Kematian Dalam Tahanan: EAIC Mahu Jabatan Peguam Negara Dakwa Polis
2018.01.18
Kuala Lumpur
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa (EAIC) pada Khamis meminta Jabatan Peguam Negara mengenakan pertuduhan jenayah terhadap pegawai dan anggota polis Malaysia yang dikenalpasti terbabit serta menyebabkan kematian tahanan S. Balamurugan pada tahun lalu.
Pengerusinya A. Aziz A. Rahim memberitahu, suruhanjaya itu mendapati perbuatan atau pelakuan kekerasan yang dibuat oleh pegawai dan anggota polis itu telah menyebabkan kematian Balamurugan semasa berada di dalam tahanan di Balai Polis Bandar Baru Klang pada 8 Februari tahun lalu.
“Oleh yang demikian, Suruhanjaya mengesyorkan pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) menimbangkan pertuduhan jenayah terhadap pegawai dan anggota polis yang telah dikenalpasti kerana kesalahan menggunakan kekerasan ke atas si mati.
“Suruhanjaya juga mendapati dua pegawai polis yang dikenali sebagai SP46 dan SP28 melakukan salah laku yang serius iaitu menyalahgunakan kuasa dengan mengarahkan mangsa ditangkap semula tanpa sebab yang sah,” kata beliau dalam satu sidang media di Putrajaya pada Khamis tanpa menamakan anggota polis tersebut.
EAIC yang ditubuhkan pada 2011, merupakan badan berkanun yang mengendalikan aduan berkaitan dengan salah laku 19 agensi penguatkuasaan termasuk polis, imigresen dan kastam di Malaysia.
Suruhanjaya kerajaan Malaysia itu juga mengesahkan terdapat kekerasan yang dilakukan oleh pegawai dan anggota polis sehingga menyebabkan kematian tahanannya itu.
“Suruhanjaya mendapati kegagalan polis melepaskan si mati setelah permohonan reman ditolak majistret adalah salah laku serius kerana tidak mematuhi perintah mahkamah. Pihak polis juga gagal mematuhi arahan majistret supaya si mati dihantar ke hospital dengan kadar segera,” tambahnya.
Balamurugan, 44 ditahan bersama K. Tamilasan dan seorang lagi juvana oleh polis daerah Klang Utara dan dipukul di balai polis Bandar Batu Klang pada 6 Februari, tahun lalu.
Dia dibawa ke Mahkamah Majistret Klang untuk permohonan reman pada 7 Februari, dan majistret kemudian memerintahkan polis membawanya ke hospital untuk dirawat dan menolak permintaan reman itu. Sebaliknya, Balamurugan ditahan di ibu pejabat polis Klang Utara, di mana dia ditemui mati pada pagi 8 Februari.
A. Aziz memberitahu, polis juga gagal mematuhi perintah mahkamah majistret untuk menghantar Balamurugan mendapatkan rawatan di hospital dengan segera.
"Suruhanjaya mendapati kegagalan polis untuk membebaskan si mati selepas perintah reman mereka ditolak oleh majistret adalah salah laku serius kerana tidak mematuhi perintah mahkamah," katanya
Tambahnya, anggota polis SP19 kemudiannya telah menahan Balamurugan dan tidak membebaskannya walaupun si mati tiada kaitan dengan mana-mana kes.
Suruhanjaya itu turut mendapati beberapa pelanggaran lain dalam Prosedur Operasi Standard [SOP] dilakukan pegawai polis terbabit yang menahan tiga individu berkenaan, kerana menggari suspek bawah umur dan menempatkannya dalam lokap tahanan dewasa.
A. Aziz berkata punca kematian Balamurugan ialah penyakit arteri koronari dengan beberapa kecederaan akibat dipukul dengan senjata tumpul yang disahkan oleh dua pakar forensik dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah dan Hospital Kuala Lumpur.
Siasatan awam berhubung kematian Balamurugan diadakan pada 15 Mei hingga 11 Julai tahun lalu, dengan 46 saksi dipanggil memberi keterangan termasuk 108 ekshibit digunakan.
Pada 30 Oktober tahun lalu seorang anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Klang atas dakwaan menyebabkan kecederaan ke atas tahanan Balamurugan.
Pengakuan itu dibuat Inspektor Mohaneswaran Thiagarajah, 31, di depan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohaneswaran yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, didakwa mencederakan Balamurugan, untuk mendapatkan pengakuan bersalah secara paksa berkaitan kesalahan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 7 hingga 9.13 malam, 6 Februari lalu, di Balai Polis Bandar Baru Klang.
Dia yang didakwa mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan, boleh dihukum penjara 7 tahun dan didenda jika sabit kesalahan.
Laporan Human Right Watch
Laporan terbaru Human Rights Watch (HRW) yang dikeluarkan di New York pada Khamis dengan tajuk Malaysia: Antitoleransi Semakin Merebak dan Menggugat Hak Asasi – Aktivis Hak Asasi, Kebebasan Beragama Menjadi Sasaran, turut menyebut mengenai kes kematian dalam tahanan yang melibatkan Balamurugan dan seorang lagi lelaki yang dikenali sebagai Chandran Muniandy di Malaysia.
Laporan HRW dibawah tajuk kecil - Salah Laku Polis dan Kekebalan daripada Undang-undang – berkata, perbuatan penderaan oleh polis terhadap suspek yang ditahan, dalam beberapa kes telah mengakibatkan kematian, dan ianya adalah masalah serius, kerana ketiadaan akauntabiliti dalam kesemua kes berkaitan.
“Seorang inspektor polis telah dituduh dengan “sengaja mencederakan” Balamurugan untuk memaksanya membuat pengakuan. Sepanjang tahun 2017, sekurang-kurangnya dua individu lain mati dalam tahanan akibat kecederaan yang tidak dirawat,” menurut laporan itu.
Sementara itu, A. Aziz memberitahu kematian dalam tahan polis dapat dikawal sekiranya pegawai dan anggota mematuhi SOP.
“Adalah menjadi tanggungjawab pihak atasan mengingatkan pegawai dan anggotanya supaya mematuhi SOP, latih pegawai supaya lebih memahami SOP, kerana ada perlanggaran SOP yang dibuat secara sengaja,” katanya.