Oliva bersama 13 ahli misi WBG yang ditawan tentera laut rejim Israel malam tadi,” kata kenyataan itu yang dikeluarkan pada Khamis.

Sementara itu, Dr Fauziah dalam satu rakaman video berdurasi 1.03 minit menggesa pemimpin dunia serta kerajaan Malaysia menggambil tindakan untuk membebaskannya serta 12 lagi aktivis lain yang ditawan secara tidak sah oleh Israel.

“Sekarang ini saya telah ditahan secara tidak sah oleh rejim Israel ketika dalam misi WBG,” kata pakar obstetrik & ginekologi yang juga ibu kepada tiga cahaya mata serta enam cucu itu.

Beliau dalam rakamannya itu turut berkata, “Saya menggesa kepada seluruh pemimpin dunia, kerajaan dan rakyat Malaysia, serta semua pencinta keaamanan di serata dunia untuk melakukan apa sahaja cara selagi berupaya untuk bantu melepaskan kami dari tahanan Israel yang tidak sah, ”

MyCC dan FCC turut mengutuk tindakan tentera Israel menghalang kapal Zaytouna daripada memasuki Gaza walaupun konvoi tersebut datang secara aman tanpa sebarang provokasi.

Tindakan Israel kelihatan jelas mencabul undang-undang maritim antarabangsa apabila menghalang kapal misi keamanan tersebut dari memasuki perairan Gaza.

“Mereka tidak membawa sebarang senjata, bahkan mereka mengelak daripada membawa bantuan kemanusiaan yang boleh menimbulkan kecurigaan pihak Israel.

“Tindakan menyekat semua akses luar ke atas Gaza juga bertentangan dengan undang-undang maritim antarabangsa,” kata kedua-dua badan itu dalam kenyataan.

Ancaman Hamas

Sementara itu, media antarabangsa, Israel’s Channel 2 News dalam laporannya memetik pihak berkuasa Israel sebagai berkata, mengetatkan kepungan ke atas perairan Gaza  berikutan ancaman kerajaan Hamas yang menggunakan kebanyakan dana bantuan yang diterima untuk memusnahkan Israel.

“Kami telah belajar dari kesilapan lalu, disebabkan itu kami perlu mengukuhkan lagi kepungan ke atas perairan Gaza bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku lagi seperti insiden Marvin Marmara pada tahun 2010.

“Apa sahaja bentuk bantuan daripada luar perlu diperiksa terlebih dahulu di perlabuhan Ashdod sepertimana dipersetujui oleh aktivis-aktivis dari negara lain seperti Turki,” menurut laporan media itu.

Kerajaan Israel menganggap penawanan ke atas anak kapal itu sebagai satu insiden biasa.

Beberapa media antarabangsa turut melaporkan mengenai tindakan Israel ke atas flotilla Gaza yang telah mencetuskan kemarahan antarabangsa.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.