Malaysia Perhebat Pantauan Keselamatan Berhampiran Kawasan Maritim Filipina

Ray Sherman & Nisha David
2020.03.06
Kuala Lumpur, Malaysia
200306-MY-Sabah-kindappings1000.jpg Menteri Luar Negeri Indonesia, Retno Marsudi (kanan) memerhati dua rakyatnya, La Utu bin Raali (kiri) dan La Hadi bi La Adi menerima pelukan dari saudara mereka apabila dibebaskan selepas diculik oleh kumpulan dipercayai Abu Sayyaf di selatan Filipina, di Jakarta, Indonesia, 23 Jan 2018.
[Ihsan Kementerian Luar Negeri Indonesia/AFP]

Malaysia mempertingkatkan pemantauan keselamatan di sepanjang pantai yang mempunyai sempadan maritim dengan selatan Filipina, di mana kes penculikan sering berlaku termasuk mengambil langkah untuk  menempatkan enam helikopter tempur ringan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), demikian kata pegawai.

Komander ESSCom, Hazani Ghazali berkata, pihak berkuasa telah menahan 41 pendatang tanpa dokumen yang terdiri daripada rakyat Indonesia dan Filipina dalam beberapa siri serbuan pada 4 Mac menerusi ‘Ops Gasak’ yang bertujuan menangani acaman jenayah rentas sempadan.

“Operasi Gasak adalah untuk meneutralkan kawasan panas di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) daripada sebarang unsur jenayah rentas sempadan dengan operasi berkenaan berfungsi sebagai pencegahan.

“ESSZone perlu bebas daripada kegiatan jenayah rentas sempadan yang boleh mengganggu gugat keharmonian dan kesejahteraan hidup negara,” katanya.

Pasukan keselamatan melancarkan operasi tersebut sejak Januari, ketika mereka mula memeriksa dokumen pendatang yang disyaki bekerja sebagai "tali barut" bagi kumpulan penculikan untuk wang tebusan di rantau itu.

Antara yang ditangkap dalam serbuan keselamatan tersebut ialah lelaki dan wanita berusia sehingga 65 tahun, kata Hazani dalam satu kenyataan, tanpa mengulas lanjut.

Semasa operasi lain awal bulan, pihak berkuasa menahan pendatang tanpa izin berusia 47 tahun dari Indonesia, yang menghadapi tuduhan memiliki selaras senapang buatan sendiri jenis babakuk bersama enam butir peluru hidup, katanya.

Hazani berkata, lelaki tersebut didapati bersembunyi di ladang kelapa sawit di Kalabakan, sebuah daerah di Sabah di Kepulauan Borneo.

Pihak berkuasa percaya bahawa "titik panas" di rantau itu termasuk di "kampung air," yang merupakan penempatan terapung setinggan dengan rumah-rumah di atas permukaan air.

“Kawasan panas termasuk penempatan setinggan di atas air yang sering digunakan sebagai lokasi peninjau, selain menjadi persembunyian bagi penjenayah," tambah beliau lagi.

Lima operasi telah dijalankan di perkampungan air di daerah Sandakan, Kunak dan Semporna, bandar dan daerah di perairan Sabah dan Laut Sulu yang membawa kepada penangkapan kira-kira 723 pendatang tanpa izin yang merupakan antara 9,332 orang yang telah diperiksa oleh pihak berkuasa.

Malaysia belum mengusir mereka yang ditahan itu sementara menunggu arahan dari Majlis Keselamatan Negara, kata pegawai kepada BeritaBenar.

Tentera sahkan penghantaran helikopter

Enam helikopter tempur ringan baharu, yang dibeli oleh kerajaan Malaysia di bawah kontrak bernilai RM76 juta yang ditandatangani pada 2016, akan ditempatkan di Sabah, sebagai langkah kerajaan untuk meningkatkan keselamatan negara dan mengukuhkan usaha anti- jenayah di kawasan pantai, kata Panglima Tentera Darat Jen Hasbullah Mohd Nawawi.

Malaysia, yang penduduknya majoriti beragama Islam itu akan menerima sebuah daripada enam buah helikopter MD 530G tahun ini dengan sepasukan pegawai tentera yang akan mengendalikan helikopter, yang dikenali sebagai "burung kecil," akan dihantar untuk menjalani latihan di Amerika Syarikat, Hasbullah memberitahu pemberita minggu lepas.

Baki lima lagi helikopter itu akan dihantar secara berperingkat hingga 2021, katanya.

“Kita sedang merancang lokasi penempatan anggota yang akan mengendalikan helikopter ini yang dijangka ditempatkan di ESSCom dan dijangka dapat membantu operasi pemantauan keselamatan di kawasan pantai timur Sabah,” katanya.

Akhbar Satar, Pengarah dan Felo Kanan Institut Jenayah dan Kriminologi di Universiti HELP di Kuala Lumpur memberitahu BeritaBenar bahawa ESSCOM memerlukan sokongan bajet yang mencukupi dalam menyelesaikan isu keselamatannya.

"Ia adalah waktu penting bagi Malaysia membawa penyelesaian yang berkesan untuk dilema semasa,” katanya sambil menambah, ‘Jika tidak, trend yang dahsyat ini akan berterusan,”

Pihak berkuasa keselamatan Malaysia juga perlu menubuhkan unit perundingan tebusan dengan mengikuti model yang digunakan oleh FBI dalam menangani senario penculikan, katanya.

"Model Perubahan Tahap Kelakuan yang dibangunkan oleh unit rundingan FBI adalah contoh dari apa yang boleh kita ikuti.  Selain teknik, rundingan krisis memerlukan ketua yang tidak mudah marah dan berpengalaman dalam rundingan tebusan," katanya kepada BeritaBenar.

Pada tahun-tahun yang lalu, pemberontakan di selatan Filipina telah menyebabkan penjenayah di sana menyeberang ke Sabah untuk menjalankan aktiviti jenayah, termasuk lanun dan penculikan tebusan, kata pihak berkuasa.

Antara jenayah itu melibatkan penculikan lima warga Indonesia yang dipercayai diculik di perairan wilayah Sabah pada 16 Januari oleh suspek yang dipercayai anggota kumpulan Abu Sayyaf, sekumpulan pengganas di selatan Filipina.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.