Kejayaan Mohd Faiz Subri Cetus Sensasi, Keluarga Bersyukur

Muhammad Fairuz Mazlan
2017.01.10
Alor Setar, Kedah
170110-my-faizsubri-620.jpg Penyerang pasukan Pulau Pinang dan Malaysia, Mohd Faiz Subri (R) menerima ucapan tahniah daripada bekas pemain bola sepak Brazil, Ronaldo selepas memenangi Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa [FIFA] di Zurich, Switzerland, 9 Januari, 2017.
AFP

Kejayaan pemain bolasepak pasukan Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri dalam merangkul Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa [FIFA] 2016 di Zurich, Switzerland, dilihat sebagai kejayaan yang mencetuskan satu fenomena baru dalam sukan bola sepak di Malaysia dan juga luar negara.

Mohd Faiz, 29 anak kelahiran Air Itam, Kedah merupakan pemain bola sepak yang pertama dari Asia berjaya memenangi anugerah sempena nama legenda bola sepak Hungary, Ferenc Puskas, yang menikmati kejayaan hebat bersama pasukan Real Madrid pada 1950-an dan 60-an serta bersama pasukan kebangsaan negara beliau.

Berita kemenangan penyerang Pulau Pinang itu menjadi topik hangat yang diperkatakan oleh setiap rakyat Malaysia walaupun beribu kilometer jauhnya dari bandar tasik Swiss yang sedang sejuk dan dilimpahi salji, malah membanjiri laman media sosial dengan ucapan tahniah ke atas beliau.

Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Khairy Jamaluddin menyifatkan jaringan 'ajaib' Mohd Faiz telah mencetuskan fenomena sehingga mendapat perhatian seluruh peminat bola sepak di dunia dan merupakan jaringan yang hanya terjadi sekali dalam seumur hidup.

Menteri itu dalam laman twitternya menulis, "Sungguh bangga, Tahniah, Faiz, jaringan sekali dalam seumur hidup,”

Semasa membantu pasukan Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, pada 16 Feb tahun lepas, Mohd Faiz telah memberikan  jaringannya yang disifatkan 'melanggar hukum fizik' yang agak mengelirukan dengan bola pada mulanya melencong ke arah penjuru kanan gawang Pahang sebelum ia secara tiba-tiba bertukar arah menyebabkan penjaga gol, Nasril Nourdin tergamam.

Jaringan luar biasa beliau itulah antara yang dianggap paling menarik sepanjang tahun lepas, sehingga membolehkannya mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Keluarga bersyukur

Ibubapa Mohd Faiz yang ditemui BeritaBenar di Alor Star berkata, mereka dan seluruh keluarga sangat bersyukur dengan kejayaan anak lelaki mereka itu yang diumumkan sebagai pemenang jaringan gol paling cantik sepanjang 2016 pada satu majlis di Zurich Switzerland pada Isnin.

Kedua orang tuanya menyifatkan kejayaan itu sebagai kejayaan kepada semua rakyat Malaysia dan berharap ianya dapat melonjakkan lagi kerjaya Mohd Faiz dalam bidang bolasepak yang diminatinya sejak kecil.

"Kami sangat bersyukur dia telah berjaya dan doa kami dimakbulkan. Saya berharap kejayaan ini akan menjadi pembakar semangat kepadanya untuk lebih berjaya sebagai pemain bolasepak profesional," kata Subri Kader, bapa kepada Mohd Faiz semasa ditemui pada Selasa.

Menurut Subri, Mohd Faiz sememangnya sangat meminati bolasepak sejak kanak-kanak dan mula mewakili Sekolah Kebangsaan Tunku Bendahara, Kodiang seawal umur 10 tahun.

"Dia terus aktif dalam sukan itu setelah memasuki sekolah menengah sehinggalah membuat keputusan untuk menjadi pemain bolasepak profesional," ujarnya.

Menurut Subri, mereka sekeluarga sememangnya sangat berdebar sepanjang mengikuti siaran langsung majlis anugerah FIFA dan teramat gembira apabila Mohd Faiz diumumkan sebagai pemenang, menewaskan dua lagi pencabar.

Subri dan isteri Sa'diah Ishak, 55, turut diraikan oleh hampir 200 ahli keluarga, rakan dan penduduk Kampung Tok Kepak, Pida 6 di Jerlun, atas kejayaan anaknya itu.

Sa'diah turut  melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas sokongan semua rakyat Malaysia menyokong kuat pencalonan anaknya untuk menerima anugerah berkenaan.

Mohd Faiz dalam ucapannya selepas menerima anugerah itu berkata "Secara jujur, tidak pernah terlintas di fikiran saya bahawa saya akan mencapai ke tahap ini dan berada sebaris dalam kalangan pemain bola sepak bertaraf dunia di tempat yang hebat ini," katanya selepas menerima anugerah tersebut daripada bekas penyerang sensasi Brazil, Ronaldo.

Sementara itu di Pulau Pinang, Ketua Menteri Lim Guan Eng dalam sidang media di pejabatnya di Komtar pada Selasa turut teruja dan melahirkan rasa bangga atas kejayaan yang diperolehi oleh Mohd Faiz.

“Kejayaan Mohd Faiz bukan saja mengharumkan nama Pulau Pinang malah mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia selain mencipta sejarah menjadi pemain Asia pertama menerima anugerah tersebut,

"Saya percaya kejayaan yang dicapai beliau boleh dicontohi dan di teladani khususnya anak muda dan untuk menempa kejayaan seperti Mohd Faiz, tiada jalan pintas.Beliau telah berusaha keras, rajin dan berdisplin,” tambah Lim sambil memaklumkan yang kerajaan negeri itu sedang mempertimbangkan hadiah untuk Mohd Faiz.

Semasa majlis gilang gemilang itu, Mohd Faiz menerima anugerah yang disampaikan oleh pemain legenda bola sepak Brazil, Ronaldo DeLima sekaligus menyaksikan kemenangan ini meletakkan Mohd Faiz sebaris dengan pemain ternama yang pernah merangkul anugerah yang sama seperti Cristiano Ronaldo, Zlatan Ibrahimovic, Neymar dan James Rodriguez.

Pengurus Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) Zairil Khir Johari melahirkan rasa gembira dan berbangga dengan pencapaian anak buahnya tetapi masih memberi ingatan kepada Faiz supaya tidak leka dengan kejayaan gemilang tersebut.

“Saya rasa bangga dan gembira sangat apabila dia diumumkan sebagai pemenang sekaligus mengharumkan sukan bolasepak Pulau Pinang, tetapi turut berharap yang Mohd Faiz dapat memberikan fokus terhadap cabaran musim baru dalam arena boleh sepak Pulau Pinang,

"Kita berharap Faiz akan terus memberi tumpuan dan lebih bersemangat untuk meningkatkan kualiti dalam setiap permainan dan seterusnya menobatkan Pasukan Harimau Kumbang menjadi juara Liga Super," katanya lagi.

Perdana Menteri Najib Razak turut mengucapkan tahniah kepada Mohd Faiz melalui laman Facebooknya dengan berkata, “Tahniah Faiz Subri! Kejayaan anda dalam FIFA Puskas Award 2016 akan memberi inspirasi kepada semua pemain bola sepak Malaysia dan juga telah mengharumkan nama negara,”


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.