Laporan siasatan: Pesawat terhempas di Elmina mungkin sebab kesilapan manusia
2024.08.16
Kuala Lumpur
Nahas sebuah pesawat yang terhempas tahun lepas hingga mengorbankan 10 orang berkemungkinan disebabkan oleh kesilapan manusia ketika jet eksekutif itu menghampiri lapangan terbang utama di Kuala Lumpur untuk mendarat, menurut laporan siasatan yang diterbitkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia.
Kemalangan udara itu berpunca daripada pengaktifan secara tidak sengaja 'lift dump spoilers', peranti pada sayap yang membantu memperlahankan pesawat semasa mendarat, kata laporan pasukan penyiasat setebal 148 halaman itu.
“Punca utama kemalangan ialah peluasan 'lift dump spoiler' secara tidak sengaja, kemungkinan besar oleh pembantu juruterbang, semasa pemeriksaan sebelum mendarat.
“Tindakan ini menyebabkan kehilangan daya angkat secara mendadak sekali gus mengakibatkan kehilangan kawalan pesawat dan kemalangan tragis itu," demikian menurut laporan itu dikeluarkan oleh ketua penyiasat Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB), sebuah badan bebas yang dimuat naik di laman web Kementerian pada Jumaat.
Dalam insiden pada 17 Ogos 2023, pesawat Hawker Beechcraft Model 390 Premier 1 dengan pendaftaran N28JV telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Kedah ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang.
Juruterbang Shahrul Kamal Roslan, 41, dan pembantu juruterbang Heikal Aras Abdul Azim, 44, serta enam penumpang terbunuh dalam nahas udara itu.
Para penumpang adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Pelangai yang juga Exco kerajaan negeri Pahang, Johari Harun, 53; Shaharul Amir Omar, 49; Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, 35; Kharil Azwan Jamaludin, 43; Muhammad Taufiq Mohd Zaki, 37; dan Idris Abdul Talib Ramali, 41.
Turut terkorban adalah penghantar makanan Muhammad Hafiz Muhammad Salleh, 32, dan pemandu e-hailing Sharipuddin Shaari, 53, yang kebetulan melalui kawasan nahas ketika pesawat itu terhempas dan meletup.
Menurut laporan akhir berkenaan, kira-kira pukul 2.46 petang hari kejadian, kru pesawat telah menghubungi menara kawalan udara Subang untuk memohon kebenaran mendarat.
“Pada (pukul) 2:48:36, N28JV [pesawat] telah diberikan kebenaran untuk mendarat di Landasan 15. Pesawat telah mengesahkan kebenaran pada (pukul) 2.48:41. Tiada lagi transmisi radio daripada pesawat selepas itu,” menurut laporan itu.
Bagaimanapun, pada pukul 2.49 petang pesawat tersebut telah terhempas ketika dalam proses mendarat.
Kesilapan manusia
Laporan akhir AAIB juga mendapati latihan kru yang tidak mencukupi dan kurangnya kesedaran tentang operasi sistem 'lift dump' menjadi faktor penyumbang ke atas nahas berkenaan.
“Pembantu juruterbang tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang risiko yang berkaitan dengan sistem ini, yang menyebabkan kesilapan operasi berlaku,” ujar laporan itu lagi.
Hasil siasatan turut mendedahkan tempat duduk kru pesawat tidak mematuhi protokol yang menetapkan dalam operasi pesawat 'single-pilot', juruterbang bertauliah mestilah duduk di tempat duduk sebelah kiri.
“Peraturan itu penting untuk dipatuhi kerana tempat duduk sebelah kiri direka untuk akses optimum kepada kawalan dan instrumen yang diperlukan bagi operasi juruterbang solo.
“Masalah ini dipercayai menyumbang kepada komunikasi yang tidak berkesan serta pengurusan sumber kru yang lemah,” dedah laporan itu lagi.
Lebih merumitkan keadaan, laporan itu juga menunjukkan bahawa syarikat pengendali pesawat gagal untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan untuk perkhidmatan udara tidak berjadual dan mematuhi peraturan penerbangan di Malaysia menyerlahkan jurang dalam pengawasan operasi.
Dalam reaksi kepada laporan akhir berkenaan, Nik Ahmad Huzlan, bekas ketua juruterbang Malaysia Airlines (MAS) berkata terdapat kemungkinan besar "kesilapan manusia” atau siasatan telah mendengar wujudnya kerosakan “lift spoilers” sebelum proses pendaratan.
“Disebabkan itu, berkemungkinan besar ia adalah kesilapan manusia berdasarkan dapatan-dapatan rasmi. Transkrip perakam suara kokpit dan komunikasi akhir juruterbang pada saat akhir menunjukkan dengan jelas bahawa pengaktifan “lift dumper” adalah penyebab (kepada kemalangan),” ujarnya kepada BenarNews.
Biarpun siasatan mendedahkan contoh ketidakpatuhan dan kesilapan, laporan tersebut menekankan hasil siasatan tidak bertujuan menuding kesalahan atau liabiliti.
Jet Valet telah ditubuhkan pada 2021 sebagai anak syarikat Koperasi Amanah Pelaburan Berhad (KAPB) yang memiliki 12,000 ahli.
Syarikat itu ditubuhkan bagi meningkatkan keselesaan pergerakan dan menawarkan manfaat tambahan kepada ahli-ahli KAPB.
Susulan dapatan siasatan, laporan itu mencadangkan beberapa langkah keselamatan termasuk meningkatkan latihan kru, pematuhan lebih ketat kepada syarat-syarat pengawal selia serta penambahbaikan kesilapan bagi mengelakkan insiden sama berulang.
Sedih dan reda
Di sebalik dapatan laporan akhir AAIB yang mendedahkan kemungkinan kesilapan manusia dalam kejadian itu, keluarga penghantar makanan, Muhammad Hafiz tidak berhajat untuk mengambil tindakan undang-undang.
Ibu bapa Hafiz, Jamilah Ismail, 54, dan Muhammad Salleh Othman, 58, memaklumkan para penyiasat telah berkunjung ke kediaman mereka di Sungai Petani, Kedah pada awal tahun ini dan memaklumkan yang siasatan dijangka diselesaikan menjelang Ogos.
ditawarkan oleh ramai pengamal undang-undang untuk mengambil tindakan sivil, keluarga tersebut memilih untuk menerima kejadian yang menimpa anak sulung mereka.
“Kita reda dengan takdir Allah, ambil dia dengan cara macam itu. Pakcik redaa saja, bukan kata pakcik nak lawan. Memang ada peguam minta nak lawan kes. Bukan tak mahu, tapi pakcik reda.
“Hati lagi berat, kalau pakcik lawan kes, dia (Hafiz) takkan tenang.. dia takkan tenang. Kalau kita lawan, lagi masalah kepada keluarga, tak payah,” ujar Salleh yang berkongsi kesedihan dan penerimaan keluarga itu kepada suratan takdir, setahun selepas kejadian.
Bagi memperingati genap setahun pemergian Hafiz, keluarganya mengadakan majlis bacaan Surah Yassin dan tahlil di rumah mereka yang dihadiri lebih 300 tetamu.
“Ini sahaja lah cara kita untuk kenang dia,” kata Salleh.
Hafiz sedang melakukan penghantaran makanan kepada pelanggan ketika pesawat itu terhempas dan terkorban ditempat kejadian setahun lalu.
Adik perempuannya yang ketika itu mengandung lapan bulan melahirkan seorang anak lelaki dua bulan selepas kejadian yang menimpa Hafiz.
Keluarga itu berkata wajah bayi itu saling tidak tumpah dengan Allahyarham Hafiz semasa kecil.
“Cucu yang ini memang mirip dengan arwah semasa kecil. Semasa arwah kecil pun, bila pakcik balik rumah, kena naik motosikal dulu..cucu ini pun seakan-akan sama perangai macam arwah juga.
“Walaupun baru merangkak, dia akan tunggu di pintu rumah tunggu pakcik balik berniaga. Jadi kami merasakan sebahagian daripada Hafiz masih bersama kami,” ujarnya.
Bagi pasangan ini, Hafiz adalah anak yang pendiam dan sangat bertanggungjawab terhadap keluarga serta begitu mementingkan pendidikan adik-adiknya dengan menggalakkan mereka menyambung pengajian.
“Dia tidak berani berbuat sesuatu yang tidak baik kerana bimbang menjadi contoh teladan yang buruk kepada adik-adiknya,” katanya lagi.