Follow us

Lelaki Disyaki Pemberi Maklumat Kepada Penculik Mati Ditembak Polis

Colin Forsythe
Kota Kinabalu, Sabah
2017-09-29
E-mel
Komen
Share
Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim (Kiri) semasa sidang media bersama akhbar bersama Ketua Polis Selangor Abdul Samah Mat (Kanan) di Ibu pejabat Polis DiRaja Malaysia, Bukit Aman di Kuala Lumpur, 19 Februari 2017.
Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim (Kiri) semasa sidang media bersama akhbar bersama Ketua Polis Selangor Abdul Samah Mat (Kanan) di Ibu pejabat Polis DiRaja Malaysia, Bukit Aman di Kuala Lumpur, 19 Februari 2017.
AFP

Seorang lelaki yang dipercayai pemberi maklumat kepada kumpulan penculik untuk mendapatkan wang tebusan [Kidnap for ransom-KFR] mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan pasukan polis di perairan Pulau Burung, dekat Kunak, di Sabah, awal pagi Jumaat, demikian kata Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim.

Individu berusia 50 tahun itu, Masurati Insawani atau lebih dikenali sebagai Tarab telah ditembak mati dalam kejadian tembak menembak di perairan pulau berkenaan pada jam 2.30 pagi oleh pasukan khas yang ditugaskan untuk mencari tali barut  kumpulan penculik tersebut.

Menurut Noor Rashid semasa pasukan khas itu berada berdekatan dengan pulau berkenaan, anggota polis telah terserempak dengan sebuah bot yang dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika cuba dihampiri, suspek telah memecut bot untuk melarikan diri sambil melepaskan satu das tembakan ke arah polis.

"Berikutan itu, insiden berbalas tembakan berlaku dengan pihak polis. Kemudian anggota polis mendekati bot terbabit, dan mendapati suspek telah tumbang dan disahkan mati akibat tembakan di bahagian dada,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak pada Jumaat.

Tambahnya, operasi yang menggunakan sebuah bot samaran dilancarkan hasil operasi khas “Ops Sea Hunter, ” berjaya menerima beberapa maklumat dan risikan mengenai kes rompakan laut di kawasan tersebut.

"Pemeriksaan lanjut dalam bot berkenaan juga telah menemui sepucuk pistol jenis .38 bersama tiga butir peluru dan satu kelongsong, serta sebilah pedang samurai," katanya lagi.

Noor Rashid berkata, berdasarkan pemeriksaan, Tarab dikehendaki polis untuk beberapa siasatan kes samun ke atas nelayan serta terhadap masyarakat Bajau Laut yang juga dikenali sebagai kaum Pa'lau.

Tambahnya, terdapat kaum Pa’lau yang telah membuat laporan polis, namun, masih ramai lagi yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri untuk berbuat demikian.

Tarab, katanya, telah ditahan oleh polis Malaysia sebelum ini tetapi terpaksa dibebaskan kerana kekurangan bukti.

"Saya percaya dengan kejayaan ini, polis bukan sahaja berjaya menyelesaikan beberapa kes rompakan di laut, malah memutuskan hubungan suspek dengan kumpulan KFR kerana dia didapati berperanan sebagai tali barut atau pemberi maklumat," katanya.

Mengenai Ops Sea Hunter, Noor Rashid berkata operasi itu dilancarkan oleh IPD Kunak bermula awal tahun yang bertujuan untuk mengumpul risikan berkaitan kes rompakan di kawasan perairan daerah tersebut.

Pada tengahari Jumaat, Ketua Polis Sabah Ramli Din telah mengumumkan kejayaan operasi itu melalui laman Twitternya.

“Penjenayah disyaki terlibat dengan rompakan di perairan Kunak dan Semporna ditembak mati awal pagi tadi. Rampas sepucuk pistol 3 peluru dan pedang. Sidang media nanti,” katanya.

Lihat Laman Penuh