Mahathir: Malaysia Jimat Berbilion Ringgit dalam Rundingan Semula Perjanjian ECRL

Radzi Razak & Ali Nufael
2019.04.15
Putrajaya, Malaysia
190415-MY-CH-ECRL1000.jpg Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad bercakap semasa satu sidang akhbar di Putrajaya, Malaysia, Isnin, 15 April 2019.
[AP]

Malaysia berjaya mengurangkan satu pertiga daripada kos projek pembinaan rel yang disokong China menerusi rundingan semula dengan Beijing “yang menguntungkan kedua-dua pihak” dan mengelak dikenakan penalti akibat pembatalan sebanyak AS$5 bilion, kata Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad pada Isnin.

Di bawah perjanjian baharu Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dirundingkan semula dan dimeterai dengan China pada 12 April, kos projek itu akan dikurangkan kepada 44 bilion ringgit (AS$11 bilion) daripada 65.5 bilion ringgit (AS$16 bilion) berbanding perjanjian asal yang ditandatangani oleh kerajaan Malaysia sebelum ini pada 2017, kata Mahathir.

Pemeteraian perjanjian baharu itu dengan Beijing, selain menyaksikan manfaat ekonomi lain, kerajaan berjaya mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih besar untuk rakyat Malaysia yang akan bekerja dengan projek pembinaan infrastruktur itu, kata perdana menteri berkenaan.

“Kerajaan PH berdepan pilihan sama ada melakukan rundingan semula atau membayar kos pembatalan sebanyak kira-kira 21.78 bilion ringgit (AS$5 bilion), tanpa memperoleh apa-apa,” kata Mahathir semasa sidang akhbar, merujuk kepada kerajaan gabungan Pakatan Harapan yang dipimpinnya.

“Oleh itu, kami memilih untuk kembali ke meja rundingan dan meminta perjanjian yang lebih menguntungkan di mana keperluan rakyat Malaysia menjadi keutamaan.”

Menandatangani perjanjian itu pada Ogos 2017, Perdana Menteri ketika itu Najib Razak, menyifatkan projek sepanjang 688 kilometer (427 batu) yang merentasi negeri-negeri Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan, sebagai pengubah strategi bagi Malaysia, dengan menyatakan bahawa ia akan siap pada 2024.

“Ia adalah satu jumlah harga yang begitu tinggi serta sukar dipercayai, yang tidak jelas dari segi spesifikasi teknikal, harga dan juga justifikasi ekonomi,” kata Mahathir mengenai perjanjian yang ditandatangani oleh pemimpin sebelumnya.

Mahathir berkata tarikh siap projek ECRL itu telah dilanjutkan kepada 31 Dis 2026. Pembinaan, yang dihentikan pada Julai 2018, akan disambung tidak lama lagi, kata beliau.

“Seperti yang anda tahu, sebahagian daripada kerja telah dijalankan. Kami akan meneruskannya. Pembayaran akan dibuat berdasarkan kemajuan pembinaan,” kata Mahathir kepada pemberita.

Mahathir berkata kontraktor utama projek itu, China Communications Construction Co Ltd (CCCC) akan memulangkan 1 bilion ringgit (AS$243 juta) kepada kerajaan Malaysia dalam tempoh sebulan. Pemulangan itu adalah sebahagian daripada bayaran pendahuluan sebanyak 3.1 bilion ringgit (AS$750 juta) bagi Fasa 2 projek ECRL.

“Baki akan diselesaikan dalam tempoh tiga bulan selepas pemotongan bagi tuntutan disahkan kerana kerja-kerja yang dihentikan, penggantungan dan pembatalan sambungan utara,” kata Mahathir.

Di Beijing pada Jumaat, seorang pegawai kerajaan China memuji rundingan itu.

“Kerajaan Malaysia dan China serta syarikat-syarikat yang terlibat telah berhubung rapat  berkaitan projek itu,” kata jurucakap Kementerian Luar Lu Kang.

“Kami gembira selepas konsultasi yang mesra, kedua-dua pihak telah mencapai satu penyelesaian. Kami harap pembinaan projek itu akan disambung semula secepat mungkin untuk hasil yang lebih menguntungkan kedua belah pihak.

“Pihak kerajaan dan perniagaan China dan Malaysia telah mencapai konsensus yang relevan dan memeterai satu perjanjian dalam semangat saling menghormati serta rundingan yang adil dan saksama, yang kondusif untuk kedua-dua pihak,” kata Kang dalam respons kepada soalan susulan berkaitan ECRL.

Seorang pemberita membaca kertas sebaran berkaitan projek Laluan Rel Pantai Timur yang diagih di satu sidang akhbar di Putrajaya, Malaysia. 15 April 2019. [S. Mahfuz/BeritaBenar]

Jarak rel dipendekkan

Di bawah perjanjian baharu, jarak ECRL telah dipendekkan kepada 648 km (402 batu), yang membawa kepada penjimatan kos.

Satu seksyen telah dipotong atas permintaan kerajaan di negeri Selangor kerana laluan asal merentasi satu kawasan yang diharap akan diisytihar sebagai sebuah tapak Warisan Dunia UNESCO, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Rabung Kuarza Gombak Selangor terbentuk sepenuhnya daripada kuarza kira-kira 200 juta tahun lepas. Bahagian rabung kuarza itu yang paling menakjubkan ialah bahagian tengahnya yang melengkung, yang meliputi Taman Melawati, Zoo Negara di kawasan Ampang Jaya dan sebahagian dari kawasan Perbandaran Selayang, menurut UNESCO.

“Jika pembinaan landasan rel diteruskan, permohonan kepada UNESCO akan gagal kerana tapak warisan semula jadi tidak boleh melibatkan kerja infrastruktur baharu yang merosakkan tapak itu,” katanya kepada BeritaBenar semasa sesi soal jawab di Kedutaan Malaysia di Washington pada Sabtu.

Manfaat lain

Selain pengurangan kos projek itu, Mahathir berkata negara juga bakal menyaksikan manfaat ekonomi lain. Beliau mengumumkan bahawa peluang pekerjaan dalam bidang pembinaan untuk pekerja tempatan akan meningkat daripada 30 peratus seperti yang dipersetujui dalam kontrak asal kepada 40 peratus.

Mahathir turut mengumumkan bahawa meskipun perjanjian yang dicapai minggu lepas adalah khusus bagi projek ECRL, beliau menjangkakan untuk mencapai persetujuan bagi memasarkan minyak sawit ke China.

Pakar Ekonomi Malaysia Jalilah Baba memberitahu BeritaBenar bahawa kerajaan mencapai kejayaan yang cemerlang dalam rundingan semula perjanjian projek rel itu.

“Ia adalah satu hasil yang bagus. Berupaya memotong kos projek itu merupakan satu langkah yang  hebat oleh kerajaan. Selain itu, projek tersebut tidak terjejas teruk dan masih boleh diteruskan,” kata beliau.

“Ia juga akan mempunyai kesan yang baik terhadap kestabilan kewangan kita dan kita tidak lagi begitu banyak berhutang kepada kerajaan China, bermakna kita tidak perlu membayar faedah yang tinggi kerana kita tidak mengambil sejumlah pinjaman yang besar.” katanya.

Menulis untuk majalah Forbes, profesor ekonomi Panos Mourdoukoutas memuji Mahathir kerana menyelamatkan Malaysia daripada perangkap hutang dengan China.

“Perjanjian baharu ini adalah satu kemenangan besar buat Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad. Beliau telah menunaikan janji pilihan rayanya untuk merundingkan semula pelaburan China di negara ini, yang lebih memenuhi kepentingan Beijing berbanding Kuala Lumpur,” kata Mourdoukoutas.

Kebimbangan China

Pakar ekonomi Barjoyai Bardai dari Universiti Kebangsaan Malaysia turut menyifatkan rundingan semula itu sebagai satu kejayaan, dan berkata kedua-dua negara berhasrat meneruskan projek ECRL.

“China mahukan projek ini kerana ia sebahagian daripada inisiatif One Belt, One Road (OBOR) mereka manakala Malaysia mahukan projek ini bagi melindungi hubungan diplomatik dan perdagangannya dengan China,” katanya.

Sementara itu, seorang pakar dasar China memaklumkan New York Times bahawa China membuat perjanjian itu kerana inisiatif  OBORnya bagi menghubungkan Beijing dengan rantau Asia lain, serta Eropah dan Afrika dengan membina lebuh raya, landasan kereta api, pelabuhan dan infrastruktur lain secara besar-besaran, yang mencederakan reputasinya.

“Kami sedang berada dalam era yang menyaksikan China melakukan perubahan taktikal berdasarkan reputasi yang amat tidak popular,” kata Jude Blanchette kepada New York Times.

“Penyesuaian ini dibuat dalam konteks China mengenal pasti bahawa Inisiatif Belt and Road adalah kurang popular daripada yang diingini oleh China,” kata Blanchette, seorang penasihat kanan di Crumpton Group, yang menyifatkan dirinya sebagai sebuah firma penasihat strategik antarabangsa dan pembangunan perniagaan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.