Follow us

Malaysia Dilihat Tidak Konsisten Berhubung Status Projek ECRL

Ali Nufael
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-01-29
E-mel
Komen
Share
Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad dan Penasihat Negara Myanmar Aung San Suu Kyi semasa menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-China di luar Persidangan ke-33 Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) Ke-33, di Singapura, 14 November 2018.
Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad dan Penasihat Negara Myanmar Aung San Suu Kyi semasa menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-China di luar Persidangan ke-33 Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) Ke-33, di Singapura, 14 November 2018.
AFP

Malaysia dilihat tidak konsisten berhubung status projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang disokong China apabila Perdana Menterinya pada Selasa berkata negara itu masih belum membuat sebarang keputusan muktamad mengenainya walaupun seorang menteri kabinet baru-baru ini mengumumkan bahawa kerajaan telah membatalkan projek berkenaan.

“Tiada keputusan muktamad yang telah dibuat…belum batal lagi dan tidak ada keputusan batal,” jawab Perdana Menteri Mahathir Mohamad kepada media semasa diminta mengulas mengenai kenyataan berbeza yang dikeluarkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berhubung ECRL pada hujung minggu lalu.

Mohamed Azmin pada Sabtu berkata semasa mesyuarat kabinet pada 24 Januari lalu, kerajaan Malaysia telah memutuskan untuk membatalkan projek ECRL bernilai $20 bilion yang dibiayai China kerana ketidakmampuan negara untuk menampung kos faedah yang tinggi daripada inisiatif infrastruktur terbesar ‘One Belt, One Road’ Beijing itu.

Lim kemudian dilaporkan berkata bahawa beliau terkejut dengan kenyataan Azmin kerana status ECRL belum dimuktamadkan dan akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Mahathir, yang mengulas lanjut mengenai kekeliruan kenyataan dua menteri kanan itu, berkata apa yang dilaporkan media bukan berdasarkan konteks asal kenyataan-kenyataan tersebut.

"(Lim) Guan Eng dan Azmin betul, tetapi mereka membuat pengumuman pada masa yang salah. Menteri Kabinet menyatakan sesuatu yang lain dan media menyatakan sesuatu yang lain. Apa yang patut diberi perhatian adalah berkenaan hubungan kita dengan China kekal utuh kerana China akan menjadi rakan pelaburan dan pasaran yang baik bagi kita," jelas Mahathir.

Perdana Menteri itu juga berkata Malaysia dan China sedang berusaha mencari jalan penyelesaian terhadap isu berkenaan.

"Kedua-dua pihak akan mencari jalan penyelesaian dan Lim Guan Eng akan membuat pengumuman itu apabila beliau selesai dengan rundingannya,” kata Mahathir.

Terdahulu itu, Perdana Menteri berusia 93 tahun berkata jumlah pampasan yang perlu dibayar kerajaan jika memutuskan untuk membatalkan projek ECRL tidaklah besar berbanding jumlah hutang jika projek landasan kereta api itu diteruskan.

“Kerajaan akan menanggung hutang besar selama 30 tahun jika projek ECRL diteruskan. Bukan kerajaan tidak mahu mengotakan kontrak tetapi tidak mampu untuk membayarnya. Kita mungkin terpaksa membayar RM100 bilion untuk projek ini…ia akan memiskinkan kita.

“Atas sebab itu, kerajaan berharap mereka yang terlibat dalam projek ini dapat memahami keadaan kita. Kita tidak mahu mengecewakan mereka atau mengetepikan kontrak tetapi keadaan kewangan kita memang tidak mengizinkan,” kata Mahathir di Putrajaya.

Agensi berita nasional Malaysia, Bernama, pula melaporkan Mahathir sebagai berkata: “Pampasan yang tinggi tidak sebesar jumlah yang akan kita bawa selama 30 tahun akan datang."

Lagu persahabatan


Sementara itu, semasa Malaysia mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan akan membatalkan projek landasan kereta api yang dibiayai Beijing, Pejabat Kedutaan China di Kuala Lumpur memuat naik satu lagu yang diciptakan khas untuk Malaysia bagi meraikan hubungan diplomatik kedua-dua negara yang terjalin sejak 45 tahun lalu.

Lagu itu yang dinyanyikan dalam bahasa Mandarin telah dimuat naik di laman sosial Facebook Kedutaan China Kuala Lumpur pada Ahad, sehari selepas Menteri Ekonomi Malaysia Mohamed Azmin Ali memberitahu media bahawa kerajaan akan membatalkan projek ECRL atas sebab-sebab kewangan.

Video klip berdurasi tiga minit itu, yang bertajuk ‘Bahu Kiri’ dinyanyikan oleh dua penyanyi dari Malaysia.

Dalam kenyataannya, kedutaan itu berkata lagu berkenaan bertujuan menyatakan terima kasih dan penghargaan kepada Malaysia atas persahabatan yang dijalan dengan China.

Sehingga Selasa, klip video berkenaan sudah ditonton sebanyak 58,000 kali dan dikongsi sebanyak 984 kali. Lebih 1,000 pengguna Facebook memberikan reaksi positif terhadap lagu tersebut.

Kuala Lumpur, rakan dagang terbesar Beijing di Asia Tenggara selepas Vietnam, telah mengetepikan dominasi China dalam ekonominya sejak Perdana Menteri Mahathir Mohamad kembali berkuasa susulan kemenangan besar dalam pilihan raya umum pada Mei tahun lepas, menyebabkan kontrak yang bernilai berbilion ringgit telah ditangguhkan.

Penganalisis politik Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata lagu ciptaan Kedutaan China itu adalah untuk menyatakan tentang hubungan persahabatan kedua-dua negara yang sudah lama terjalin dan berharap ia tidak menjadi buruk.

“China perlukan banyak hubungan persahabatan dan Malaysia perlukan banyak pelaburan. Jadi, hubungan antara dua negara bukanlah teruk dan berharap tidak menjadi buruk,” katanya.

Kontrak pembangunan landasan kereta api sepanjang 688 km (430 batu) itu, yang akan menghubungkan pantai barat dan pantai timur Semenanjung Malaysia, telah diberikan kepada China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Projek landasan kereta api itu adalah antara projek infrastruktur bernilai $34 bilion yang diluluskan oleh kerajaan pimpinan Najib Razak, yang pernah memuji projek itu sebagai ‘pencetus perubahan’ bagi Malaysia yang mempunyai majoriti penduduk Muslim.

Hubungan diplomatik antara China dan Malaysia bermula pada 1974 apabila Perdana Menteri Abdul Razak Hussein, yang juga bapa Najib, melakukan lawatan ke negara itu dan menjadikan beliau pemimpin Asia Tenggara yang pertama mengunjungi China.


Lihat Laman Penuh