ECRL: Malaysia Kembali Guna Jajaran Asal, Sedia Bayar RM6 Bilion, Tambah 17 Km

Selangor kekal dengan pendirian untuk menggunakan Jajaran Selatan dan tidak akan bekerjasama dengan Putrajaya.
Hadi Azmi & Noah Lee
Kuala Lumpur
2021-04-05
Share
ECRL: Malaysia Kembali Guna Jajaran Asal, Sedia Bayar RM6 Bilion, Tambah 17 Km Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong bercakap kepada pemberita semasa sidang akhbar berkaitan Projek Laluan Rel Pantai Timur di Putrajaya, 5 Apr, 2021.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia pada Isnin berkata kos projek rel yang dibiayai menggunakan dana dari China, menyambungkan jajaran Pantai Timur dan Barat Malaysia telah disemak semula dengan Putrajaya bersetuju membayar tambahan RM6 bilion (AS$1.44 bilion) bagi pemanjangan jarak sejauh 17 kilometer, walaupun kerajaan Negeri Selangor menentang tindakan tersebut atas alasan memberikan impak terhadap alam sekitar.

Semasa pengumuan terbaharu berhubung Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) oleh Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong itu turut memaklumkan yang kerajaan juga bersetuju untuk kembali mengikut jajaran seperti rancangan asal semasa pentadbiran Najib Razak sebagai perdana menteri sekitar 2016, sebelum ianya diubah oleh kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Mahathir Mohamad pada 2019.

“Kementerian Pengangkutan telah membuat keputusan untuk mengubah semula jajaran Seksyen C ECRL (Jajaran Utara) ke jajaran asal yang dicadangkan dalam tahun 2016-2017. Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 2 September 2020 telah meluluskan jajaran tersebut (Jajaran Utara).

"Anggaran kos bagi ECRL Jajaran Utara ataupun ECRL 3.0 ini adalah sejumlah RM50 bilion. Anggaran kos ini juga adalah lebih rendah berbanding dengan anggaran kos pembinaan ECRL 2.0 yang melalui Jajaran Selatan beserta dengan pelaksanaan berasingan pembinaan Serendah Bypass," kata Wee pada sidang media di Putrajaya.

Menteri itu berkata langkah mengikut pelan asal dikatakan adalah pilihan lebih baik serta membawa manfaat lebih besar kepada rakyat serta jaringan landasan dalam negara bagi jangkamasa panjang.

Jajaran Utara itu akan meliputi sejumlah tujuh buah stesen yang menyaksikan rel dari Mentakab di Pahang ke Pelabuhan Klang melalui Bentong, Gombak dan Serendah, berbanding Jajaran Selatan yang melalui Negeri Sembilan dengan sejauh 640 km.

“Jajaran Utara dianggarkan merangkumi 201 km panjang manakala jajaran terdahulu melibatkan 185.5 km panjang. Keseluruhan jajaran dari Kota Bharu ke Pelabuhan Klang dengan perubahan terkini berjumlah 665 km,” tambah Wee.

ECRL itu juga merupakan satu projek utama di Malaysia bagi inisiatif One Belt, One Road (OBOR) oleh China di mana menerusi pacuan infrastruktur bernilai trillion dolar itu, Beijing merancang membina satu rangkaian jalan raya, landasan kereta api dan pelabuhan di selatan dan Asia Selatan bagi membolehkannya mudah berdagang dengan negara Eropah melalui Lautan Hindi dan Asia Tengah.

Dalam perjanjian ECRL terdahulu, CCCC bertindak sebagai kontraktor utama bagi projek landasan kereta api itu manakala MRL telah disenarai sebagai pemiliknya dan menerima pinjaman daripada Bank Eksport dan Import China.

Pada Ogos 2017, Najib semasa majlis pecah tanah projek tersebut di Kuantan, menyifatkan jajaran sepanjang 688 km yang dijangka siap pada 2024 itu adalah sebagai pencetus perubahan dan haluan pemikiran bagi Malaysia kerana bakal memendekkan masa perjalanan pergi dan balik bagi pantai timur Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapuan Putrajaya yang kemudiannya ditadbir oleh Pakatan Harapan pimpinan Perdana Menteri Mahathir pada 2018, telah menolak kos asal projek rel tersebut yang dianggarkan pada RM65.5 bilion (AS$16 bilion), dan setahun kemudian mengumumkan bahawa syarikat kejuruteraan China yang diberikan kontrak untuk melaksanakan projek tersebut bersetuju untuk menurunkan kos kepada RM44 bilion (AS$11 bilion).

Penurunan kos itu melibatkan penjajaran semula bahagian landasan untuk melalui Negeri Sembilan berbandingn pelan asal yang akan mengambil laluan di sebelah utara melalui kawasan berkepadatan tinggi di Gombak.

Menyentuh mengenai tempoh masa diambil untuk projek itu, Wee berkata walaupun dengan perubahan pelan jajaran kembali kepada asal, projek berkenaan masih boleh disiapkan dalam tempoh tujuh tahun dan akan mula beroperasi pada 2027.

“Secara ringkasnya, pelaksanaan Jajaran Utara merupakan pilihan yang lebih baik kerana ia memberi pencapaian yang lebih besar untuk rangkaian rel negara dalam masa jangka panjang.

“Jajaran Utara juga memberikan “value for money” di mana ia meningkatkan ketersambungan rel kargo ke hab kargo aktif serta meningkatkan daya tarikan untuk pemindahan kapasiti kargo bagi jaringan rel sedia ada,” kata Menteri itu sambil memberitahu bahawa Kabinet juga memutuskan supaya Jajaran Utara dilaksanakan dengan serta-merta.

Beliau berkata buat masa ini, pembinaan ECRL sedang berjalan pada tahap yang memberansangkan iaitu 21.39 peratus setakat Mac dengan kerja pembinaan sedang rancak dijalankan dan tertumpu di Seksyen A Kota Bharu-Dungun dan Seksyen B Dungun-Mentakab.

Selangor tidak akan berkerjasama

Sementara itu Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industrial Kecil dan Sederhana (IKS) Selangor Teng Chang Kim selepas pengumuman Wee itu berkata kerajaan negeri tidak akan membantu kerajaan persekutuan untuk mendapatkan perolehan tanah seperti yang diperlukan bagi meneruskan projek ECRL jika Putrajaya masih tetap mahu menggunakan pelan asal Jajaran Utara.

“Selangor tidak akan melakukan perolehan tanah buat kerajaan persekutuan jika ia terus mahukan Jajaran Utara yang diusulkan masa era BN buat ECRL,” katanya yang merujuk kepada era Barisan Nasional di mana Najib sebagai Perdana Menteri.

“Kerajaan persekutuan berperangai seperti pembuli kerana membuat keputusan secara sebelah pihak selepas gagal untuk menyakinkan kerajaan negeri berkenaan Jajaran Utara,” katanya.

Menurut Teng lagi, kerajaan negeri telahpun melengkapkan kerja-kerja awal bagi perolehan tanah buat Jajaran Selatan seperti yang diminta Kementerian Pengangkutan sebelum ini.

Pada 31 Mac lalu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri Selangor tetap dengan pendiriannya untuk memilih Jajaran Selatan bagi ECRL berbanding Jajaran Utara kerana ia akan membuka lebih banyak kawasan ekonomi baru selain dapat mengelak daripada menganggu kawasan takungan air di Selangor, isu perolehan tanah dan proses pemindahan populasi di kawasan yang diusulkan di Jajaran Utara.

"Jajaran Utara akan melintasi Sungai Selangor yang memberi perkhidmatan 60 peratus daripada 1.4 juta pemilik akaun di Selangor dan Kuala Lumpur, kita bimbang gangguan kepada kawasan tadahan air di sekitar Lembangan Sungai Selangor yang beri kesan pada pengguna," katanya.

Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Mohd Zuki Ali pula memaklumkan yang kerajaan menanggung kerugian kira-kira RM1.25 juta sehari ekoran keputusan kerajaan Selangor menangguhkan persetujuan penjajaran semula projek ECRL.

Mohd Zuki berkata seperti dilaporkan media tempatan berkata, projek kereta api kerjasama Malaysia dan China itu tertangguh kira-kira setahun dan mungkin berlanjutan sekiranya kerajaan Selangor mengekalkan pendirian tersebut.

Penjajaran lebih bagus

Penyelidik pengangkutan awam S.M. Sabri S.M. Ismail berkata jajaran yang terbaharu ini adalah lebih baik dari pelan awal pada tahun 2017 kerana ia menghubungkan terus trek laluan ke limbungan di Pelabuhan Klang sekaligus menghapuskan keperluan untuk memunggah barangan ke dalam trak sebelum dipindahkan ke dalam kapal.

“Perkara ini tidak ada dalam plan asal ECRL yang diusulkan dan diumumkan kepada orang awam pada Disember 2017.

“Jajaran terbaharu ini lebih efisyen, tetapi tanpa menghubungkan trek terus ke pelabuhan, projek ini akan menjadi tidak berguna,” kata beliau kepada BeritaBenar.

Sabri turut menambah bahawa sambungan trek terus ke limbungan walaubagaimanapun telah wujud dalam jajaran yang diusulkan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada tahun 2019.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh