Akhiri konflik Gaza, Malaysia tidak tampil sebagai perantara, kata Duta Amerika

Diplomat Amerika di Kuala Lumpur itu percaya kedua-dua negara berkongsi matlamat sama untuk membawa keamaman, menamatkan keganasan dan menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin.
Iskandar Zulkarnian dan Minderjeet Kaur
2024.05.31
Kuala Lumpur
Akhiri konflik Gaza, Malaysia tidak tampil sebagai perantara, kata Duta Amerika Penunjuk perasaan berhimpun menyokong rakyat Palestin di Lafayette Park, di sekitar perkarangan White House di Washington, Amerika Syarikat, 30 Mac 2024.
[Jose Luis Magana/AP]

Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat menegaskan Malaysia perlu memikirkan bagaimana negara itu dapat membantu ke arah penyelesaian damai dan mengakhiri konflik di Gaza, sambil berkata ia tidak pernah mendengar Malaysia menawarkan dirinya sebagai perantara.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berkata pertemuannya dengan para pemimpin kumpulan Hamas dari Palestin adalah langkah untuk membantu perdamaian kepada perang yang mengorbankan hampir 35,000 nyawa di Gaza akibat serangan Israel susulan tindakan kumpulan itu yang menyebabkan 1,100 kematian di negara Yahudi tersebut.

“Saya tidak pernah mendengar Malaysia menawarkan dirinya sebagai perantara. Dan saya fikir kita mempunyai kebimbangan yang mendalam. Kami percaya bahawa Hamas bertanggungjawab kepada siri keganasan terbaharu yang tercetus dan kami berpendirian sama dengan kebanyakan kerajaan di Timur Tengah, berkongsi pandangan mengenai keabsahan Hamas.

“Oleh itu kami mempunyai kebimbangan yang mendalam tentang isu berkenaan. Pada masa yang sama, kami mengiktiraf yang Malaysia mempunyai pendirian yang tegas dan kami mempercayainya, perkara yang penting adalah apa yang kita lakukan ke arah hasil yang nyata?

“Dan saya fikir dari sudut yang sama di mana rakyat Malaysia melihat kepada Amerika Syarikat menghasilkan sesuatu yang nyata, (pada masa sama) saya fikir penting juga untuk melihat bagaimana Malaysia dapat menyumbang ke arah sesuatu hasil yang nyata kepada wilayah berkenaan dan juga kepada rakyat Palestin,” kata Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard Kagan dalam rancangan The Breakfast Grille di saluran radio Business FM pagi Jumaat.

Nafi rakan subahat

Dalam wawancara tersebut, diplomat itu menafikan andaian Anwar bahawa AS adalah rakan subahat dalam dakwaan jenayah perang yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin.

“Saya fikir kami dengan jelas menolak secara mutlak sebarang idea bersubahat dalam jenayah perang. Dan saya fikir bahawa idea yang AS terlibat dalam jenayah perang adalah sesuatu yang kami sama sekali tidak setuju,” tegasnya.

Kagan menjawab demikian apabila diminta mengulas mengenai dakwaan Anwar dalam satu wawancara dengan stesyen Al Jazeera, di mana pemimpin itu dilaporkan berkata beliau “tidak boleh menafikan penglibatan AS dalam jenayah perang yang disebutkan.”

Mengulas lanjut, Kagan berkata AS dan Malaysia mempunyai hubungan dua hala yang kukuh, sambil menegaskan kedua-dua negara berkongsi matlamat yang sama dalam memastikan keamanan kepada konflik di Timur Tengah.

“…. Kami percaya yang Malaysia dan AS dalam keadaan tertentu berkongsi matlamat yang sama mengenai membawa keamaman, menamatkan keganasan dan menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

“Kami sangat berbangga dengan fakta bahawa sejak 10, 15, 20 tahun yang lalu, AS secara konsisten menjadi penyumbang tunggal terbesar kepada rakyat Palestin,” katanya dalam wawancara tersebut.

Beliau berkata kedua-dua negara saling memahami dan menghormati pendirian masing-masing mengenai konflik Israel-Palestin.

“Saya fikir wujud kefahaman di Amerika Syarikat dan pentadbiran Washington mengenai pendirian tegas kebanyakan rakyat Malaysia mengenai apa yang sedang berlaku.

“Pada masa yang sama, kami mengikiraf berkenaan isu ini dari sudut pandang AS, kami mengakui bahawa masyarakat mahukan kita bertindak. Mereka melihat kepada AS untuk hasilnya…. Jadi, kami memahami wujudnya kekecewaaan terhadap hakikat bahawa masih belum ada perkembangan,” ujarnya lagi sambil menegaskan pentingnya perdamaian dan kestabilan keselamatan di Timur Tengah.

Pertemuan delegasi Hamas

Pada pertengahan Mei, Anwar telah menarik perhatian masyarakat antarabangsa apabila mengadakan pertemuan dengan delegasi Hamas, diketuai oleh pemimpin politiknya Ismail Haniyeh semasa lawatan rasmi ke Qatar.

Dalam sesi soal jawab semasa Persidangan Nikkei Masa Depan Asia ke-29 pada minggu berikutnya, Anwar mempertahankan pertemuan itu dengan menegaskan hubungannya dengan Ismail telah terjalin sejak sekian lama.

"Adakah ia satu kesalahan (bertemu Ismail)? Adakah saya mempromosikan keganasan? (jawapan saya) tidak. Saya merayu (kepada Ismail supaya mematuhi seruan perdamaian) sebab saya ada kelebihan. Apa kelebihan saya... saya kenal mereka (dan) mereka anggap saya kawan,” ujarnya dalam sesi tersebut, seperti dilaporkan media tempatan.

Pada Jumaat, Anwar berkata Putrajaya perlu mengambil pendekatan rasional dalam menangani desakan supaya Malaysia menarik diri daripada latihan kententeraan diketuai oleh AS, yang melibatkan tentera Israel.

“Pendirian kita adalah tegas, tiada negara yang lantang bersuara sepertimana Malaysia dalam isu Israel… kita menyatakan protes setiap hari.

“Kita mesti bertindak dengan cermat dan tidak berdasarkan kepada sentimen… malah semasa kerajaan Perikatan [Nasional] sebelum ini, sebuah kapal Israel dibenarkan berlabuh di pelabuhan kita.

“Selepas kita mengambil alih kerajaan, kitalah yang menghentikan kapal Israel daripada berlabuh, biarpun berdepan dengan kritikan,” katanya kepada media di Pulau Labuan.

Anwar mengulas desakan kumpulan badan bukan kerajaan untuk Malaysia menarik diri dari mengambil bahagian dalam Latihan Lingkaran Pasifik yang dijadualkan berlangsung dari 26 Jun hingga 2 Ogos.

Ujarnya lagi: “Jika kita mengikut cadangan tersebut, kita perlu menghentikan operasi semua syarikat seperti Microsoft, Google, Apple dan Facebook. Malaysia akan terus bersuara mengenai kekejaman yang dihadapi oleh rakyat Palestin.”

Peranan ke arah perdamaian

Sementara itu, para penganalis berpandangan kedudukan Malaysia sebagai negara kecil yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel tidak menjadikannya sebagai perantara yang ideal dalam menamatkan konflik.

Menurut Profesor James Chin dari University of Tasmania, walaupun Anwar dilihat mempunyai pengaruh dalam isu Gaza, Malaysia tidak dilihat sebagai pemain utama di Timur Tengah.

“Realitinya, para pemain utama di Timur Tengah seperti Mesir, Arab Saudi, Jordan terletak dalam wilayah berkenaan dan mereka mungkin tidak melihat Malaysia sebagai pemain utama dalam perang Gaza,” ujarnya kepada BenarNews.

Dalam nada yang sama, Azman Pawi penganalisis politik Uniersiti Malaya berkata Anwar boleh memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran mengenai hak Palestin di pentas antarabangsa.

“Malaysia dilihat sebagai negara kecil tetapi Anwar mempunyai kemampuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu ini. Beliau telah bercakap di Jerman dan negara-negara lain untuk meningkatkan kesedaran.

“Beliau mempunyai hubungan yang baik dengan para pemain global sebelum dilantik sebagai perdana menteri lagi, dan beliau perlu meneruskan usaha meningkatkan kesedaran ini di pentas antarabangsa.

Azmi Hasan, penganalisis politik Akademi Nusantara pula berpandangan bahawa Malaysia perlu memanfaatkan hubungan baiknya dengan Hamas sebagai perantara sebelah pihak.

“Malaysia boleh memanfaatkan hubungan baik dengan sayap politik Hamas, Ismail Haniyeh. Malaysia menerima penyelesaian dua negara dan memandangkan Hamas menolak cadangan ini. Jadi, kita boleh cuba memujuk Ismail dengan mengemukakan pandangan kita mengenainya,” katanya kepada BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.