Malaysia tidak campur tangan syarikat persenjataan global berurusan dengan Israel

Kumpulan pro-Palestin adakan tunjuk perasaan dan bekas Perdana Menteri mengkritik penyertaan syarikat pembekal senjata kepada Israel sertai pameran pertahanan Asia.
Noah Lee dan Iman Muttaqin Yusof
2024.05.07
Kuala Lumpur
Malaysia tidak campur tangan syarikat persenjataan global berurusan dengan Israel Seorang rakyat Malaysia berketurunan Tamil mengangkat sepanduk menyokong perjuangan rakyat Palestin ketika menyertai tunjuk perasaan di luar Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, 7 Mei 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Malaysia tidak akan campur tangan dalam urusan perniagaan firma global dengan negara lain kerana percaya kepada pasaran bebas, kata Menteri Pertahanannya pada Selasa, ketika penunjuk perasaan menuntut syarikat yang membekalkan senjata kepada Israel dikeluarkan daripada menyertai Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2024 di Kuala Lumpur.

Kumpulan pro-Palestin berkata kehadiran syarikat-syarikat itu tidak sejajar dengan sokongan Malaysia sejak sekian lama untuk negara Palestin dan terbaru kritikan kerasnya terhadap pengeboman ganas Israel ke atas Gaza, wilayah yang telah didudukinya hingga mengorbankan lebih 34,000 rakyat Palestin sebagai tindakan balas serangan pejuang Hamas yang mengakibatkan kira-kira 1,100 orang maut.

"Malaysia adalah sebuah negara perdagangan bebas yang memberi ruang kepada semua pemain industri global untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka. Justeru itu, Malaysia mengambil pendekatan untuk tidak campur tangan dalam urusan perniagaan mana-mana syarikat global dengan mana-mana negara tertentu.

"Hubungan beberapa syarikat pertahanan global dengan negara tertentu adalah urusan perniagaan yang tidak akan Malaysia campur tangan," kata Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pentadbiran negara itu menjadi sasaran kritikan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pro-Palestin yang menyatakan bahawa penyertaan syarikat Lockheed Martin dari Amerika Syarikat (AS) dan pengeluar peluru berpandu MBDA (BAE Systems) yang merupakan penaja platinum dari Eropah serta beberapa syarikat lain pada DSA 2024 adalah bercanggah dengan pendirian Malaysia bersolidariti mendukung warga Palestin yang diserang tentera Israel.

Penentangan terhadap perkara itu menyaksikan kira-kira 15 individu mengadakan tunjuk perasaan yang digerakkan Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) di luar Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur pada Selasa, mendesak kerajaan dan penganjur membatalkan penyertaan syarikat berkenaan.

Mohamed Khaled menjelaskan penganjuran DSA 2024 bertujuan untuk menyediakan ruang kepada semua pihak mempamerkan kepakaran serta teknologi terbaharu pertahanan dan tidak memihak kepada mana-mana negara atau syarikat tertentu termasuk penyertaan besar negara Islam seperti Turkiye, Indonesia, Emiriah Arab Bersatu, Iran, Bosnia dan Pakistan.

Selain itu, pameran berkenaan adalah anjuran pihak swasta dengan kos dan perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh pihak penganjur tanpa menggunakan peruntukan kerajaan, kata Mohamed Khaled.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Malaysia tidak akan melakukan perolehan pertahanan tanpa mengambil kira pendirian global negara terutamanya dalam konflik Palestin-Israel serta kepentingan kebangsaan.

Kata beliau, kementeriannya sentiasa konsisten mendukung dasar negara menentang segala bentuk ketidakadilan ke atas negara Palestin.

"Dasar perolehan pertahanan negara dilaksanakan dengan mengambil kira kemajuan teknologi mutakhir, keperluan strategik negara, kos sesuai nilai, kepentingan nasional serta pendirian politik global Malaysia," tegasnya.

240507-MY-DSA-Israel3.jpg

Sekumpulan individu pro-Palestin mengangkat kain rentang “Hentikan AS Biayai Genosid” dan mempamerkan replika jenazah bayi, simbolik korban keganasan Israel di Gaza ketika mengadakan tunjuk perasaan di luar Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, 7 Mei 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]

DSA merupakan acara dwitahunan bagi mengetengahkan teknologi, sistem dan senjata pertahanan terbaharu dunia yang kali pertama dianjurkan pada 1988.

Menurut laman web DSA 2024, edisi ke-18 pameran itu dianjurkan bersama oleh pihak DSA, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri di MITEC berlangsung selama empat hari hingga Khamis ini.

Acara itu turut melibatkan penganjuran Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC) 2024.

Ia disertai oleh 1,200 firma pertahanan dan keselamatan dari 45 negara termasuk Amerika Syarikat, China, Australia, Brazil, Jerman, India, Perancis, Itali, Korea Selatan, Turkiye, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan United Kingdom.

Ia menjadi satu platform pertemuan berskala antarabangsa bagi pengeluar, pembekal, agensi dan organisasi untuk bertukar pendapat, menjalinkan persefahaman dan kerjasama selain meninjau potensi melakukan perolehan aset.

Henti pembiayaan genosid

Pada Selasa, kira-kira 15 individu termasuk bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua mengadakan satu tunjuk perasaan di luar bangunan MITEC bagi membantah penyertaan syarikat pembekal senjata yang mempunyai hubungan perniagaan dengan tentera Israel.

Sambil memakai keffiyah, kain selempang tradisi rakyat Palestin, mereka memegang kain rentang bertulis 'Stop US Funding Genocide' (Hentikan AS Biayai Genosid) sambil melaungkan "Free Palestine" (Bebaskan Palestin) di hadapan pintu masuk khas untuk orang kenamaan di MITEC.

Pada Ahad, gabungan 22 pertubuhan pro-Palestin mengeluarkan kenyataan mendesak kerajaan supaya mengharamkan penyertaan syarikat yang "bersubahat dalam genosid Gaza" pada pameran tersebut.

Mereka menamakan Lockheed Martin secara spesifik sebagai pengeluar jet pejuang dan pesawat pengangkut yang digunakan oleh Israel untuk mengebom serta menyokong serangan darat ke atas Gaza.

Kumpulan itu menyatakan bahawa jemputan kepada syarikat-syarikat berkait Israel adalah satu tindakan tidak sensitif terhadap penglibatan mereka dalam pencabulan hak asasi manusia.

"Sebagai penyokong keadilan untuk rakyat Palestin, kami menggesa kerajaan mempertimbangkan semula keputusan untuk melibatkan syarikat-syarikat tersebut dalam pameran itu.

"Kami menyeru kerajaan untuk mengambil tindakan segera mengeluarkan Lockheed Martin dan BAE Systems sebagai penaja dan pempamer platinum.

“Kami juga menggesa kerajaan mengutuk secara terbuka penglibatan mereka dalam pembunuhan beramai-ramai di Gaza serta berjanji untuk menegakkan prinsip etika yang sewajarnya dalam penglibatan syarikat pengeluar senjata di masa akan datang," kata gabungan itu dalam kenyataan pada Ahad.

240507-MY-DSA-Israel4.jpg

Syarikat BAE Systems yang berpangkalan di United Kingdom merupakan antara firma pertahanan yang menyertai Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2024 di Kuala Lumpur, 7 Mei 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]

Antara kumpulan yang menandatangani kenyataan berkenaan adalah BDS Malaysia yang aktif melaksanakan kempen boikot terhadap produk berkaitan Israel, Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia (Malaysia), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Palestinan Cultural Organization Malaysia (PCOM) dan Gerakan Belia Sepunjabi Malaysia.

Dalam pada itu, bantahan berkenaan turut mendapat sokongan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad yang menyifatkan penyertaan Lockheed Martin dan BAE System selaku pembekal senjata yang besar kepada tentera Zionis merupakan perkara yang "amat menjengkelkan dan penghinaan kepada perjuangan rakyat Palestin".

"Membenar syarikat-syarikat sedemikian memperolok dan mempersenda segala usaha kita menentang kekejaman rejim Tel Aviv. Kita seolah-olah bersekongkol dengan mereka menumpah darah rakyat Palestin termasuk bayi, kanak-kanak dan orang awam.

"Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pertahanan harus mengambil tindakan tegas dan mengarah syarikat-syarikat ini keluar dari Malaysia dengan segera," kata Mahathir dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ahli Parlimen pembangkang, Saifuddin Abdullah yang juga bekas Menteri Luar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut mendesak supaya kerajaan Malaysia mengharamkan penglibatan Lockheed Martin dan BAE System daripada menyertai dan menjadi penaja DSA 2024.

"Bersatu kesal bagaimana kedua-dua syarikat ini boleh terlibat dalam program anjuran bersama Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.

"Keterlibatan kedua-dua syarikat ini bertentangan dengan pendirian tegas negara dan rakyat Malaysia selama ini yang menyokong dan bersolidariti dengan perjuangan rakyat Palestin," kata beliau dalam kenyataan pada Ahad.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.