Putrajaya timbang guna dron pantau sempadan Malaysia -Thailand
2023.04.26
Kuala Lumpur
Kerajaan Malaysia sedang mempertimbangkan untuk menggunakan dron di kawasan sempadan negara itu dengan Thailand bagi memperketat pemantauan dan menghalang pencerobohan serta aktiviti jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan manusia, kata menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal keselamatan minggu ini.
Menurut Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, kerajaan juga bercadang menambah kamera pemantauan CCTV di lokasi-lokasi strategik, satu langkah yang dilihat lebih efektif dari segi kos berbanding membina dan menjaga pagar fizikal di sepanjang kawasan sempadan yang menjangkau jarak ratusan kilometer.
Bercakap kepada pemberita pada Selasa, beliau berkata ancaman terhadap keselamatan sempadan adalah lebih besar di negeri-negeri yang bersempadan dengan Thailand seperti Kedah, Perlis dan Kelantan berbanding dengan negeri-negeri lain.
"Dalam aspek kawalan sempadan, ia bukan hanya soal pemasangan pagar. Kementerian juga melihat ruang untuk menggunakan inovasi teknologi seumpama penggunaan dron kawalan. Sekarang pun sudah ada pemasangan kamera CCTV di beberapa lokasi strategik.
"Aspek penggunaan dron itu adalah antara kaedah yang sedang kita terokai," kata beliau pada sidang media di majlis sambutan Hari Raya bersama Pasukan Gerakan Am Polis Diraja Malaysia di Bukit Kayu Hitam, Kedah.
Menurut Saifuddin, banyak pagar yang didirikan di sempadan negara itu berada dalam keadaan uzur dan kos untuk menyelenggara peralatan keselamatan tersebut adalah sangat tinggi kerana faktor sempadan yang sangat luas.
Tambah beliau, kerajaan masih dalam peringkat mempertimbangkan idea menggunakan dron, dan ia menjadi keutamaan perbincangan untuk mempertingkatkan keselamatan sempadan negara.
Idea untuk menggunakan dron bagi memantau kawasan sempadan Malaysia-Thailand telah dipertimbangkan oleh kerajaan sejak 2015 apabila Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pada masa itu dilaporkan berkata Malaysia akan mengkaji dan mengenalpasti sistem yang sesuai termasuk kaedah pembinaan tembok fizikal dan penggunaan teknologi pemantauan melalui dron, satelit, dan kamera CCTV berdefinisi tinggi.
Tidak praktikal
Cadangan berkenaan bagaimanapun mendapat reaksi negatif daripada beberapa orang pakar keselamatan dan hubungan antarabangsa, yang menyuarakan rasa skeptikal mereka dari segi pelaksanaannya secara praktikal.
Seorang bekas pegawai kanan polis yang bertanggungjawab menyelia operasi kawalan keselamatan negara berkata penggunaan dron di sepanjang sempadan mungkin tidak akan disenangi dan dipersetujui oleh Thailand.
Bercakap kepada BenarNews, pegawai yang enggan dinamakan atas faktor keselamatan berkata Thailand sebelum ini tidak bersetuju helikopter digunakan di kawasan sempadan kerana khuatir negara jirannya itu akan mengintip mereka.
"Semasa kita mahu membina pagar di sempadan pada tahun 1972, Thailand beritahu Malaysia supaya bina di dalam kawasan sendiri dan kos ditanggung sendiri oleh Malaysia. Sebab itu kita bina pagar kira-kira 10 kaki dari garisan sempadan antarabangsa.
"Sekarang kalau hendak kata kita guna dron, helikopter pun mereka tidak bagi kita terbang kerana mereka sensitif, takut kita mengintip. Jadi bagaimana kita hendak yakinkan pihak Thai bahawa dron yang hendak kita gunakan nanti adalah untuk memantau sempadan dan bukannya dron ketenteraan?," kata beliau kepada BenarNews.
Pesara polis itu sebaliknya mencadangkan supaya kerajaan memasang kamera infra-merah di tiang-tiang di sepanjang kawasan sempadan, dan meletakkan pengkalan-pengkalan kawalan bagi membolehkan tindakan cepat diambil pihak berkuasa apabila mengesan pencerobohan.
Menurut beliau, kamera inframerah adalah lebih baik berbanding menggunakan kamera CCTV, kerana kelebihan mengesan haba dan merakam visual di waktu malam, sekaligus membolehkan pihak berkuasa mengesan penceroboh walaupun ketika mereka bersembunyi di celah pokok dan hutan tebal.
Selain itu, kerajaan juga boleh meletakkan pencahayaan di sepanjang garisan sempadan menggunakan lampu solar, tambahnya.
Pandangan serupa turut disuarakan Mohamad Faisol Keling, seorang pakar kajian antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia.
Kata ahli akademik itu, sudah tiba masanya kerajaan mengeluarkan perbelanjaan untuk memperkukuh kawalan sempadan kerana kerugian yang ditanggung negara akibat kegagalan mengawal sempadan adalah lebih besar berbanding kos ditanggung untuk tindakan kawalan.
"Dari sudut kaedah kawalan, kawalan menggunakan kamera inframerah adalah kaedah yang lebih praktikal, berbanding dron ia mampu memberi kesan 'insecurity' dan mencipta ketidakselesaan kepada anggota keselamatan dan negara Thailand dengan modus operandi terbang di sekitar sempadan.
"Kaedah infrared ini juga digunapakai oleh Amerika Syarikat dalam kawalan sempadan darat di selatan negara tersebut," kata Faisol kepada BenarNews.
Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan menggunakan sistem pemantauan berpusat yang menggabungkan Agensi Angkasa Malaysia dengan menggunakan kemudahan Imej Satelit Remote Sensing Malaysia bagi pemantuan yang lebih tepat.
Seorang lagi ahli akademik dari Pusat Pengajian Antarabangsa UUM, Mohd Dino Khairri Shariffuddin pula berkata kerajaan tidak sepatutnya bergantung sepenuhnya kepada teknologi dalam menjaga keselamatan negara.
Sebaliknya, kata beliau, kemampuan teknologi harus digunakan sebagai pelengkap terhadap penjagaan keselamatan secara infantri.
"Kekuatan infantri Malaysia dari aspek ‘counter insurgency warfare’ seharusnya negara perkukuhkan, apatah lagi kini barisan Rejimen Sempadan telah dinaik taraf sebagai antara barisan infantri negara yang diamanahkan bagi menjaga sempadan negara.
“Negara juga kini mempunyai Agensi Penguatkuasaan Maritim dan RELA yang juga mempunyai kekuatan dalam membantu pihak angkatan tentera,” tambah beli