Follow us

Malaysia Batalkan Projek Landasan Kereta Api $20 Bilion Disokong China

Ali Nufael
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-01-26
E-mel
Komen
Share
Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad dan rakan sejawatannya dari China, Li Keqiang, membincangkan isu-isu dua hala pada satu majlis di Dewan Besar Rakyat, Beijing, 20 Ogos, 2018.
Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad dan rakan sejawatannya dari China, Li Keqiang, membincangkan isu-isu dua hala pada satu majlis di Dewan Besar Rakyat, Beijing, 20 Ogos, 2018.
[AP]

Malaysia telah membatalkan projek landasan kereta api bernilai $20 bilion yang dibiayai China, kata seorang menteri pada Sabtu yang menyatakan bahawa kos faedah yang tinggi menyebabkan kerajaan membuat keputusan itu, semasa beliau memperjelaskan tentang pembatalan satu daripada inisiatif infrastruktur terbesar ‘One Belt, One Road’ Beijing itu.

Kuala Lumpur, rakan dagang terbesar China di Asia Tenggara selepas Vietnam, telah mengetepikan dominasi China dalam ekonominya sejak Perdana Menteri Mahathir Mohamad kembali berkuasa susulan kemenangan besar dalam pilihan raya umum pada Mei tahun lepas, menyebabkan kontrak yang bernilai berbilion ringgit telah ditangguhkan.

"Kami tidak mampu," kata Mohamed Azmin Ali, menteri hal ehwal ekonomi Malaysia, kepada pemberita selepas menghadiri satu acara media di luar ibu negara itu. "Keputusan itu telah dimuktamadkan semasa mesyuarat Kabinet dua hari lalu."

Azmin merujuk kepada projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), iaitu landasan kereta api sepanjang 688 km (430 batu) yang akan menghubungkan pantai barat dan pantai timur Semenanjung Malaysia. Projek itu dibangunkan oleh kontraktor negara itu, China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

"Adalah lebih baik bagi kami untuk membuat keputusan (sekarang) kerana pelabur juga ingin mendapatkan penjelasan dan kami telah pun membuat keputusan," katanya.

Pembayaran faedah sahaja berjumlah RM500 juta ($120 juta) setahun, kata Azmin, sambil menekankan bahawa projek itu akan ditamatkan tanpa menjejaskan satu daripada penyumbang  pelaburan terbesar di negara itu.

Kuala Lumpur mencatatkan lebihan dagangan dengan Beijing pada tahun lepas. Ia mengeksport minyak sawit, elektronik dan gas petroleum cecair ke China dengan mengumpul jumlah dagangan sebanyak $92.4 bilion yang termasuk pengimportan jentera dan produk elektronik.

Kenyataan menteri itu dibuat ketika wujudnya kebimbangan yang semakin ketara tentang meluasnya pengaruh China di Asia Tenggara, kebanyakannya akibat inisiatif infrastruktur Beijing yang bernilai berbilion dolar untuk membina jalan raya, kereta api dan pelabuhan, yang menimbulkan kebimbangan mengenai peningkatan hutang di negara-negara miskin di rantau itu.

Masih belum jelas sama ada kontraktor berkenaan iaitu CCCC telah dimaklumkan tentang keputusan kerajaan itu.

Azmin tidak menyatakan berapa banyak pampasan yang akan dibayar Malaysia berikutan langkahnya menamatkan projek itu, dengan menjelaskan bahawa jumlah itu akan ditentukan oleh Kementerian Kewangan.

Oh Ei Sun, felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, berkata pembatalan itu tidak akan menjejaskan keseluruhan hubungan dua hala antara Kuala Lumpur dan Beijing.

"Sudah tentu, ia akan menyebabkan hubungan sedikit tegang, tetapi bagi hubungan keseluruhan dua hala, ekonomi dan sebagainya, asasnya akan kekal utuh dan tidak terjejas hanya kerana satu projek," katanya kepada BeritaBenar.

Tetapi penganalisis politik, Awang Azman Awang Pawi, berkata pengumuman itu mungkin memberi kesan kepada hubungan dua hala.

"Ia akan mengeruhkan sedikit hubungan antara Malaysia dan China tetapi ia masih bergantung kepada pampasan yang akan dibayar," katanya. "Jika jumlah itu dapat dipersetujui bersama, saya fikir ini tidak akan menjadi masalah besar. Kedua-dua negara boleh menjalinkan kerjasama lagi pada masa akan datang."

Kenyataan Azmin itu nampaknya berbeza dengan kenyataan terdahulu yang dibuat oleh menteri kabinet lain termasuk Menteri Kewangan Lim Guan Eng, yang telah memberitahu bahawa keputusan projek itu masih belum dimuktamadkan, lapor South China Morning Post.

Tetapi, akhbar itu memetik dua sumber tidak dinamakan yang mengetahui tentang keputusan kabinet itu yang menyatakan bahawa Azmin telah menyuarakan mengenai kedudukan muktamad Malaysia: bahawa kontrak yang dijalinkan dengan CCCC akan ditamatkan.

"Kabinet memutuskan untuk membatalkan projek itu kerana kos pembangunannya adalah terlalu tinggi, dan kami tidak mempunyai keupayaan kewangan pada masa ini," kata Azmin kepada pemberita.

Akhbar Straits Times yang berpejabat di Singapura melaporkan bahawa kontrak itu, yang sepatutnya menerima pembiayaan daripada Export-Import Bank of China, telah ditamatkan selepas Malaysia gagal mengurangkan kos projek itu kepada separuh.

Mahathir memberitahu pemberita pada Khamis bahawa beliau "tidak pasti" sama ada kontrak ECRL telah ditamatkan, kerana beliau baru sahaja pulang dari lawatan kerja di UK dan Vienna.

"Saya baru pulang dari luar negara," katanya.

Awal bulan ini, duta China ke Malaysia, Bi Tian, berkata beliau berharap rundingan untuk menyambung semula pembinaan ECRL akan berjaya. Beliau membuat kenyataan itu selepas Mahathir berkata projek itu boleh diteruskan tetapi dalam "skala yang lebih kecil."

Projek kereta api itu adalah antara projek infrastruktur bernilai $34 bilion yang diluluskan oleh kerajaan sebelum ini yang dipimpin Najib Razak, yang pernah memuji projek itu sebagai ‘pencetus perubahan’ bagi negara yang mempunyai majoriti penduduk Muslim itu.

Najib menghadapi 39 pertuduhan jenayah yang berkaitan dengan dana pembangunan negara yang bermasalah, 1Malaysia Development Berhad, yang ditubuhkannya pada 2009. Jabatan Kehakiman AS mendakwa bahawa hampir $4.5 bilion (RM18.7 bilion) daripada dana negara telah diselewengkan dan diubah menerusi hartanah dan aset lain.

Lihat Laman Penuh