Malaysia Gantung Dua Akhbar Akibat Dedah Isu 1MDB

Oleh Hata Wahari
2015.07.24
150724-MY-EDGE620 Seorang penunggang motosikal melepasi tapak pembinaan Tun Razak Exchange milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kuala Lumpur. 8 Julai 2015
AFP

Malaysia menggantung permit penerbitan akhbar kewangan harian dan mingguan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily kerana membuat pendedahan mengenai skandal dan salah urus kewangan syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang melibatkan Perdana Menteri Najib Razak.

Akhbar kewangan itu mengesahkan bahawa ia telah menerima surat daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Jumaat, memaklumkan mengenai penggantungan selama tiga bulan berkuatkuasa 27 Julai ini berikutan laporan-laporannya yang berkaitan dengan 1MDB.

Isnin lepas Putrajaya telah mengambil tindakan menyekat laman web portal berita penyiasatan yang berpangkalan di United Kingdom, The Sarawak Report, kerana dikatakan menggangu-gugat kestabilan negara.

Kedua-dua tindakan itu diambil oleh kerajaan Malaysia dalam tempoh seminggu, selepas organisasi media yang terlibat mengkritik dan mendedahkan pendakwaan salah laku dalam urusan kewangan berkaitan 1MDB.

Pada Isnin yang sama juga, The Edge Financial Daily telah menerbitkan sebuah artikel empat halaman yang memberi fokus kepada usaha sama di antara 1MDB dan PetroSaudi International dan sejak dua tahun lepas akhbar berkenaan beberapa kali melaporkan dengan meluas mengenai 1MDB, ketika entiti milik kerajaan itu mula menghadapi masalah kewangan.

The Edge dalam kenyataannya berkata, surat KDN itu menyatakan bahawa laporan mengenai 1MDB oleh kedua-dua penerbitan itu ‘memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan atau mungkin menimbulkan keresahan umum atau mungkin memudaratkan kepentingan awam dan negara.’

Surat itu juga menyatakan bahawa kegagalan untuk menghentikan penerbitan itu selama tiga bulan akan menyebabkan KDN menarik balik permit penerbitan The Edge.

Pada 2 Julai lepas, akhbar The Wall Street Journal (WSJ) yang beribu pejabat di Amerika Syarikat telah melaporkan tentang penyiasatan ke atas 1MDB yang didakwa telah menyalurkan hampir AS$700 juta (RM2.64 bilion) ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

Dow Jones & Company, yang memiliki akhbar WSJ berkata, akhbar itu tidak perlu untuk menjelaskan pendiriannya mengenai laporan yang mendakwa sejumlah RM2.6 bilion dana yang dikaitkan dengan 1MDB didepositkan ke dalam akaun bank peribadi Najib.

"Kami percaya permintaan anda (peguam Najib) tidak perlu kerana artikel berita dan pendapat bercakap bagi diri mereka sendiri," kata peguam Dow Jones dan ketua pegawai pematuhan Jason P Conti menulis dalam suratnya kepada peguam Najib.

Barisan peguam Perdana Menteri baru-baru ini telah menghantar surat kepada WSJ menuntut penerbitan itu menjelaskan pendiriannya mengenai laporan berita 2 Julai bertajuk "Malaysia leader's accounts probed" dan pendapat pada 6 Julai bertajuk "Scandal in Malaysia".

Tutup mulut

Dalam pada itu, penerbit dan ketua pegawai eksekutif Kumpulan Media The Edge, Ho Kay Tat, dalam kenyataan mengenai penggantungan permit akhbar berkenaan berkata beliau kecewa dengan keputusan itu.

"Kami tidak melihat dengan mendedahkan komplot menipu rakyat Malaysia membabitkan berbilion Ringgit boleh menjejaskan kepentingan awam dan negara. Semua ini adalah tindakan untuk menutup operasi kami supaya kami menutup mulut kami,” tambah beliau.

The Edge Media Group Malaysia mempunyai kira-kira 350 pekerja.

Kay Tat selepas mengadakan pertemuan dengan kakitangan syarikat lewat malam Jumaat berkata kepada media, "Kami tidak akan meminta maaf kerana kami tidak melakukan sebarang kesalahan. Kami tetap dengan apa yang kami terbitkan,"

"Kami akan failkan semakan kehakiman pada hari Isnin dan ianya adalah satu prinsip keadilan kerana kami tidak fikir penggantungan ini wajar," katanya.

Setakat ini, KDN belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas terhadap kenyataan The Edge Media Group Malaysia itu.

Malaysia negara gagal

Bekas ketua pembangkang yang kini dipenjarakan, Anwar Ibrahim, dalam ruangan rencana pendapat yang disiarkan akhbar WSJ pada Jumaat berkata, Malaysia sebagai negara berpendapatan sederhana boleh menjadi negara yang gagal jika ekonominya terus disalah urus.

“Ada bahaya yang sedang menanti di hadapan. Negara berpendapatan sederhana seperti Malaysia, selepas disalah urus dengan tadbir urus yang kabur serta berbelanja dengan berlebihan boleh menyebabkan negara menjadi gagal.

“Peningkatan penindasan politik juga menyebabkan segelintir daripada mereka berputus asa dengan sistem politik dan mempertimbangkan cara di luar perundangan untuk membawa perubahan, sekali gus mewujudkan satu kitaran yang tragis dan ganas,” kata Anwar dalam penulisanya itu.

“Kami percaya rasuah adalah pendarahan secara perlahan yang merompak peluang pendidikan dan perniagaan generasi masa depan. Kami percaya sistem keistimewaan berasaskan kaum yang bertukar menjadi 'budaya untung atas angin' membuat sesetengah pihak terpilih perlu diruntuhkan.”

Anwar dalam pandangannya di ruang rencana itu percaya Malaysia masih boleh keluar daripada kemelut yang sedang dihadapi itu.

“Masih ada laluan yang jelas daripada kekusutan ini, kembali kepada Perlembagaan Malaysia, yang memelihara dan melindungi hak-hak semua rakyat Malaysia, menurunkan kuasa eksekutif yang peranannya kini menyerupai diktator dan bukan berkhidmat untuk rakyat, pilihan raya yang bebas dan adil, serta media yang bebas serta tidak takut mencabar pihak berkuasa,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Pengerusi The Edge Media Group, Tong Kooi Ong mengaku memperdaya Andre Xavier Justo, tetapi itu adalah salah satu cara untuk mendapatkan bukti bagi mendedahkan bagaimana sekumpulan kecil rakyat Malaysia dan warga asing, menipu rakyat Malaysia sebanyak AS$1.83 bilion.

Pada 22 Jun lepas, Polis Thailand telah menahan bekas Eksekutif PetroSaudi International Ltd., Xaxier Andre Justo, 49, setelah firma itu membuat laporan mendakwa lelaki berkenaan telah memeras ugut syarikat yang menjadi rakan usahasama 1MDB itu.

Semasa dalam tahanan Polis Thailand, lelaki dengan kerakyatan Switzerland itu mendakwa pernah mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin Malaysia untuk membeli maklumat daripada beliau bagi memburuk-burukkan kerajaan Malaysia.

Tong dalam kenyataannya berkata, kenyataan Justo mengesahkan apa yang kami katakan sebelum ini iaitu, kami tidak pernah membayar sesiapa. Tuduhan Justo yang kami menyuruhnya mengubah dokumen dan mendakwa objektif kami untuk menjatuhkan kerajaan - kami tidak akan memberitahu sesuatu seperti itu kepada orang yang baru pertama kali ditemui.

Beliau merujuk kepada laporan berita akhbar Singapura, Straits Times (ST) pada Jumaat, di mana Justo menuduh The Edge tidak membayar kepadanya seperti yang dipersetujui untuk maklumat yang diberi berhubung skandal 1MDB-PetroSaudi.

Tambah Tong, kumpulan media itu tidak melakukan sebarang kesalahan dan bersedia membantu penyiasat, dan tidak bertindak seperti beberapa pihak yang menghilangkan diri.

Dalam perkembangan yang sama pada Rabu, kerajaan Malaysia telah menghalang beberapa pemimpin pembangkang daripada membuat perjalanan ke luar negara.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mengetahui mengenai larangan oleh kerajaan itu semasa hendak berlepas ke Jogjakarta, Indonesia oleh pegawai-pegawai Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2.

Turut tersenarai ialah Ahli Parlimen Panda, Rafizi Ramli, Pengerusi The Edge Media Group, peguam Ambiga Sreenevesan, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, serta aktivis Maria Chin Abdullah, Hishamuddin Rais dan Adam Adli Abdul Halim.

Putrajaya tidak menjelaskan sebab-sebab sekatan terhadap kesemua mereka dan cubaan mendapatkan maklum balas daripada Ketua Pengarah Imigresen Mustafa Ibrahim tidak berjaya.

Sebaliknya, seorang pegawai perhubungan awam jabatan itu menjawab soalan BeritaBenar melalui sistem pesanan ringkas dengan berkata, “Kedua-dua Ahli Parlimen itu kemungkinan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen, dan diisytiharkan bankrap atau terlibat di dalam kes jenayah”

"Kedua-duanya boleh menghubungi Bahagian Keselamatan di Ibu Pejabat Imigresen, Putrajaya," kata pegawai itu.

Badan bebas media desak kerajaan

Dalam pada itu, Gerakan Media Marah (Geramm) sebuah pertubuhan bebas yang mewakili wartawan Malaysia mendesak agar KDN menarik balik penggantungan terhadap kedua-dua akhbar itu.

"Tindakan terbaru KDN adalah untuk menutup mulut semua media di Malaysia dari melaporkan kebenaran yang kononnya untuk kepentingan negara.

"Laporan yang dibuat oleh media bukan hanya laporan yang baik sahaja tetapi laporan untuk mendedahkan penyelewengan dan penipuan yang membabitkan berbilion juta ringgit juga merupakan kepentingan negara," katanya dalam satu kenyataan.

Bagi Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) pula melihat tindakan kerajaan untuk menggantung akhbar yang mendedahkan kebenaran merupakan satu tindakan menghancurkan kebebasan media.

Pengarahnya, Sonia Randhawa dan Jacc Kee menegaskan, tindakan itu juga telah menimbulkan banyak persoalan mengenai 1MDB dan rakyat Malaysia akan menuntut lebih banyak ketelusan daripada kerajaan.

“CIJ menuntut KDN menarik balik penggantungan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily sebagai menghormati kebebasan media,’’ katanya.

Bank Negara juga sedang mencari dua bekas kakitangan 1MDB iaitu Casey Tang Keng Chee, 50, dan Jasmine Loo Ai Swan, 42, untuk membantu siasatan berkaitan syarikat pelaburan negara itu.

"Kami perlukan mereka untuk membantu siasatan berkaitan 1MDB mengikut Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (membabitkan urusan dengan orang tertentu dan dalam mata wang terhad)," kata seorang jurucakap bank itu.

Notis mencari dua orang itu yang mempunyai alamat terakhir di Kuala Lumpur turut disiarkan di laman web dan akaun Facebook  Bank Negara pada Khamis.

Pengerusi Kumpulan CIMB, Nazir Razak turut mengutuk penggantungan operasi kedua-dua akhbar kewangan itu dan menyifatkan akhbar tersebut sebagai tunjang kepada komuniti perniagaan yang memastikan komuniti itu kekal jujur, bermaklumat dan berdaya saing.

Personaliti korporat negara yang juga adik kepada Perdana Menteri membuat kenyataan menerusi akaun Instagram, dengan berkata “Jika ada silap, betulkan mereka atau gunakan saluran undang-undang. Saya mengutuk penggantungan ini dan simpati saya buat semua kakitangan yang terkesan,

Dalam pada itu, Pasukan Petugas Khas menahan seorang lagi pengarah syarikat berhubung siasatan 1MDB menjadikannya individu yang ketiga yang ditahan reman.

Pada Isnin lepas, pasukan itu menahan seorang pengarah syarikat harta tanah dan pembinaan, dan pada Rabu pula, seorang pengarah urusan syarikat ditahan.

H. Aleeya turut menyumbang kepada laporan ini

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.