Bunuh Jurutera Palestin, Polis Malaysia Dapatkan Pengesahan Sebelum Mohon Ekstradisi

Suspek dikatakan mengaku melakukan pembunuhan selepas menerima arahan secara terus daripada agensi Mossad.
Nisha David & Noah Lee
Kuala Lumpur
2022-01-10
Share
Bunuh Jurutera Palestin, Polis Malaysia Dapatkan Pengesahan Sebelum Mohon Ekstradisi Orang ramai mengusung keranda jenazah Fadi Mohamed Al-Batsh, selepas solat jenazah di Setapak, Kuala Lumpur, Malaysia, 25 April 2018.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Polis Malaysia pada Isnin berkata bahawa pihak berkuasa itu sedang berusaha mendapatkan pengesahan mengenai laporan bahawa Hamas telah menahan suspek yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan seorang jurutera warga Palestin di Kuala Lumpur pada 2018.

Ia susulan laporan berita oleh media Turki dan Israel yang memetik Kementerian Dalam Negeri pimpinan kerajaan Hamas bahawa suspek berkenaan telah membuat pengakuan pada Ahad lalu bahawa dirinya telah direkrut agensi perisikan Israel, Mossad, bagi melaksanakan misi pembunuhan Fadi Mohamed Al Batsh.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis DiRaja Malaysia Abd Jalil Hassan berkata pihaknya akan memohon supaya suspek itu diekstradisi ke Malaysia sekiranya laporan penangkapan berkenaan disahkan.

"Pihak polis akan mendapatkan pengesahan terlebih dahulu mengenai penangkapan suspek terbabit dari sumber yang sah termasuk Kementerian Luar Malaysia, Kedutaan Palestin di Malaysia, Interpol serta badan-badan bukan kerajaan yang mempunyai hubungan baik dengan badan bukan kerajaan di Palestin.

"Setelah kita berjaya mendapatkan pengesahan, polis akan mengusahakan proses untuk membawa suspek ke Malaysia mengikut undang-undang," kata beliau kepada BenarNews semasa dihubungi.

Terdahulu itu, Abd Jalil turut mengeluarkan kenyataan ringkas susulan laporan berita antarabangsa mengenai penangkapan seorang lelaki warga Palestin di Gaza, yang dikatakan bertanggungjawab terhadap pembunuhan Fadi yang ditembak bertubi-tubi ketika sedang berjalan kaki untuk bersolat Subuh di sebuah surau di Kuala Lumpur pada April 2018.

Menurut laporan akhbar harian Israel Haaretz, Kementerian Dalam Negeri Hamas mengeluarkan kenyataan pada Ahad menyatakan bahawa pihak berkuasa Gaza telah menangkap suspek sebaik tiba di Semenanjung Gaza. Suspek dikatakan telah mengaku melakukan pembunuhan selepas menerima arahan secara terus daripada agensi Mossad.

Akhbar Israel itu menyatakan bahawa identiti suspek tidak didedahkan dalam kenyataan media dikeluarkan kementerian tersebut.

180425-MY-palestinian-inside.jpg

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun pada masa itu menunjukkan gambar seorang daripada dua suspek bersebelahan dengan lakaran wajah komputer yang diedarkan beberapa hari sebelumnya, pada sidang berita di ibu pejabat polis di Kuala Lumpur, 25 April 2018. [S. Mahfuz/BeritaBenar]

Suspek dikenalpasti

Bagaimanapun, laporan berita akhbar tempatan di Malaysia, Utusan Malaysia memetik seorang wakil badan bukan kerajaan di Gaza mendakwa bahawa suspek telah dikenalpasti sebagai Husam Abdul Majid Muhammad Al Astal.

"Suspek merupakan pegawai di dalam Mossad dan bekerja di beberapa tempat dan terlibat dalam beberapa operasi," kata Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, seperti dipetik Utusan Malaysia.

Laman media Shehab News yang berkait dengan Hamas pula memetik bapa Fadi, Mohammad Al Batsh menyatakan bahawa beliau telah bertemu dengan agensi keselamatan Gaza yang memberikan jaminan bahawa siasatan sedang dijalankan bagi merungkai misteri pembunuhan anaknya.

"Mereka berjanji bahawa siasatan akan dijalankan sehingga kes ini selesai, supaya penjenayah yang melakukan pembunuhan ini akan dihukum mengikut undang-undang Palestin," beliau dilaporkan sebagai berkata.

Fadi yang berusia 35 tahun dibunuh oleh dua lelaki bersenjata pistol yang melepaskan lebih 20 das tembakan dengan 14 daripadanya terkena tubuh dan kepala mangsa, menurut pihak polis Malaysia. Suspek pembunuhan itu, kemudiannya melarikan diri menggunakan sebuah motosikal berkuasa tinggi.

Ketua Polis Kuala Lumpur pada masa itu, Mazlan Lazim berkata rakaman televisyen litar tertutup menunjukkan suspek berkenaan menunggu Fadi hampir 20 minit.

Beberapa jam selepas pembunuhan Fadi, agensi berita Malaysia, Bernama, memetik Timbalan Perdana Menteri yang ketika itu adalah Ahmad Zahid Hamidi sebagai berkata bahawa suspek dipercayai rakyat Eropah yang mempunyai hubungan dengan agensi perisikan asing.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata bahawa Fadi mungkin dilihat sebagai "liabiliti bagi sebuah negara yang merupakan musuh Palestin", namun tidak mengulas lanjut. Beliau mendakwa bahawa Fadi aktif dalam organisasi bukan kerajaan yang pro-Palestin dan merupakan seorang pakar dalam kejuruteraan elektrik dan pembinaan roket.

Dua hari selepas pembunuhan berlaku, polis Malaysia telah mendedahkan lakaran wajah salah seorang suspek dan meminta orang awam tampil menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengenali mereka.

Lakaran komputer itu adalah berdasarkan keterangan saksi yang melihat penembak itu, yang dirakamkan oleh video keselamatan ketika menunggu mangsa hampir 20 minit di luar kompleks perumahan tersebut, demikian menurut Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun pada masa itu.

Lakaran berkenaan yang diedarkan ke semua balai polis dan pintu masuk sempadan di seluruh negara, menunjukkan lelaki tersebut berjanggut, berkulit cerah dan dipercayai daripada keturunan Eropah atau Timur Tengah.

220110-MY-Inside-Palestin.jpeg

Seorang lelaki menggantung poster tertera gambar jurutera elektrik Palestin, Fadi Mohamed Al Batsh, yang ditembak mati di Malaysia, di kediaman keluarga Al Batsh di utara Gaza, 21 April 2018. [Reuters]

Punya status penduduk tetap

Fadi, bapa kepada tiga anak, berada di Malaysia sejak lebih tujuh tahun sebelum beliau dibunuh, dan memegang status penduduk tetap Malaysia, kata para pegawai.

Universiti Kuala Lumpur, yang mempunyai lebih daripada 30,000 penuntut tempatan dan asing, dalam satu kenyataan pada 2018 menyatakan bahawa Fadi adalah seorang pensyarah kanannya dan menyertai universiti tersebut pada 2016.

Menurut pentadbiran universiti itu lagi, Fadi mempunyai ijazah kedoktoran dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik kuasa dari Universiti Malaya serta menerima ijazah sarjana muda dan sarjana dalam bidang kejuruteraan elektrik dari Universiti Islam Gaza, sebuah institusi pendidikan bebas di Semenanjung Gaza.

Jenazah Fadi telah dituntut keluarganya sebelum disembahyangkan di sebuah masjid di Kuala Lumpur, yang turut dihadiri kira-kira 500 orang, sebelum dibawa pulang ke Gaza melalui penerbangan ke Mesir.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh