FBI Amerika Syarikat Siasat Skandal 1MDB Malaysia

Hata Wahari
2015.09.21
150921-MY-NAJIB620 Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak selepas mengadakan persidangan media di pejabatnya di Putrajaya. 14 September 2015.
AFP

Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat telah melancarkan satu siasatan tentang pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana pelaburan negara Malaysia yang dibebani hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menurut laporan berita.

Skop siasatannya belum diketahui, lapor The Wall Street Journal pada Sabtu, dengan memetik ‘orang yang mengetahui tentang perkara itu’.

FBI enggan mengulas sama ada siasatan berkenaan sedang dijalankan.‘Ini adalah amalan biasa bagi FBI untuk tidak mengesahkan atau menafikan tentang adanya siasatan," kata Susan McKee, Pemangku Ketua Unit Pejabat Media Kebangsaan FBI, kepada BeritaBenar dalam satu e-mel.

Pada Julai lalu, The Wall Street Journal melaporkan bahawa sebanyak AS$700 juta dolar dari 1MDB telah dimasukkan ke dalam akaun yang didakwa dimiliki oleh Perdana Menteri Malaysia  Najib Razak sebelum pilihan raya umum Malaysia, yang telah diadakan pada Mei 2013.

Najib dan para pegawai 1MDB menafikan sebarang salah laku. Perdana Menteri menyifatkan  laporan itu sebagai cubaan sabotaj politik dan berkata beliau ‘tidak pernah mengambil dana untuk kepentingan peribadi.’

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kemudian berkata, dana itu adalah sumbangan dari Timur Tengah. Ia tidak menyatakan siapa penyumbangnya, untuk apa wang itu digunakan, atau mengapa sejumlah besar wang  yang memasuki negara ini tidak dilaporkan.

'Satu bentuk sabotaj'

Pada Jumaat, pihak berkuasa Malaysia menahan seorang pemberi maklumat dalam kes itu selepas menghalang pemergiannya ke Amerika Syarikat, di mana beliau merancang untuk bertemu dengan pegawai-pegawai FBI,  Agence France-Presse memetik peguam lelaki itu sebagai berkata.

Khairuddin Abu Hassan, bekas timbalan ketua bahagian dalam parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang diterajui Najib, telah ke Switzerland, Britain, Perancis dan Hong Kong untuk menarik perhatian kepada kes IMDB itu, kata peguam beliau Matthias Chang.

Beliau kini ditahan dan didakwa merancang untuk ‘melemahkan demokrasi berparlimen’ Malaysia, kata Chang, menurut laporan AFP.

Khairuddin telah membuat laporan polis berhubung dakwaan penyalahgunaan wang yang dikaitkan dengan 1MDB, dan para penyiasat memerlukan masa untuk meneliti perkara itu, kata Ketua Polis Malaysia Khalid Abu Bakar, dalam satu kenyataan pada Ahad dari Makkah, di mana beliau sedang menunaikan Haji.

"Bagaimanapun, beliau [Khairuddin] masih memilih untuk menggunakan saluran undang-undang asing untuk mendapatkan perhatian antarabangsa dan mengenakan tekanan ke atas Malaysia," kata Khalid.

"Tindakan ini jelas bertujuan untuk mencalar sistem perundangan Malaysia dan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang tempatan serta menjemput campur tangan asing ke dalam sistem demokrasi di negara ini," katanya.

"Tindakan beliau adalah satu bentuk sabotaj yang boleh menjejaskan kestabilan ekonomi dan kedaulatan negara."

Khairuddin memfailkan laporan polis beliau mengenai 1MDB pada Disember 2014.

'Nantikan jawapan'

Awal bulan ini, The Wall Street Journal melaporkan bahawa lebih daripada AS$2 bilion wang 1MDB hilang. Wang tersebut sepatutnya dibayar kepada satu dana yang berpangkalan di Abu Dhabi.

Bayaran AS$1.4 bilion dan AS$993 juta kini tidak dapat dikesan, lapor akhbar itu dengan memetik pegawai-pegawai di ibu negara UAE itu.

1MDB menafikan laporan itu yang dianggapnya sebagai berat sebelah, kurang sumber dan penuh dengan kesilapan.

"Kami mengesahkan bahawa tiada pegawai eksekutif atau ahli lembaga 1MDB yang menjadi subjek apa-apa prosiding jenayah oleh pejabat peguam negara Switzerland itu. Kami juga mengesahkan bahawa tiada akaun bank 1MDB telah dibekukan oleh sama ada oleh pihak berkuasa Switzerland atau Singapura, " 1MDB menegaskan dalam satu kenyataan pada Jumaat.

"Kami, bagaimanapun, menegaskan kesediaan dan kesanggupan kami untuk membantu siasatan yang dijalankan oleh mana-mana agensi kerajaan asing, yang tertakluk kepada nasihat daripada pihak berkuasa Malaysia berkenaan dan pematuhan kepada mana-mana protokol antarabangsa berkaitan yang mengawal perkara sedemikian."

‘Siasatan Antarabangsa’

Dana 1MDB kini menjadi siasatan antarabangsa di Singapura, Hong Kong, Switzerland, Britain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), menurut laporan berita.

Bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad – dulu dianggap sebagai mentor Najib dan sekarang pengkritik beliau – berkata, Najib perlu berhati-hati jika mahu ke luar negara. Perdana Menteri Malaysia itu dijadual ke New York minggu depan untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin asing lain.

"Dia mungkin ditangkap jika dia meninggalkan negara. Jadi dia kena duduk sini (dalam negara) tak boleh keluar. Macam mana dia  tarik  pasport orang, tak bagi keluar negara, dia pun tak boleh  ke luar negara juga,” kata bekas perdana menteri berusia 90 tahun itu, pada Ahad dalam video yang disiarkan dalam laman blog Din Turtle.

Pada Isnin, ketua bank pusat Malaysia berkata, skandal berterusan 1MDB telah menjerut ekonomi negara itu, dan ia perlu diselesaikan dengan telus.

"Buat masa ini, kita tahu bahawa orang ramai mahu jawapan bagi soalan-soalan ini, dan mereka berhak mendapatkan jawapan," kata Gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz di Kuala Lumpur semasa perbincangan mengenai ekonomi, lapor The Malaysian Insider.

"Apabila kesemua isu berkenaan 1MDB diselesaikan, barulah kita boleh menyaksikan pemulihan ringgit,” lapor Astro Awani yang memetik Zeti sebagai berkata,  dengan merujuk kepada nilai mata wang  Malaysia yang sedang mengalami krisis.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.