Malaysia siap-siaga hadapi El Nino, petani berdepan krisis sawah kering, pendapatan terjejas

Fenomena El Nino akan menyebabkan cuaca lebih panas dan kering dari Jun hingga Oktober 2023, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.
Iman Muttaqin Yusof & Ili Shazwani Ihsan
2023.06.02
Kuala Lumpur
Malaysia siap-siaga hadapi El Nino, petani berdepan krisis sawah kering, pendapatan terjejas Seorang lelaki menggunakan payung untuk melindungi dirinya daripada panas ketika berjalan berhampiran Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur, 2 Jun 2023.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Surizan Romli telah jauh ketinggalan dalam mengusahakan tanaman padi pertamanya tahun ini susulan gelombang panas dan kemarau yang melanda negeri kelahirannya Perlis serta bahagian lain di Malaysia.

Petani seperti Surizan, yang tinggal di negeri jelapang padi di utara Semenanjung Malaysia, berkata mereka merasakan kesan negatif suhu di atas paras normal dan hujan yang sedikit disebabkan oleh corak fenomena El Nino yang diramal berlaku oleh ahli meteorologi semasa Monsun Barat Daya ketika ini.

"Kami sepatutnya mula menabur benih padi pada April tetapi memandangkan kebanyakan sawah padi di Padang Siding tidak terlibat dengan sistem saliran dan pengairan di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), dan kami bergantung sepenuhnya kepada sumber air hujan,” kata Surizan, seorang pendidik yang juga pesawah separuh masa, kepada BenarNews.

“Kami masih belum mula menanam, sepatutnya ketika ini kami menunggu untuk menuai hasil tanaman. Ia telah tertangguh selama dua bulan. Kalau diikutkan, kami ada dua musim (penanaman padi) setahun tapi melihatkan keadaan sekarang, nampaknya cuma sempat semusim sahaja,” katanya kepada BenarNews.

Gelombang panas dan kemarau sudah berlarutan selama berminggu-minggu tanpa sebarang tanda akan berhenti sehingga menimbulkan kebimbangan mengenai pengeluaran makanan, kekurangan bekalan air dan potensi bahaya kepada kesihatan orang ramai di negara Asia Tenggara itu.

Walaupun Malaysia adalah sebuah negara tropika, beberapa daerah telah merekodkan suhu tinggi luar biasa selama tiga hari berturut-turut di antara 35 hingga 37 darjah Celsius (95 hingga 98.6 darjah Fahrenheit), yang mendorong pihak berkuasa mengeluarkan amaran kesihatan.

"Cuaca lebih panas dan kering yang dialami dari Jun hingga Oktober 2023 ini secara langsung berpunca daripada fenomena El Nino," kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Muhammad Helmi Abdullah kepada BenarNews.

“Lazimnya, keadaan El Nino di Malaysia boleh meningkatkan suhu sekitar 1.0ºC hingga 2.0ºC berbanding situasi biasa.”

El Nino merupakan fenomena semula jadi berpunca daripada peningkatan suhu permukaan lautan di bahagian tengah dan timur khatulistiwa Lautan Pasifik, mengganggu corak angin secara global yang secara langsung mengakibatkan perubahan cuaca di pelbagai rantau seluruh dunia termasuk Malaysia, menurut pakar cuaca.

Pada Mei, Setiausaha Agung Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) Petteri Taalas memberi amaran kejadian global ini mendatangkan kesan meluas terhadap kesihatan, keterjaminan makanan, pengurusan air dan alam sekitar.

Pendapatan terjejas

Petani di Perlis dan Kedah adalah antara mereka yang terjejas teruk semasa fenomena gelombang suhu ini.

Ayuni Amil, seorang lagi petani dari Perlis, berkata pendapatannya terjejas teruk akibat fenomena itu.

"Kami kerugian sekitar RM3,000 (AS$655) sebab terlepas satu musim. Duit hasil tuaian biasanya akan digunakan untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak,” keluhnya ketika bercakap kepada BenarNews.

Susulan kesan El-Nino, Ayuni berkata keluarganya terpaksa menunggu sehingga Ogos untuk memulakan aktiviti penanaman padi, sekiranya cuaca semakin baik dan ada hujan.

"Kemudian, selepas enam bulan baru padi boleh dituai. Maksudnya, saya hanya akan mendapat hasil tuaian tersebut pada tahun depan,” katanya.

Terdapat lebih 57,600 pesawah yang tinggal di Perlis dan Kedah, dua negeri jelapang padi terbesar di Malaysia, menurut Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), agensi kerajaan yang berkhidmat untuk kedua-dua negeri itu.

Kenyataan MADA pada Jumaat memaklumkan agensi itu sedang memantau situasi cuaca berdasarkan input Jabatan Meteorologi di samping mengawasi paras air di beberapa empangan tempatan. Ketika ini, empangan terbabit masih mampu membekalkan air untuk tujuan saliran ke sawah padi di bawah seliaannya.

"Sebagai langkah berjaga-jaga, MADA akan memaksimumkan penggunaan stesen pam guna semula bagi menjimatkan air dari empangan selain pengoperasian pam bergerak untuk membekalkan air ke kawasan tanah tinggi dan tanah bermasalah," tambah agensi itu lagi.

230602-MY-Inside-Elnino.jpeg

Seorang lelaki menghilangkan dahaga dengan meminum air di bawah matahari yang terik di Kuala Lumpur, 2 Jun 2023. [S. Mahfuz/BenarNews]

Di peringkat Persekutuan pula, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memaklumkan ia kini menangani krisis cuaca dengan mewujudkan bilik operasi bagi memantau situasi air di empangan dan loji rawatan air seluruh negara.

"Langkah proaktif ini bertujuan memastikan pengesanan awal serta kesiapsiagaan bagi menangani sebarang kekurangan bekalan air yang serius. Setakat ini, paras air di empangan masih lagi stabil dan tiada pengurangan ketara yang dijangka dalam bulan-bulan mendatang," kata Pengerusi SPAN Charles Santiago.

Terdahulu, media melaporkan dua empangan di Pulau Pinang menghampiri paras kritikal berikutan kekurangan curahan hujan di kawasan tadahan semasa musim panas yang berpanjangan sejak awal Mei.

Suhu ekstrem juga telah mengorbankan nyawa dua kanak-kanak di Malaysia. Pada April, seorang bayi berusia 19 bulan dan seorang budak lelaki berumur 11 tahun dari Kelantan meninggal dunia akibat strok haba dan dehidrasi, menurut para pegawai.

"Suhu yang terlalu tinggi boleh mengakibatkan pelbagai penyakit seperti ruam, kekejangan haba, renjatan haba, kelesuan haba dan juga strok haba. Strok haba, jika tidak dirawat dengan segera, boleh mengakibatkan kecacatan kekal dan kematian,” kata Ketua Jabatan Perubatan Kesihatan Awam di Universiti Kebangsaan Malaysia, Rozita Hod kepada BenarNews.

Beliau berkata meskipun sudah terbiasa tinggal di negara bercuaca panas dan tropika, rakyat Malaysia perlu mengelak daripada membiarkan diri terdedah kepada cuaca terik dalam tempoh lama.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.