Mahkamah Syariah Malaysia Bebaskan Penerbit Buku Kontroversi Irshad Manji

Hadi Azmi & Noah Lee
2020.12.17
Kuala Lumpur
Mahkamah Syariah Malaysia Bebaskan Penerbit Buku Kontroversi Irshad Manji Mohd Ezra Mohd Zaid (kanan) dan peguam beliau Zulkifli Che Yong (kiri) semasa bercakap kepada media a di Mahkamah Shariah Shah Alam, Selangor, 17 Disember, 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Seorang penerbit buku tempatan Malaysia pada Khamis telah dibebaskan oleh sebuah Mahkamah Syariah di Selangor, selepas lapan tahun berdepan dengan pertuduhan menerbitkan buku kontroversi hasil tulisan warga Kanada, Irshad Manji, yang dipercayai mempunyai unsur bertentangan dengan prinsip Islam dan diharam di Malaysia.

Mohd Ezra Mohd Zaid, 37, telah didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada 2013, atas pertuduhan menerbitkan terjemahan buku bertajuk 'Allah, Liberty and Love: The Courage to Reconcile Faith and Freedom' yang ditulis oleh Irshad ke dalam Bahasa Melayu daripada edisi asalnya, bahasa Inggeris di sebuah premis perniagaan di Petaling Jaya.

Beliau yang ditahan pada 2012, dibebaskan dan didakwa di mahkamah turut melalui beberapa proses kehakiman lain di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan hingga ke Mahkamah Persekutuan sepanjang kesnya itu dan pada Khamis, Hakim Mahkamah Syariah Shah Alam Shukran Yusof telah memberikan Mohd Ezra pembebasan penuh daripada pertuduhan syarie terhadap beliau.

Hakim Shukran memutuskan bahawa Ezra perlu dibebaskan kerana Mahkamah Rayuan telah memutuskan penangkapan dan pendakwaan terhadap tertuduh adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.

"Tidak ada apa yang dapat dilakukan oleh pihak pendakwaan untuk melakukan siasatan dan sebagainya, kerana kes ini tidak sah bermula daripada penangkapan yang mana Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan telah membatalkan keputusan Ketua Pendakwa Syarie Selangor untuk mendakwa Mohd Ezra dengan pertuduhan itu.

"Jadi, sekiranya saya meneruskan apa yang dipohon maka itu akan menjadi sia-sia sahaja. Oleh itu, saya melepaskan dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan," kata Shukran semasa mengumumkan keputusan Mahkamah Syariah itu.

Pembebasan itu diberikan selepas mahkamah menolak permohonan dibuat pasukan pendakwaan Atras Mohamad Zin supaya tertuduh hanya diberikan perintah pelepasan tanpa pembebasan (DNAA).

Permohonan DNAA itu dibuat selepas mahkamah tertinggi dalam negara, iaitu Mahkamah Persekutuan, pada 29 September lalu menyokong penghakiman terdahulu oleh Mahkamah Rayuan pada tahun lalu yang membatalkan segala dakwaan terhadap Mohd Ezra setelah mendapati bahawa serbuan yang dibuat oleh penguatkuasa agama tersebut menyalahi undang-undang.

Perintah DNAA, sekiranya dibenarkan oleh Mahkamah seperti dipohon Atras, bermakna pasukan pendakwaan masih mempunyai peluang untuk mengenakan pertuduhan terhadap Mohd Ezra untuk kesalahan yang sama pada masa akan datang.

Pada 2012, sekumpulan 20 pegawai penguatkuasa dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menyerbu syarikat penerbitan milik Mohd Ezra, ZI Publication dan merampas 180 naskhah buku berkenaan dan menahan beliau di bawah Seksyen 16(1)(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Di bawah peruntukan undang-undang tersebut, ia adalah menjadi kesalahan untuk seseorang menerbitkan apa-apa buku yang mengandungi isi yang bertentangan dengan undang-undang Islam, dan boleh dihukum dengan denda maksima RM3,000 (AS$745) atau maksima dua tahun penjara, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Susulan serbuan dan penangkapan beliau, Mohd Ezra dan ZI Publications telah membuat permohonan semakan kehakiman bagi mencabar serbuan tersebut, namun ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada Mac 2018.

Lucuthak

Bagaimanapun, Hakim Shukran membenarkan permohonan oleh JAIS untuk melucuthak kesemua 180 naskhah buku yang dirampas untuk dilupuskan.

"Mahkamah mengarahkan supaya kesemua naskhah terjemahan buku 'Allah, Love and Liberty' yang ditulis Irshad Manji itu dilucuthak daripada tertuduh atau mereka yang berkenaan, dan diserahkan kepada pihak berkuasa agama untuk dimusnahkan menurut Seksyen 16(2) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995," kata hakim.

Di bawah peruntukan Seksyen 16(2) itu, mahkamah mempunyai kuasa untuk mengarahkan supaya apa-apa buku atau dokumen yang berkaitan sesuatu kesalahan 'dilucuthak dan dimusnahkan', tanpa mengira samada terdapat sabitan terhadap mana-mana individu yang dikaitkan dengan buku tersebut.

Hakim itu juga mengenepikan satu lagi permohonan oleh pihak pendakwaan supaya Mohd Ezra dihalang daripada membincangkan perkara berkenaan kes tersebut setelah Atras membuat permohonan dengan alasan untuk menghormati integriti sistem dua-mahkamah di Malaysia iaitu sistem kehakiman sivil dan sistem kehakiman Syariah.

Ezra yang juga seorang produser di stesen radio BFM 89.9 serta anak kepada bekas Menteri Undang-Undang, Zaid Ibrahim, semasa ditemui di luar mahkamah melahirkan rasa gembiranya dengan keputusan mahkamah itu.

"Sudah lebih lapan tahun. Saya cuma berasa amat gembira bahawa kesemua perkara ini akhirnya sampai pada penyelesaian, dan saya berterima kasih kepada keluarga dan peguam-peguam saya," kata Ezra, sambil menambah yang pembebasan itu datang selepas 3,124 hari sejak tarikh beliau ditangkap pihak berkuasa pada 29 Mei 2012.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.