Malaysia Mahu Ekstradisi Dua Anggota Abu Sayyaf

Hata Wahari
2015.11.30
151130-MY-CULIKFILIPINA620 Anggota komando Filipina membawa seorang lelaki yang dipercayai kumpulan Abu Sayyaf di kem polis di Zamboanga City di selatan Pulau Mindanao. 21 September 2012.
AFP


Malaysia mahu dua suspek yang terlibat dalam penculikan dan pembunuhan rakyatnya Bernard Then Ted Fen oleh anggota kumpulan militan Abu Sayyaf, yang kini ditahan oleh pihak berkuasa Filipina, di dakwa di negara ini.

Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar berkata, Malaysia akan membuat permohonan secara rasmi kepada kerajaan Filipina untuk mengekstradisi kedua-dua suspek yang terlibat itu.

“Polis DiRaja Malaysia bagaimanapun, telah membuat permohonan secara lisan kepada pihak berkuasa Filipina sebaik sahaja mengetahui bahawa kedua-dua suspek telah ditahan,’’ katanya pada Isnin.

Pada hujung minggu, pihak berkuasa Filipina telah berjaya menahan Saddam Jalilani dan Kadaffy Kamsa, yang merupakan anggota kumpulan militan Abu Sayyaf dalam dua operasi berasingan di Jolo, Sulu, Filipina.

Kedua mereka merupakan anggota kumpulan militan, yang diketuai oleh Alhabshy Misaya, dan terlibat dalam penculikan Then, 39, seorang jurutera elektrik dari Sarawak bersama seorang wanita, iaitu pengurus restoran, Thien Nyuk Fun, 50,  oleh empat orang lelaki bersenjata di Restoran Ocean King Sandakan pada 7.45 malam 14 Mei lalu.

Kumpulan tersebut dikatakan telah memenggal kepala Then pada 17 Nov lepas di kubu kuat Abu Sayyaf di Kepulauan Jolo, 1,400km di selatan Manila.

Bagaimanapun, pada 8 Nov lepas, pengurus restoran itu dibebaskan oleh penculik berkenaan melalui rundingan antara kerajaan Malaysia dan kumpulan berkenaan.

Khalid memberitahu, beliau sedang menimbangkan untuk menghantar pasukan penyiasat ke Filipina, tetapi ia bergantung kepada permohonan mengekstradisi kedua-dua suspek itu.

“Permohonan rasmi akan dibuat dalam masa terdekat,” tambah beliau.

‘Cubaan Culik’

Khalid turut mendedahkan, lebih 11 cubaan menculik berlaku di kawasan pantai timur Sabah, yang berdekatan dengan Selatan Filipina oleh kumpulan militan Abu Sayyaf ataupun kumpulan-kumpulan lain yang mempunyai kaitan dengan militan berkenaan sepanjang tahun ini.

Katanya, tujuan utama mereka adalah untuk mendapatkan wang tebusan, bagi membiayai perjuangan keganasan mereka tetapi juga untuk hidup senang, memandangkan mereka tidak mempunyai sumber pendapatan yang tetap.

“Pihak berkuasa Malaysia sentiasa berwaspada dan bersiap sedia bagi mematahkan sebarang cubaan jahat yang mampu mengganggu-gugat keselamatan negara,’’ tegas beliau.

Kumpulan militan itu dipercayai ditubuhkan pada tahun 1990-an dengan bantuan al-Qaeda. Abu Sayyaf telah didakwa melancarkan beberapa serangan keganasan yang teruk di Filipina termasuk pengeboman dan penculikan untuk mendapatkan wang tebusan.

Amerika Syarikat dan Filipina telah menyenaraikan Abu Sayyaf sebagai pertubuhan pengganas yang sering menculik, memenggal kepala, memeras ugut dan melancarkan serangan bom.

Kumpulan militan itu pernah dilumpuhkan pihak berkuasa sebelum ini tetapi berjaya mengelak daripada dimusnahkan oleh serangan demi serangan pihak berkuasa yang disokong Amerika Syarikat mulai dekad yang lalu.

Abu Sayyaf juga menculik seorang rakyat tempatan dari Filipina dan warga asing - dua dari Kanada dan seorang dari Norway - dari sebuah marina di selatan negara itu pada September lepas dan menuntut wang tebusan lebih $60 juta bagi pembebasan warga asing itu.

Abu Sayyaf pernah menyerbu sebuah resort di Malaysia pada April 2000 dan anggotanya yang bersenjata menculik 21 orang pelancong Eropah dan Asia. Mereka dibebaskan secara berperingkat-peringkat selepas wang tebusan dibayar pada tahun berikutnya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.