Sekatan AS Tidak Beri Kesan Kepada Import Sawit Malaysia, Kata Menteri

Nisha David
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-11-05
Share
201105-MY-Sawit1000.jpg Bantahan orang sekumpulan rakyat Malaysia terhadap sekatan yang dibuat oleh Kesatuan Eropah terhadap Biofuel Sawit di Kuala Lumpur, 16 Januari 2018.
[AFP]

Sekatan Amerika Syarikat [AS] keatas minyak sawit FGV Holdings Berhad tidak memberi kesan signifikan berikutan hanya membabitkan 0.0013 peratus produk minyak sawit firma Malaysia itu, dengan Putrajaya telahpun mengambil langkah untuk menangani dakwaan Washington mengenai buruh paksa di ladang kelapa sawit, demikian kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi semasa sidang Parlimen pada Khamis.

Khairuddin Aman Razali turut memberitahu parlimen bahawa isu buruh kanak-kanak dan buruh paksa yang mengancam industri minyak sawit negara itu bukanlah satu perkara baru dan kesahihan terhadap dakwaan tersebut masih belum dapat disahkan.

“Sekatan produk sawit Malaysia yang dikenakan Amerika Syarikat terhadap FGV tidak memberi kesan signifikan kepada sektor tersebut buat masa ini kerana FGV hanya mengeksport 40 tan sahaja minyak sawit yang bernilai RM120,000 (AS$2,947) ke Amerika Syarikat. Jumlah ini bersamaan dengan 0.0013 peratus daripada 3 juta tan keseluruhan jumlah eksport FGV.

“Eksport keseluruhan minyak sawit Malaysia ke Amerika Syarikat antara Mei hingga September 2020 adalah sebanyak 292,940 tan dan 292,011 tan bagi tempoh yang sama pada tahun 2019,” kata Khairuddin yang merujuk FGV atau FGV Holiding Bhd, satu daripada syarikat minyak sawit terbesar di dunia dengan kerajaan Malaysia mempunyai 12.4 peratus pemilikan saham

Khairuddin Aman Razali ketika menjawab soalan mengenai perkara itu menyatakan bahawa tuduhan buruh paksa berpunca dari amalan majikan menahan pasport pekerja asing tetapi berkata ianya dilakukan tanpa niat jahat.

“Masalah buruh paksa dan pekerja bawah umur di ladang bukanlah perkara baru dan tindakan majikan menyimpan pengenalan diri seperti pasport atas dasar keselamatan setelah mendapat persetujuan pihak pekerja, sebaliknya disenaraikan antara elemen buruh paksa oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa," kata Khairuddin.

Menurutnya, kerajaan juga sudah merangka jalan penyelesaian untuk memastikan majikan tidak memegang pasport pekerja sambil menambah “Sebahagian besar syarikat perladangan sawit menyediakan ruang khas penyimpanan pasport yang boleh diambil pekerja pada bila-bila masa,"

Beliau turut berkata langkah kerajaan menangguhkan pengambilan pekerja asing pada Jun lalu bagi menyekat penyebaran pandemik COVID-19 juga membantu kerajaan dalam pelan jangka panjang berkaitan isu buruh paksa.

Menurut Khairuddin pihak Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS hanya mengenakan sekatan terhadap FGV pada 30 September lalu berikutan petisyen yang difailkan oleh beberapa badan bukan kerajaan yang mendakwa adanya elemen buruh paksa dalam syarikat FGV.

“Walaubagaimanapun kebenaran atas tuduhan itu masih tidak boleh disahkan dan kementerian memerlukan platform yang lebih adil untuk meneliti pertuduhan dan mencari keadilan,” katanya sambil menambah yang kerajaan amat menitikberatkan prinsip keadilan dan sosial pekerja dengan penguatkuasaan undang-undang perburuhan serta akta yang menjaga kebajikan pekerja.

Katanya, CBP dilihat positif dalam menyelesaikan isu itu dan kementerian akan mempertimbang untuk mengemukakan petisyen membatalkan Perintah Tahanan Pelepasan, yang perlu disertakan dengan laporan audit firma pengauditan pihak ketiga yang boleh dipercayai dan adil.

"FGV akan melantik juruaudit bebas dalam masa terdekat. Pada masa sama, pejabat Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di AS turut berhubung dengan pihak berkuasa di sana untuk menyusuli perkara ini," katanya.

Sebelum ini dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Oktober sebagai maklum balas kepada larangan AS itu, FGV Holdings Berhad mendedahkan bahawa syarikat tersebut telah berhubung dengan para pegawai kastam AS sejak 14 bulan lepas.

"Sejak Ogos 2019, FGV telah berkomunikasi dengan CBP melalui penasihat undang-undang kami dan telah mengemukakan bukti pematuhan terhadap piawaian buruh seperti yang dilakukan oleh FGV," menurut kenyataan itu.

CBP juga telah mengesahkan kepada BeritaBenar bahawa FGV Holdings ada berhubung dengan agensi itu.

“Oleh kerana dakwaan itu bersifat umum, FGV sebelum ini pernah menghubungi CBP melalui pihak ketiga untuk menangani dakwaan berkaitan buruh paksa,” menurut jurucakap agensi tersebut Nate Peeters dan satu emel balas kepada BeritaBenar.

Berikutan sekatan tersebut, FGV melalui satu kenyataan media pada 15 Oktober menyatakan telah berkomunikasi dengan CBP melalui panggilan persidangan untuk mendapatkan penjelasan mengenai hasil siasatan dan langkah-langkah yang boleh diambil oleh FGV untuk pembatalan perintah sekatan.

Sementara itu, CBP dalam maklum balas berkenaan perkara itu berkata mana-mana syarikat yang dikenakan Perintah Sekatan Pelepasan boleh mengemukakan petisyen untuk pengubahsuaian atau pembatalan perintah tersebut.  

"Perbincangan CBP dengan entiti ini adalah secara ekslusif. CBP tidak akan mengubah atau mengeluarkan Perintah Sekatan Pelepasan sehingga semua petunjuk buruh paksa yang dikenal pasti oleh agensi ditangani dengan baik dan dibuktikan bahawa penjara atau buruh paksa tidak lagi digunakan untuk menghasilkan barang yang disasarkan oleh perintah tersebut. CBP akan mengumumkan apa-apa pengubahsuaian atau pembatalan perintah di laman webnya," kata CBP kepada BeritaBenar.

Malaysia tidak serius tangani isu buruh


Adrian Pereira, Pengarah Eksekutif North-South Initiative berkata Malaysia tidak mungkin melakukan reformasi ke atas isu buruh pada ketika pemerintahan negara dalam keadaan tidak stabil.

“Kerajaan sekarang yang tidak stabil tidak akan dapat melakukan reformasi untuk menghentikan isu perdagangan manusia dan buruh paksa. Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini juga gagal mencapai keputusan tepat dalam isu reformasi buruh,

"Ini bukan mengenai isu sekatan Amerika Syarikat sahaja, minyak sawit juga menghadapi masalah dari Kesatuan Eropah…  Pentadbiran Putrajaya tidak menunjukkan keikhlasan dalam menyelesaikan masalah ini sejak bertahun lamanya,” kata Pereira kepada BeritaBenar.

Kelapa sawit adalah bahan lazim dalam produk yang digunakan oleh pengguna AS setiap hari di kedai runcit dan pasar raya dan menurut laporan Jabatan Pertanian AS, minyak sawit semakin banyak terdapat dalam makanan yang diproses, kosmetik, farmaseutikal, sabun dan biodiesel.

Malaysia dan Indonesia mengeluarkan 85 peratus daripada pengeluaran minyak sawit dunia, iaitu sebahagian daripada industri global yang bernilai AS$65 bilion, menurut laporan agensi berita antarabangsa Associated Press (AP).

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh