Follow us

Malaysia Beri Amaran Ambil Tindakan Tegas Terhadap Individu Sebar Berita Palsu, Hasutan

Ray Sherman & Nisha David
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-05-14
E-mel
Komen
Share
Pelajar-pelajar tahfiz sedang menghafal Al-Quran di sebuah madrasah di Sungai Buloh, Selangor, 27 April 2018.
Pelajar-pelajar tahfiz sedang menghafal Al-Quran di sebuah madrasah di Sungai Buloh, Selangor, 27 April 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia pada Khamis mengeluarkan amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa yang didapati menyebarkan berita palsu serta memuatnaik kandungan yang berunsur hasutan semasa tempoh pandemik COVID-19, dengan pihak berkuasa menyatakan bahawa sejumlah 264 kertas siasatan telah dibuka ke atas kes-kes berkaitan sejak Januari lalu.

Pada masa yang sama pihak berkuasa kesihatan pula mengumumkan bahawa mereka telah mengenalpasti empat sub-kluster virus itu yang mempunyai kaitan dengan perhimpunan tabligh di Kuala Lumpur pada akhir Februari lalu, menjangkiti pelajar dan warga kerja sekolah-sekolah agama di seluruh negara.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin berkata, sejak kebelakangan ini penyebaran maklumat palsu atau berita berunsur hasutan semakin berleluasa sehingga boleh mewujudkan suasana tidak tenteram terutamanya yang menyentuh isu-isu sensitif dalam kalangan masyarakat.

"Kementerian Dalam Negeri memandang serius perkara ini… dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang dengan sengaja cuba mencetuskan provokasi atau mengganggu gugat keselamatan dan ketenteraman awam," kata Menteri itu dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di Putrajaya pada Khamis.

Beliau juga memberitahu terdapat tren peningkatan kes melibatkan kesalahan menghasut sejak dua tahun lalu terutamanya melibatkan Institusi Diraja, hak kedaulatan, kaum, agama, taraf dan hak yang dilindungi oleh Bahagian 3 atau Perkara 152, 153 dan 181 Perlembagaan Persekutuan.

Hamzah berkata jumlah kertas siasatan yang dibuka ke atas kesalahan seumpama itu sejak beberapa tahun lalu telah menunjukkan tren peningkatan dengan sembilan kesalahan berkait hasutan pada 2017, dan jumlah itu meningkat kepada 31 pada 2018, dengan naik sehingga 78 kes pada tahun lepas.

“Kementerian Dalam Negeri tidak akan teragak-agak untuk menggunakan semua undang-undang sedia ada dalam mengambil tindakan terhadap penyebaran berita palsu dan hasutan, termasuklah Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan, dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Di bawah Akta Hasutan, seseorang yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara maksima tiga tahun, atau denda tidak melebihi RM5,000, atau kedua-duanya sekali,” kata Hamzah sambil menegaskan bahawa tindakan itu dibuat bagi memastikan keharmonian dan kesejahteraan rakyat terpelihara.

Dalam pada itu Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan memandang serius mengenai penularan berita palsu dan sebanyak 264 kertas siasatan telah dibuka berhubung kesalahan berkenaan.

“Daripada 264 kertas siasatan itu, 177 masih dalam siasatan, 30 kes telah didakwa di mahkamah, dengan 11 pesalah telah dilepaskan dan diberi amaran manakala 18 lagi pula telah mengaku bersalah," kata beliau.

Kluster baru dikesan

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia mengumumkan bahawa pihaknya telah menemui satu lagi kluster baru COVID-19 membabitkan sebuah madrasah di negeri Melaka.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah, empat daripada 107 individu yang disaring di sekolah tersebut didapati positif virus berkenaan.

Beliau berkata, empat individu yang positif itu termasuk dua daripada 35 pelajar madrasah, manakala dua lagi adalah ahli keluarga kepada kumpulan guru, pelajar dan pekerja sekolah berkenaan.

“Dengan tambahan kluster baru yang dipanggil Kluster Solok Duku, mengambil sempena nama tempat sekolah berkenaan, jumlah kluster sekolah agama di Malaysia kini meningkat kepada enam.

“Daripada enam kluster sekolah agama, empat didapati sebagai sub-kluster kepada perhimpunan tabligh di sebuah masjid di Seri Petaling, Kuala Lumpur yang diadakan antara Feb 27 dan 1 Mac lalu. Kluster himpunan berkenaan adalah kluster terbesar jangkitan COVID-19 di Malaysia setakat ini,” kata Noor Hisham.

Ketua Pengarah itu turut memaklumkan sidang media di Putrajaya bahawa sejumlah 635 orang daripada kluster sekolah tahfiz didapati positif COVID-19 dengan 10,755 orang yang disaring bebas daripada pandemik itu manakala 994 orang lagi masih menunggu keputusan.

Sehingga 14 Mei, sejumlah 19,209 pelajar tahfiz, guru-guru dan pekerja madrasah telah dikenalpasti dari 370 madrasah dan pusat tahfiz seluruh negara dengan 12,384 telah menjalani ujian saringan COVID-19.

Malaysia pada Khamis telah merekodkan 40 kes positif baru jangkitan itu menjadikan keseluruhan 6,819 kes, di mana satu kematian dicatatkan menjadikan jumlah kesemuanya 112.

Garis panduan solat

Pihak-pihak berkuasa agama persekutuan dan negeri di Malaysia mula mengeluarkan garis panduan baru bagi Islam di setiap negeri menjalani ibadah solat berjemaah di Masjid.

Wilayah Persekutuan dan lapan lagi negeri sudah memberi kebenaran kepada aktiviti tersebut , tetapi terdapatkan perbezaan bentuk kebenaran yang diberikan dan bergantung kepada peraturan ketua agama bagi setiap negeri.

Melaka, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak, membenarkan solat berjemaah dan solat Jumaat di masjid dan surau terpilih dengan syarat ianya berada di Zon Hijau COVID-19 dengan bilangan jemaah minimum tiga, tidak termasuk imam dan tidak melebihi 30 orang.

Perlis, Johor dan Negeri Sembilan hanya membenarkan Solat Jumaat dengan menghadkan jumlah tidak melebihi 12 orang, dengan hanya pegawai, ahli jawatankuasa masjid sahaja dibenarkan manakala Johor , Negeri Sembilan pula mensyaratkan bahawa aktiviti tersebut hanya dibenarkan di masjid atau surau terpilih sahaja.

Kedah pula membenarkan masjid untuk menganjurkan solat berjemaah dengan menghadkan  kepada tiga orang jemaah pada satu-satu masa.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.



Lihat Laman Penuh