Guna dron kawal kecurian durian di dusun

Ronnie Bergman
2022.06.20
Pulau Pinang
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Guna dron kawal kecurian durian di dusun Tan Chee Keat (kanan) bersama adiknya Tan Chee Boon menunjukkan bagaimana mereka memantau dusun durian menggunakan dron yang dikawal dengan telefon pintar, di Balik Pulau, Pulau Pinang, 17 Jun, 2022.
[Ronnie Bergman/BenarNews]

Setelah lama menanggung kerugian ratusan ribu ringgit akibat kecurian buah durian, seorang pemilik dusun membuat keputusan menggunakan pesawat tanpa pemandu atau lebih dikenali sebagai dron untuk memantau dusun duriannya yang terletak di Balik Pulau, dalam daerah barat daya Pulau Pinang.

Tan Chee Keat yang memiliki 100 hektar dusun durian bebelanja lebih RM40,000 untuk memiliki empat buah dron berteknologi tinggi dengan dilengkapi pembesar suara yang berupaya menyergah dan menakutkan sesiapa sahaja yang mahu mencuri raja buah yang menjadi rebutan ramai setiap kali pada musimnya.

Selain menggunakan dron, ada juga pemilik yang menggunakan perkhidmatan pengawal keselamatan di dusun durian mereka bagi mengelak durian hasil tuaian mereka dicuri terutamanya pada lewat malam dan awal pagi.

"Sejak saya menggunakan dron pada 2018, tidak ada lagi kejadian buah durian dari dusun kami hilang dicuri mereka yang cuba mencari keuntungan serta merta.

“Dron yang digunakan berupaya memantau kawasan dusun saya…,jika dibandingkan sebelum menggunakan dron, banyak buah durian telah dicuri orang" kata Tan yang berusia 31 tahun kepada BenarNews.

Menjadi generasi ketiga memiliki dusun durian dari keluarganya, beliau mendakwa telah kerugian beratus ribu ringgit akibat daripada kecurian yang kebiasaannya berlaku pada lewat malam dan awal pagi setiap kali musim durian.

Menceritakan pengalaman hasil tuaian durian yang pernah dicuri di dusunnya itu, sambil mengeluh Tan berkata pada ketika itu beliau tidak berupaya menghalang kecurian yang berlaku itu sehinggalah membuat keputusan untuk menggunakan dron sebagai salah satu cara memantau dusunnya yang berada di kawasan bukit bukau.

“Kini lima pekerja telah dilatih untuk mengendali dron di mana tugas pemantauan dibuat sebanyak 4 kali sehari dengan setiap dron berupaya terbang selama setengah jam dan pada ketinggian lebih kurang 400 kaki atau 121 meter.

"Selain dron saya juga menggunakan anjing dan memasang 17 alat sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di setiap laluan masuk ke dusun-dusun durian kami," tambah Tan.

Beliau berkata walaupun begitu masih ada yang cuba untuk mencuri durian, tetapi dengan adanya dron, ia berupaya untuk memberi amaran melalui pembesar suara yang dipasangkan di badan dron tersebut.

"Cubaan tetap ada tetapi apabila disergah oleh pemantau-pemantau kami melalui pembessar suara di dron tersebut penyangak-penyangak ini akan lari bertempiaran.

"Pernah satu ketika lebih kurang awal tahun lepas, dua orang remaja memasuki salah satu dusun kami menggunakan motorsikal, kebetulan pada waktu yang sama kerja-kerja pemantauan melalui dron sedang berjalan dan salah satu dron yang dikendalikan oleh pekerja saya dapat mengesan pergerakan remaja-remaja ini.

"Dan apabila dron itu mendekati mereka, pekerja saya memberi amaran menggunakan pembesar suara agar meninggalkan dusun dengan segera atau berdepan dengan tindakan undang-undang," tambah beliau.

220620-MY-Durian-Inside.jpeg

Gambar diambil dari dron yang digunakan oleh pemilik dusun durian Tan Chee Keat, menunjukkan seorang pekerja sedang mengutip durian yang telah luruh di dusun yang terletak di Balik Pulau, Pulau Pinang, 17 Jun, 2022. [Ronnie Bergman/BenarNews]

Jimat kos cari pekerja

Bila ditanya kenapa menggunakan dron, Tan memberitahu dusun duriannya yang luas dan terletak agak jauh ke dalam dan berselerak di kawasan berbukit-bukau adalah antara sebab beliau sanggup melabur untuk mendapatkan dron untuk memudahkan pemantauan dan mengelak kecurian.

Selain itu, katanya ia juga menjimatkan kos dalam mencari pekerja-pekerja untuk menjadi pengawal di dusunnya.

Tan juga memaklumkan yang beliau bercadang untuk mengeluarkan modal dengan menambah jumlah dron yang dimilikinya tetapi masih mahu menunggu masa yang sesuai sebelum berbuat demikian.

"Mungkin saya akan membeli dron yang lebih canggih dan lebih lama waktu penerbangannya, mungkin waktu penerbangan selama sejam bagi setiap dron.

"Saya akan cuba mencari dron yang mempunyai teknologi inframerah yang dapat mengesan pergerakan pada waktu malam. Kesemua spesifikasi ini akan meningkatkan lagi kawalan keselamatan di dusun-dusun kami," katanya lagi.

Dari pemerhatian BenarNews, hanya dusun durian Tan sahaja yang menggunakan dron untuk kawalan keselamatan di bahagian pulau negeri ini manakala dusun durian yang lain hanya menggunakan sama ada khidmat manusia untuk berkawal pada malam hari ataupun meletakkan anjing pengawal di dusun mereka.

Difahamkan Tan merupakan seorang pemilik dusun durian yang terbesar di bahagian pulau dan penggunaan dron katanya menjadikannya lebih berkesan dan efektif.

Pulau Pinang terutamanya Balik Pulau terkenal dengan buah durian sekitar musimnya antara Jun hingga akhir Julai di mana semasa musim raja buah itu, ramai pelancong dari dalam dan luar negeri sanggup ke kawasan itu untuk menikmati durian.

Pada musim ini buah durian boleh didapati dengan harga dari semurah RM5 ke RM100 sekilogram.

Tan berkata buah durian yang menjadi tumpuan peminat dan pemborong durian ketika ini ialah jenis Musang King dan Duri Hitam yang boleh dijual pada harga RM60 - RM90 sekilogram.

Ujar beliau lagi varian inilah yang menjadi target pencuri durian yang tahu akan harga durian jenis tersebut di pasaran dan bagaimana ia mendapat sambutan hangat di kalangan peminat durian tempatan dan pelancong luar negeri.

220620-MY-Durian-Inside2.jpeg

Buah durian yang terdapat di dusun milik Tan Chee Keat di Balik Pulau, Pulau Pinang, 17 Jun, 2022. [Ronnie Bergman/BenarNews]

"Buah durian Musang King sekarang menjadi rebutan peminat durian, manakala Duri Hitam akan luruh tidak lama lagi," tambahnya lagi.

Seorang lagi pemilik dusun durian di Teluk Kumbar, Kenny Soong, 51 pula berkata, setakat ini beliau hanya menggunakan khidmat pengawal di dusun duriannya.

Bila ditanya adakah beliau akan mengikut jejak langkah Tan, Soong yang sudah menanam durian sejak 25 tahun dahulu berkata beliau tidak perlukan dron kerana dusun duriannya hanya sebesar tiga hektar

"Saya masih mampu untuk menjaga dusun saya yang kecil ini, cukuplah dengan seorang atau dua pengawal pada sebelah siang dan malam.

"Lagi pun dusun durian saya tidak pernah dimasuki pencuri, saya harap keadaan ini akan berterusan," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata setakat awal tahun ini sehingga sekarang tiada laporan atau aduan mengenai kecurian di dusun-dusun durian di daaerah itu.

"Setakat ini tiada laporan yang menjurus kepada perlakuan tersebut," kata beliau secara ringkas kepada BenarNews.

Supt Kamarul Rizal walaubagaimanapun berkata pemilik-pemilik dusun durian haruslah segera melaporkan kejadian curi di dusun mereka kepada pihak polis dan jangan cuba bertindak sendirian.

Beliau berkata pihak berkuasa di daerah itu sentiasa mengadakan rondaan berkala di kawasan berhampiran kawasan dusun-dusun durian.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh