Jenazah Jurutera Palestin Diterbangkan Ke Gaza Untuk Pengebumian

Hadi Azmi & Hata Wahari
2018.04.25
Kuala Lumpur, Malaysia
180425-MY-palestinian-620.jpg Seorang budak lelaki menyentuh van yang membawa keranda pensyarah Palestin yang dibunuh, Fadi Al Batsh, di Kuala Lumpur, 25 April 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Jenazah jurutera Palestin, yang ditembak mati di Kuala Lumpur, diterbangkan ke Mesir pada lewat Rabu untuk dikebumikan di Gaza, selepas ia diarak di ibu negara Malaysia dan setelah ketua polis Malaysia mengedarkan gambar seorang daripada dua suspek kes pembunuhan itu.

Keluarga Fadi Mohamad Al Batsh, 35, yang dibunuh pada hujung minggu lalu, menuntut mayatnya dari Hospital Selayang pada tengah hari Rabu dan membawanya ke sebuah masjid berdekatan rumahnya. Beratus-ratus orang berarak di Kuala Lumpur ketika mereka mengikuti sebuah van yang membawa keranda Fadi dari rumah mayat hospital ke masjid itu, di mana lebih 500 orang berkumpul untuk menunaikan solat jenazah.

"Dr. Fadi adalah orang yang amat baik. Beliau telah menjadi guru kepada semua orang di sekelilingnya. Beliau seorang yang sangat optimistik," kata balunya, Enas, kepada BeritaBenar. "Walaupun saya melihat jenazahnya di bilik mayat, beliau masih mempunyai pandangan yang optimis pada wajahnya. Beliau mempunyai sikap positif yang disebarkan kepada semua orang yang berada di sekelilingnya. "

Selepas solat, keluarganya membawa keranda pensyarah berkenaan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di mana mereka menaiki penerbangan ke Mesir sebelum menuju ke Gaza untuk mengebumikan Fadi. Enas berkata, beliau merancang untuk tinggal di sana selepas pengebumian suaminya.

Terdahulu, pada Rabu, ketua polis Malaysia menunjukkan kepada pemberita gambar seorang daripada suspek yang menyerupai lakaran wajah komputer yang diedarkan pada Isnin. Penyiasat percaya bahawa kedua-dua suspek, yang  menunggang motosikal ketika mereka menembak mati Fadi, masih berada di Malaysia, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun pada sidang berita di Kuala Lumpur.

"Dia mungkin menukar penampilannya, mencukur kepalanya atau membuang janggutnya atau memakai topi untuk menutup rambutnya," kata Mohamad Fuzi Harun tentang suspek yang dikenal pasti dalam gambar itu.

Polis juga mendedahkan bahawa motosikal Kawasaki suspek ditemui di kawasan kejiranan Danau Kota, kira-kira sembilan minit dari tempat kejadian.

Fuzi berkata, penyiasat percaya suspek telah memasuki Malaysia pada penghujung Januari.

"Kami mengesyaki mereka menggunakan kad pengenalan palsu untuk memasuki negara ini atau semasa berada di negara ini," katanya.

Fuzi tidak memberikan maklumat lain.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun menunjukkan gambar seorang daripada dua suspek bersebelahan dengan lakaran wajah  komputer yang diedarkan beberapa hari sebelumnya, pada sidang berita di ibu pejabat polis di Kuala Lumpur, 25 April 2018. [S. Mahfuz/BeritaBenar]

Balu bersuara

Fadi, bapa kepada tiga, telah berada di Malaysia sejak lebih tujuh tahun yang lalu dan memegang status pemastautin tetap Malaysia, kata para pegawai.

Universiti Kuala Lumpur berkata, Fadi merupakan pensyarah kanannya dan telah menyertai universiti itu pada 2016. Beliau mempunyai ijazah kedoktoran dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik kuasa dari Universiti Malaya dan menerima ijazah sarjana muda dan sarjana dalam bidang kejuruteraan elektrik dari Universiti Islam Gaza, sebuah institusi pendidikan bebas di Semenanjung Gaza yang diterajui Hamas.

Enas, 31, menyifatkan Fadi sebagai suami dan bapa penyayang kepada anak-anak mereka - berusia 1, 4 dan 6 - semasa ditemui BeritaBenar pada lewat Selasa.

Beliau enggan menjawab pertanyaan mengenai dakwaan hubungan suaminya dengan kumpulan militan Palestin, Hamas, dan sebaliknya memberitahu tentang perkara-perkara baik yang suaminya  lakukan semasa tinggal di Malaysia.

"Ketika kami membuka pintu kediaman kami untuk dikunjungi dan memberi ucapan takziah, saya perhatikan bahawa semua yang kami kenal datang - orang Islam, bukan Islam dari setiap kewarganegaraan, mereka datang ke sini untuk memberi penghormatan kepada Dr. Fadi," katanya.

"Seorang jiran, orang Cina Malaysia, memberitahu saya bahawa dia (Fadi) melayaninya dengan penuh hormat, selalu bertanya kepadanya tentang keadaannya dan dirinya. Dia berkata Fadi seorang yang amat baik.”

Enas juga berkata, beliau akan menyelesaikan pengajian peringkat doktor falsafahnya dalam pengajian Islam.

“Itulah hasrat suami saya yang mahukan saya untuk meneruskan pelajaran saya kerana saya menunggu beliau untuk menamatkan pengajiannya, dan beliau berkata adalah adil bagi saya menyambung pengajian saya juga," kata Enas sambil memberitahu bahawa beliau memutuskan untuk tinggal di Gaza selepas pengebumian Fadi dan mahu belajar secara dalam talian di universiti  yang akan dipilihnya kelak.

Hamas dan saudara-mara Fadi menuduh Mossad, agensi perisikan Israel, mempunyai kaitan dengan pembunuhan itu, menurut laporan.

Pada Sabtu, hari Fadi dibunuh, Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi memberitahu agensi berita nasional, Bernama, bahawa beliau mengesyaki perisikan asing mungkin  bertanggungjawab terhadap pembunuhan itu.

Pada Ahad, Menteri Pertahanan Israel, Avigdor Lieberman, berkata, negaranya  "tidak mempunyai sebab untuk menitiskan air mata" terhadap pembunuhan Fadi, menurut akhbar harian Israel, Haaretz. Beliau mengulas bahawa pembunuhan tersebut mungkin disebabkan oleh "tindakan penyelesaian di kalangan organisasi pengganas."

Susulan pembunuhan itu, Hamas tidak mendedahkan peranan Fadi dalam kumpulan militan berkenaan tetapi menggambarkannya sebagai ahli.

Rakyat Palestin di Malaysia

Menurut MyCare, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang bekerja dengan komuniti ekspatriat Palestin, lebih daripada 5,000 orang Palestin kini tinggal di Malaysia.

Mereka berada di negara itu untuk mencari tempat selamat bagi menjalani kehidupan dan membantu keluarga mereka di kampung halaman, kata Mohamad Abu Bakar, pensyarah dalam pengajian antarabangsa dan strategik di Universiti Malaya, kepada BeritaBenar.

Beliau berkata, komuniti global menyedari pendirian Malaysia dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Palestin yang dikaitkan dengan Hamas memang berada di Malaysia, kata penganalisis geopolitik Azmi Hassan.

"Kerajaan Malaysia telah mengisytiharkan Hamas sebagai parti politik yang sah dan, pada masa ini,  Hamas yang mentadbir Gaza. Oleh sebab itu, kehadiran rakyat Palestin yang dikaitkan dengan Hamas sama ada untuk perniagaan, berkerja atau melanjutkan pengajian adalah sah, "kata Azmi kepada BeritaBenar.

Malaysia, sebuah negara majoriti Muslim yang mempunyai 32 juta penduduk, tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan Israel.

Sejak beberapa tahun lalu, para pegawai Malaysia menafikan tuduhan perkhidmatan keselamatan Israel bahawa ahli-ahli Hamas sedang berlatih di bumi Malaysia bagi menjalankan operasi ketenteraan terhadap Israel.



Hareez Lee di Kuala Lumpur menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.