Penumpang Feri Nyaris Maut Dalam Perlanggaran Di Perairan Malaysia-Filipina

Staf BeritaBenar
2016.01.06
160106-MY-SAND620 Rakyat Filipina tiba dengan bot di bandar Bongao, wilayah Tawi-Tawi, di selatan Kepulauan Mindanao dari Sabah, Malaysia. 8 Mac 2013.
AFP

Sebuah feri milik syarikat swasta yang berdaftar di Malaysia, dalam perjalanan dari selatan Filipina, karam selepas terlanggar sebuah tongkang berhampiran Labuan Haji di Pulau Bum-Bum, kira-kira satu kilometer dari Semporna di Sabah, pada Rabu malam.

Tindakan pantas pihak berkuasa dapat menyelamatkan kesemua 158 penumpang dan anak kapal feri ‘MB Juhairi' dalam kejadian itu, yang dipercayai berlaku kira-kira 8.50 malam, lapor media tempatan Malaysia.

Ketua Polis Marin Sabah Asisten Komisioner Mohamad Madun berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun empat penumpang mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Semporna untuk rawatan.

"Hasil siasatan awal, feri itu belayar dari Bongao di Tawi-Tawi, Filipina pada kira-kira 2.30 petang dan sedang menghampiri Semporna apabila kemalangan itu berlaku," katanya.

Operasi menyelamat melibatkan Polis Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Sementara itu, agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semporna Fazizul Hizham Borhan sebagai berkata, bahawa pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada kira-kira 8.56 malam.

“Daripada jumlah itu, seramai 17 penumpang feri terdiri daripada 12 warga Filipina dan lima rakyat Malaysia cedera ringan dan dihantar ke Hospital Semporna untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar,” kata beliau.

Menurut laporan itu, feri berkenaan karam di bahagian belakangnya susulan pelanggaran dengan tongkang tersebut.

Fazizul Hizham berkata, pihak berkuasa masih membuat rondaan di sekitar kawasan kejadian itu untuk memastikan keadaan selamat.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.