Kerajaan Umum Dana Khas RM77 juta Bantu Warga Felda Lunas Hutang

Ali Nufael
2018.12.20
Kuala Lumpur, Malaysia
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
181220-MY-Felda1000.jpg Seorang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan [Felda] sedang mengangkut buah kepala sawit di ladangnya di Bukit Kuantan, Pahang, 29 Feb, 2012.
AFP

Kementerian Kewangan pada Khamis mengumumkan dana khas berjumlah 77 juta ringgit (AS$18.4 juta) bagi membantu peneroka tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan [Felda] untuk melunaskan bayaran tertunggak pada tahun semasa, demikian kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Lim dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Putrajaya berkata, peruntukan khas tersebut diberi bagi membantu golongan peneroka membayar kerja-kerja operasi pembangunan ladang mereka dan kos sara hidup serta pendahuluan hasil tanam semula ekoran masalah aliran tunai Felda yang agak tenat.

“Kementerian Kewangan mengambil serius masalah aliran tunai Felda yang sangat kritikal pada tahun 2018. Masalah ini mendapat perhatian Perdana Menteri Mahathir Mohamad yang baru-baru ini telah mengarahkan bantuan diberikan,” kata Lim ringkas.

Beliau berkata, dana berjumlah 77 juta ringgit itu akan disalurkan kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi selaku kementerian yang mengawal badan milik kerajaan berkenaan.

Dalam menerangkan pecahan dana, Lim berkata, sebanyak 43 juta ringgit (AS$10.28 juta) akan dibayar kepada Felda Technoplant Sdn Bhd bagi kerja-kerja operasi pembangunan ladang peneroka manakala 32.8 juta ringgit (AS$7.84 juta) adalah untuk bayaran sara hidup dan pendahuluan hasil tanam semula 38,000 peneroka.

“Selebihnya1.2 juta ringgit (AS$287,000) adalah untuk bayaran khairat kematian melibatkan waris kepada 120 peneroka,” tambahnya lagi.

Pada awal Disember lalu, sewaktu majlis makan malam Pakatan Harapan, Perdana Menteri meminta Lim untuk memberikan bantuan secepat mungkin kepada golongan miskin.

Kata Mahathir, ini kerana golongan itu tidak mampu menunggu pemulihan ekonomi yang dijangka berlaku tahun hadapan (2019).

Tambah Perdana Menteri itu lagi golongan daif kini semakin tertekan dengan peningkatan kos sara hidup dan tidak lagi berupaya menunggu janji manifesto Pakatan Harapan untuk memulihkan ekonomi.

"Golongan miskin tidak mampu menunggu sehingga 2019, untuk ekonomi kembali stabil. Mereka rasai tekanan kos sara hidup. Kita berjanji untuk memulihkan ekonomi tapi bagi mereka belum ada maknanya."

"Oleh itu dihadapan semua, saya minta Menteri Kewangan supaya bermurah hati membantu golongan miskin ini yang kehilangan duit yang dicuri kerajaan dahulu."

Mahathir berkata lagi walaupun tiada peruntukan undang-undang bagi kerajaan untuk membantu, tapi bantuan masih boleh diberikan sekadar yang termampu oleh pentadbiran negara.

Kemelut kewangan Felda menjadi bualan ramai setelah Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran Putrajaya pada 9 Mei lalu.

Pada Ogos lepas, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata, aliran tunai Felda amat kritikal akibat kelemahan urus-tadbir korporat sewaktu pemerintahan Barisan Nasional [BN].

Bercakap pada sidang Dewan Rakyat, Azmin mendedahkan bahawa hutang Felda berjumlah 8.025 bilion ringgit ekoran campur tangan ahli politik dalam menguruskan badan milik kerajaan itu.

Azmin turut menambah bahawa kerajaan baru akan membentangkan kertas putih mengenai Felda pada persidangan Parlimen pada penggal akan datang.

Minggu lalu, bekas pengerusi Felda yang juga bekas ahli Umno, Isa Samad mengaku tidak bersalah  terhadap 10 pertuduhan membabitkan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching Sarawak oleh FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Isa yang pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan, dituduh dengan satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah 3 juta ringgit (AS$717,270).

Dalam pertuduhan pertama, Isa didakwa sebagai Pengarah Syarikat Felda Investment Corporation Sdn Bhd telah melakukan pecah amanah ke atas dana syarikat dengan meluluskan cadangan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak dengan harga 160 juta ringgit (AS$38.25 juta).

Pembelian itu dibuat tanpa kelulusan Anggota Lembaga Pengarah Felda.

Bagi pertuduhan kedua hingga sepuluh, Isa didakwa menerima rasuah berbentuk suatu suapan untuk dirinya iaitu wang tunai berjumlah RM3,090,000.00 daripada Ikhwan Zaidel iaitu ahli lembaga pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd.

Beliau mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan dan minta dibicarakan.

Isa dituduh dibawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan juga boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang.

Beliau berhadapan dengan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau 10,000 ringgit(AS$2,390) mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Isa dibebaskan setelah membayar wang jaminan berjumlah RM800,000 dengan seorang penjamin.

Isa atau aliran tunai Felda bukan satu alasan

Masalah aliran wang tunai Felda yang kritikal dan pertuduhan rasuah ke atas bekas orang besar Felda, Isa Samad tidak boleh dijadikan alasan untuk menutup kepincangan Pakatan Harapan dalam mengendalikan isu-isu berkaitan Felda kata penganalisa politik Awang Azman Awang Pawi.

Menurut pensyarah kanan Universiti Malaya itu lagi pengumuman dana khas oleh kerajaan Pakatan Harapan hanyalah selepas menerima kritikan dari pelbagai pihak.

"Saya lihat usaha ini sebagai satu pembayaran untuk menyelamatkan reputasi Pakatan Harapan yang kini sedang dikritik hebat. Bukan soal Felda terhimpit ketirisan 100%."

"Jika tidak dibantu, peneroka akan bertambah marah kerana ramai dikalangan mereka juga kurang berpuas hati terhadap pemerintahan Pakatan Harapan."

"Kerajaan tidak seharusnya menunggu desakan ramai atau kritikan baru hendak bertindak. Mereka perlu lebih proaktif di masa hadapan. Soal Isa Samad atau masalah aliran tunai sepatutnya tidak dijadikan alasan," kata Awang Azman lagi.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.