Malaysia lantik fasilitator baharu panel rundingan damai Selatan Thailand
2024.07.05
Kuala Lumpur
KEMASKINI pada 2.15 petang waktu tempatan ETS - 2024-07-05
Malaysia pada Jumaat menamakan fasilitator baharu dalam rundingan damai antara kerajaan Thailand dan pejuang pemisah wilayah sempadan selatan negara itu, Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) bagi menggantikan bekas panglima tentera Zulkifli Zainal Abidin yang memegang jawatan tersebut hampir 18 bulan.
Bekas Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mohd Rabin Basir telah dilantik oleh pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai fasilitator kerajaan Malaysia menggantikan Zulkifli yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 30 Jun lepas.
“Keputusan terkini Putrajaya itu berkemungkinan dilbuat bagi menyamai pelantikan orang awam pertama Chatchai Bangchuad oleh kerajaan Thailand dalam mengetuai rundingan damai tersebut tahun lepas,” demikian menurut sumber dalaman kerajaan Thailand kepada BenarNews pada Jumaat.
Kenyataan MKN yang dikeluarkan di Putrajaya memaklumkan Mohd Rabin dilantik sebagai fasilitator baharu dalam proses dialog damai itu berkuat kuasa pada 1 Julai lepas.
“Kerajaan Malaysia amat yakin dengan kewibawaan Mohd Rabin untuk merealisasikan misi ini dengan baik, berkesan dan mampu mencapai dampak positif serta signifikan kepada proses dialog damai Selatan Thailand yang sedang berlangsung.
“Beliau diharap dapat memainkan peranan lebih efektif serta konstruktif dalam mempercepat usaha ke arah mewujudkan persekitaran aman dan damai di wilayah sempadan Selatan Thailand,” kata Ketua Pengarah MKN Raja Nushirwan Zainal Abidin.
BenarNews telah menghubungi Pejabat Perdana Menteri untuk mendapatkan komen mengenai perkara itu namun belum menerima maklum balas.
Pelantikan terkini itu menyaksikan Malaysia kembali memilih orang awam untuk berperanan sebagai orang tengah setelah melantik bekas pegawai tertinggi polis dan tentera ke jawatan itu sejak 2018.
Fasilitator pertama panel dialog damai selatan Thailand ialah Ahmad Zamzamin Hashim, bekas wakil Malaysia dari Lembaga Penasihat Institut Keamanan dan Perdamaian (ASEAN-IPR) sebelum diganti oleh bekas Ketua Polis Negara Abdul Rahim Noor (2018-2022).
Zulkifli menggantikan Abdul Rahim sebelum BRN mengambil alih peranan utama dalam rundingan bagi pihak puak pemisah.
Pada November 2023, Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin melantik Chatchai Bangchuad, orang awam pertama bagi mengetuai negara itu dalam rundingan damai yang dipelopori oleh Malaysia dengan puak pemisah di Selatan Thailand.
Chatchai pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Setiausaha di Majlis Keselamatan Negara Thailand dan terlibat dalam proses damai itu sebelum Malaysia memulakan usaha memudah cara rundingan pada 2013.
Keganasan meningkat
Pelantikan itu dibuat ketika keganasan semakin meningkat di wilayah Selatan Thailand.
Pada Ahad, sehari sebelum Mohd Rabin mengambil alih tugas itu, berlaku insiden serangan bom kereta di depan kompleks perumahan pegawai polis di Bannang Sata, Yala yang menyebabkan seorang guru wanita tempatan maut manakala 34 lagi cedera.
Pada 25 Jun lepas, seorang aktivis hak asasi manusia terkemuka di Selatan Thailand, Roning Dolah ditembak mati di rumahnya di wilayah Pattani oleh dua lelaki tidak dikenali dengan senjata gred tentera, kata pihak berkuasa Thailand.
Dalam pada itu, Anchana Heemmina, Presiden Duay Jai, pertubuhan masyarakat sivil Thailand memberitahu BenarNews bahawa pihaknya mahu fasilitator baharu itu mentakrifkan peranan mereka dengan jelas serta melayan kedua-dua pihak yang berunding dengan kepentingan dan rasa hormat yang sama.
Katanya wakil kerajaan Malaysia itu perlu mempunyai matlamat yang jelas untuk memudah dan memajukan rundingan serta berhubung dengan penduduk tempatan.
“Beliau harus bertindak sebagai penghubung yang ikhlas. Sehingga kini, tidak ada komunikasi, mereka hanya mengatakan ada kemajuan tetapi tanpa butiran terperinci yang gagal memberi harapan kepada orang ramai bahawa ia akan menjadi kenyataan.
"Apa yang beliau lihat sebagai kemajuan? Apakah langkah-langkah kemajuan sebenar yang sejajar dengan hasrat rakyat?” soal Ahli Jawatankuasa Khas Dewan Perwakilan Thailand Mengenai Keamanan Sempadan Selatan itu.
“Sebagai bekas diplomat, beliau sepatutnya memahami peranan itu. Menjadi seorang diplomat sepatutnya membantu menjadikan rundingan lebih memuaskan tetapi mesti ada petunjuk kemajuan untuk meningkatkan rundingan dengan berkesan, mewujudkan suasana yang mampu membawa kepada kejayaan,” katanya.
Nabiela Ismail, Penganalisis Penyelidikan dan Advokasi, Hal Ehwal Luar di Bait Al Amanah, sebuah institut penyelidikan di Malaysia pula berkata peranan Zulkifli sebelum ini bermula dengan keyakinan apabila berjaya menghimpunkan semua pihak di meja rundingan selain tampil bersama di depan media, yang dianggap satu kejayaan dalam konflik itu.
Beliau berkata bekas panglima tentera itu juga dilihat sebagai rakan kongsi dan pendengar yang dipercayai oleh kedua-dua pihak yang bertelagah.
Katanya sepanjang perkhidmatan Zulkifli, JCPP telah dipersetujui dalam Mesyuarat Rasmi Proses Dialog Keamanan Ke-6 di Kuala Lumpur dan menetapkan hala tuju untuk kemajuan keamanan berlaku.
"Beberapa perjanjian gencatan senjata juga telah dicapai semasa beliau memegang jawatan itu," katanya kepada BenarNews.
Ditanya sama ada kerajaan Malaysia terlalu gopoh menggantikan Zulkifli dengan tokoh yang bukan dari latar belakang ketenteraan, Nabiela berkata langkah menggantikan ketua fasilitator di kawasan yang dilanda konflik adalah soal keperluan geopolitik dalam setiap situasi.
"Kekurangan kemajuan dalam rundingan ditambah pula dengan perubahan politik dan ketidakstabilan dalam kerajaan Thailand telah menimbulkan cabaran untuk proses rundingan diteruskan dengan berkesan.
Meskipun dengan usaha perdamaian yang dilakukan oleh Zulkifli, keganasan berterusan membuktikan bahawa wujud ketidakstabilan di rantau ini, jelas Nabiela.
"Atas alasan ini, Malaysia mengambil pendekatan berbeza dengan melantik seseorang yang berpengalaman dalam kerajaan terutamanya dari latar belakang keselamatan, diplomatik, penguatkuasaan undang-undang dan perisikan,” katanya.
Selatan Thailand terdiri daripada wilayah Pattani, Narathiwat dan Yala serta empat daerah dalam wilayah Songkhla.
Sejak pemberontakan meletus semula pada Januari 2004, lebih 7,000 orang terkorban manakala lebih 13,600 cedera dalam keganasan yang berlaku di wilayah sempadan yang kebanyakannya dihuni oleh Melayu Islam, demikian menurut Deep South Watch, sebuah badan pemikir tempatan.
Mariyam Ahmad di Pattani, Thailand turut menyumbang kepada laporan ini.