Follow us

Malaysia Janji Selesaikan Liabiliti Berbilion Dolar

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-05-24
E-mel
Komen
Share
Ahli-ahli Pasukan Petugas Siasatan 1MDB Malaysia bertemu dengan ejen FBI di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, pusat pentadbiran negara, 24 Mei 2018.
Ahli-ahli Pasukan Petugas Siasatan 1MDB Malaysia bertemu dengan ejen FBI di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, pusat pentadbiran negara, 24 Mei 2018.
[Ihsan SPRM]

Terkejut dengan penemuan baru-baru ini bahawa hutang negara telah melonjak kepada RM1 trilion (AS$251.7 bilion), menteri kewangan baru Malaysia pada Khamis berkata, negara itu akan menghormati tanggungjawab berhubung kewangannya, ketika penyiasat pencegahan rasuah melakukan soal siasat terhadap bekas Perdana Menteri Najib Razak buat kali kedua minggu ini.

Ketika Najib memasuki bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada Khamis, ahli-ahli sebuah pasukan petugas yang menyiasat dakwaan berhubung penyelewengan dana kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pula mengadakan perbincangan dengan pegawai-pegawai Jabatan Kehakiman (DOJ) dan ejen-ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat, kata pegawai.

Najib mengasaskan 1MDB pada 2009 dan ia menjadi sasaran siasatan di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat [AS], dengan para penyiasat mendakwa rakan sekutunya telah membeli hartanah dan mengubah wang sebanyak $4.5 bilion yang diselewengkan daripada dana itu.

"Izinkan saya menekankan di sini bahawa kewajipan dan komitmen kewangan kerajaan Persekutuan tidak berubah sebelum 9 Mei dan selepas pilihan raya kali ini," kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam satu kenyataan. "Satu-satunya perubahan adalah kerajaan Persekutuan yang baru telah membuat keputusan untuk berterus terang tentang apa yang berlaku."

Lim membuat kenyataan itu bagi menjawab catatan Facebook Najib pada lewat Rabu di mana bekas pemimpin itu mengkritik dakwaan Lim bahawa hutang negara telah melonjak kepada lebih daripada RM1 trilion.

"Berdasarkan daripada kenyataan yang membimbangkan dan mengelirukan ini, Indeks Bursa Malaysia mengalami kejatuhan paling banyak di antara semua pasaran saham di seluruh dunia, mengakibatkan berpuluh bilion ringgit dalam nilai pasaran hilang dalam tempoh satu hari,” kata Najib. “Indeks Bursa negara kita turun 40.78 mata hari ini atau 2.21 peratus, sedangkan Indeks Bursa Indonesia meningkat kepada 0.71 peratus.”

Najib, yang menjadi subjek siasatan rasuah dalam negara, digulingkan selepas berkuasa selama satu dekad apabila pakatan pembangkang yang diketuai oleh Mahathir Mohamad menumbangkan gabungan parti pemerintah pada pilihan raya umum 9 Mei.

Najib menuduh kerajaan baru itu mengambil langkah-langkah "untuk memfitnah dan menyalahkan saya bagi memberikan persepsi tentang kedudukan kewangan yang sangat teruk, untuk membenarkan mengapa ia tidak dapat menunaikan janji manifestonya dan mengurangkan secara besar-besaran perkhidmatan awam."

Kritikan Najib muncul di tengah-tengah kebingungan mengenai dakwaan Mahathir pada Rabu bahawa hutang persekutuan telah mencapai lebih daripada 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, yang melampaui angka rasmi kerajaan sebelum ini.

Lim berkata, kementeriannya memperoleh angka itu dengan melihat kepada gambaran sepenuhnya mengenai komitmen kewangan kerajaan.

Beliau berkata, hutang rasmi itu berjumlah RM686.8 bilion ($173.2 bilion) atau 50.8 peratus daripada KDNK, tetapi negara itu komited untuk membayar jaminan entiti kerajaan yang tidak mampu membayar hutang berjumlah RM199.1 bilion ($ 50.2 bilion) atau 14.6 peratus daripada KDNK.

Berdasarkan dua perkara di atas, hutang kerajaan Persekutuan mencapai RM885.9 bilion ($ 223.4 bilion)," kata Lim, sambil menjelaskan bahawa dengan komitmen dan tanggungjawab lain, termasuk pembayaran pajakan, jumlah liabiliti negara telah melangkaui nilai trilion ringgit, bersamaan dengan 80.3 peratus daripada KDNK, sehingga 31 Disember tahun lepas.

"Biarlah kita menghadapi realiti yang pahit ini, bekerja keras untuk menyelesaikan masalah kita, daripada membiarkannya meletup di kemudian hari," kata Lim.

Penyiasat Malaysia, AS bertemu kali pertama

AS meminta bantuan undang-undang bersama sebanyak dua kali - pada 2016 dan 2017 - ketika pegawai DOJ melancarkan siasatan rasuah, tetapi tidak mendapat kerjasama daripada Kuala Lumpur, kata penyiasat AS kepada pasukan petugas siasatan 1MDB pada Khamis di Putrajaya, pusat pentadbiran negara.

Pegawai FBI dan DOJ bertemu lebih daripada satu jam dengan ahli pasukan petugas siasatan 1MDB termasuk bekas Peguam Negara Abdul Gani Patail, bekas ketua SPRM Abu Kassim Mohamed, Pengarah Cawangan Khas Abdul Hamid Bador dan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Mohd Shukri Abdul. Kedua-dua negara bersetuju tentang apa yang mesti dilakukan untuk membawa pulang aset yang telah dicuri itu ke Malaysia.

Sementara itu, Najib tersenyum dan melambai kepada jurugambar tetapi enggan memberikan kenyataan ketika beliau tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada Khamis. Beliau menghabiskan masa hampir tujuh jam di pejabat agensi pencegahan rasuah itu sebelum dibenarkan pulang kira-kira  5 petang.

Najib, yang pernah menyandang jawatan menteri kewangan, telah disoal siasat berhubung RM42 juta ($ 10.6 juta) yang dimasukkan dalam akaun banknya dari SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Sebelum beredar dari ibu pejabat itu, Najib memberitahu pemberita bahawa beliau telah dimaklumkan oleh pegawai SPRM bahawa "sesi soal siasatnya telah selesai".

"Saya telah menjawab semua soalan dengan sebaik mungkin dan SPRM telah melakukan tugas mereka dengan penuh profesional," katanya.

Najib, 64, disoal siasat oleh agensi pencegahan rasuah itu selama empat jam pada Selasa, yang merupakan kali pertama bekas pemimpin itu diminta memberi keterangan secara rasmi mengenai skandal dana pelaburan itu.

Najib mengasaskan 1MDB, atau 1Malaysia Development Berhad, pada 2009 sebagai syarikat pelaburan strategik negara bagi mendapatkan  projek-projek yang boleh memberi manfaat kepada rakyat Malaysia. Tetapi, menurut dokumen mahkamah yang difailkan oleh Jabatan Kehakiman AS dana itu sebaliknya digunakan untuk memenuhi gaya hidup mewah mereka yang mempunyai  kuasa terhadap syarikat itu antara 2009 dan 2014.

Apabila pendakwa AS memfailkan kes saman bagi melucutkan hak sivil  yang berkaitan dengan 1MDB pada Julai 2016, mereka menyifatkan berlakunya tahap penipuan yang amat besar di mana lebih daripada $730 juta daripada apa yang dianggap sebagai wang 1MDB telah dialihkan dalam siri transaksi penuh rumit sebelum akhirnya dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi "Pegawai Malaysia 1," yang merupakan rujukan kepada Najib.

Najib, yang terus menerus menafikan sebarang salah laku berkata, wang yang dimasukkan ke dalam akaun banknya adalah derma daripada putera Arab Saudi.

Washington menyifatkan hal ehwal 1MDB sebagai "skandal kleptokrasi paling buruk sejak sekian lama," dengan menyatakan bahawa lebih daripada AS $4.5 bilion telah dicuri dari dana itu sejak penubuhannya.

Mahathir,92, berikrar untuk tidak membuat apa-apa perjanjian dengan Najib dan berjanji menyiasat dengan menyeluruh skandal rasuah itu.

Sebagai sebahagian daripada siasatan 1MDB, pihak polis melakukan serbuan di  kediaman dan pejabat yang pernah digunakan Najib serta merampas beratus-ratus kotak mengandungi beg tangan berjenama dan berpuluh-puluh beg pakaian yang mengandungi wang tunai, barang kemas dan barangan mewah.

Lihat Laman Penuh