Mahkamah Tinggi Malaysia Tolak Permohonan The Edge
2015.08.14

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat, menolak permohonan The Edge Communications Sdn Bhd untuk mendapatkan penangguhan keputusan Menteri Dalam Negeri bagi penggantungan dua penerbitan akhbar itu selama tiga bulan.
Menteri Dalam Negeri di dalam sepucuk surat bertarikh 23 Julai lepas, telah memaklumkan kepada editor kanan syarikat itu, Ahmad Azam Mohd Aris mengenai penggantungan permit penerbitan, The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily, selepas menyiarkan beberapa laporan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB), entiti milik kerajaan, yang didapati boleh memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan dan kepentingan negara.
Hakim Asmabi Mohamad membuat keputusan itu di dalam kamarnya pada Jumaat.
Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke, yang mewakili Kementerian Dalam Negeri memberitahu media, keputusan itu dibuat oleh Hakim, atas alasan pihak penerbit berkenaan tidak menunjukkan sebab munasabah untuk penangguhan itu dibenarkan.
“Hakim memberi tiga sebab. Beliau berkata semakan itu boleh membawa kepada pemberian ganti rugi; penerbitan itu tidak mewajarkan tuntutan bahawa larangan itu akan mengakibatkan kemudaratan yang tidak boleh diperbaiki kepada mereka; dan mereka tidak menunjukkan sebarang sebab munasabah untuk penangguhan itu dibenarkan," katanya.
Pada 27 Julai lepas, syarikat penerbitan itu telah memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mendapatkan kebenaran supaya mahkamah menolak atau membatalkan keputusan Menteri Dalam Negeri seperti terkandung dalam surat bertarikh 23 Julai itu.
Selain itu, syarikat berkenaan turut memohon suatu perintah interim untuk penggantungan pelaksanaan keputusan sehingga perbicaraan permohonan dan kos selesai.
Hakim Asmabi menolak permohonan syarikat terbabit untuk penangguhan sementara penggantungan kedua-dua penerbitan itu sehingga permohonan inter-parte dibicarakan.
Pada 5 Ogos lepas, The Edge Communications Sdn Bh, telah memperoleh kebenaran bagi semakan kehakiman berhubung penggantungan dua penerbitannya oleh Kementerian Dalam Negeri.
Sementara itu, The Edge Media Group Malaysia, yang mempunyai kira-kira 350 pekerja, di dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, syarikat itu tidak akan merayu keputusan mahkamah yang menolak permohonan berkenaan.
Syarikat itu berkata sungguhpun pihak mereka kecewa, mereka menghormati keputusan mahkamah dan akan membuat persiapan bagi pendengaran permohonan semakan kehakiman pada 7 Sept ini.