Malaysia Minta Bantuan Filipina Dalam Kes Penculikan Warganya

Hata Wahari
2016.04.05
Kuala Lumpur
160405-my-filipinos620 Tentera Filipina, Western Mindanao Command (WESMINCOM) mengeluarkan gambar yang menunjukkan tentera negara itu menaikkan bendera kebangsaan selepas berjaya menawan kem Abu Sayyaf di bandar Indanan Jolo, Mindanao, selatan Filipina, 21 September 2009.
WESMINCOM/AFP

Malaysia meminta bantuan Filipina dalam usaha mengesan empat warganya yang dipercayai telah diculik sejak Jumaat lepas oleh kumpulan militan Abu Sayyaf di perairan pantai timur Sabah berhampiran Pulau Ligitan, kata Kementerian Luar Negara.

Menteri Luar Anifah Aman telah menghubungi Setiausaha Luar Filipina, Jose Rene Almendra, dan telah memohon bantuan negara itu dalam usaha menyelamatkan empat warga Malaysia itu.

“Setiausaha Luar Filipina telah menyakinkan Malaysia bahawa kerajaan negara itu sedang mengambil langkah sewajarnya termasuk melancarkan operasi sekatan maritim oleh pihak tentera Filipina di sekitar perairan selatan negara berkenaan bagi mengesan lokasi kumpulan bersenjata yang dipercayai terlibat dalam kes penculikan itu,’’menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Wisma Putra pada Selasa.

Dalam kejadian pada 6.15 petang Jumaat lepas, empat anak kapal tunda warga Malaysia diculik sekumpulan lapan lelaki bersenjata ketika mereka dalam perjalanan pulang ke tanah air dari Manila.

Empat lelaki yang berasal dari Sibu, Sarawak itu ialah Wong Teck Kang, 31, Wong Hung Sing, 34, Wong Teck Chii, 29, dan Johny Lau Jung Hien, 21.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Abdul Rashid Harun memberitahu BeritaBenar yang keluarga mangsa belum menerima atau mendapat panggilan meminta tuntutan tebusan daripada kumpulan yang menculik.

Bagaimanapun katanya, pihak berkuasa Malaysia dan Filipina bekerjasama menyiasat untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai nasib keempat-empat lelaki dari Sarawak itu.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kasim berkata, rakyat  Malaysia menjadi sasaran kumpulan penculik dari selatan Filipina untuk mendapatkan bayaran pampasan.

Sasar kapal dagang


Katanya, kumpulan berkenaan menyasarkan kapal dagang atau kapal yang menjalankan perniagaan menukar barang diantara Sabah, Sarawak dan Filipina.

"Tempat sasaran mereka sekarang bertukar ke tempat yang mereka rasa mungkin jauh daripada kawasan yang pihak berkuasa kita beri perhatian," katanya semasa menggulung perbahasan usul tergempar mengenai penculikan di Sabah pada persidangan Dewan Rakyat seperti dilaporkan agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada Selasa.

Shahidan memberitahu penculikan berlaku diluar kawasan liputan radar yang terletak di Pulau Danawan yang mampu mengawal kawasan seluas radius 37 kilometer.

Katanya, pihak berkuasa hanya dimaklumkan mengenai kejadian penculikan itu dua jam selepas berlaku kejadian. Aset udara dari Tawau dan Semporna telah dihantar untuk mencari dan menyelamat tetapi gagal.

Sehubungan dengan itu katanya, Majlis Keselamatan Negeri Sabah telah bersetuju untuk berhubung dengan kerajaan Filipina bagi menubuhkan jawatankuasa persempadanan bagi membincangkan mengenai kawalan keselamatan di perairan timur Sabah.

Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika mengulas mengenai penculikan empat rakyat Malaysia semasa melakukan lawatan kerja ke Washington, Amerika Syarikat, mencadangkan supaya perdagangan sistem barter antara Sabah dan selatan Filipina sejak sekian lamanya dikaji semula dengan segera berikutan kes penculikan terbaru itu.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri seperti dilaporkan Bernama berkata, laluan perdagangan itu mempunyai risiko yang amat tinggi kepada pedagang Malaysia dan penculik berusaha mendapatkan tebusan untuk mencari wang sebagai sumber untuk mereka bergerak sebagai pengganas dan keadaan ini amat membimbangkan.

Selain itu Ahmad Zahid berkata, sistem barter itu juga dilihat hanya menguntungkan satu pihak sahaja dan tidak menguntungkan Malaysia dan turut melibatkan penyeludupan barang-barang subsidi dan menyebabkan ketirisan wang negara.

Tiada maklumat dari penculik


Sementara itu akhbar The Star melaporkan bahawa empat warga Malaysia itu telah diculik oleh kumpulan Abu Sayyaf dan kini ditahan di kepuluan Jolo, selatan Filipina.

Laporan yang memetik sumber-sumber perisikan Filipina memberitahu bahawa kumpulan Abu Sayyaf itu yang diketuai oleh ‘Apo Mike’ dan mangsa telah melalui kawasan Idanan dan telah tiba Kepuluan Jolo pada lewat malam Ahad lepas.

“Laporan itu mengatakan bahawa kesemua mangsa selamat dan tidak dicederakan, dan kini berada dengan 10 warga Indonesia yang di culik pada minggu lepas,’’ kata laporan tersebut.

Penculikan di laut itu dipercayai berlaku pada Mac 26.  Menurut tentera Filipina, maklumat awal menunjukkan  10 warga Indonesia itu dibawa  oleh kumpulan Abu Sayyaf ke  Sulu, sebuah pulau di selatan Filipina di mana kumpulan militant itu beroperasi, lapor AFP.

Pencerobohan di Laut China Selatan

Sementara itu, Duta China ke Kuala Lumpur Dr Huang Huikang dalam satu kenyataan menafikan bot-bot nelayan China memasuki perairan Malaysia sambil berkata bot-bot berkenaan berada jauh dari Qiontai Jiao atau lebih dikenali sebagai Luconia Shoals.

“Memang benar terdapat tuntutan bertindih antara China dan Malaysia ke atas pulau dan terumbu tertentu di Laut China Selatan, yang merupakan isu sejarah, dan kami percaya kedua-dua negara boleh menangani pelbagai isu dengan baik, aman dan tenang,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Huang juga mendakwa nelayan China telah menangkap ikan di kawasan itu sejak zaman Laksaman Cheng Ho, 600 tahun lalu.

Malaysia memanggil Huang bagi mendapatkan penjelasan serta menyatakan kekhuatiran Malaysia terhadap kehadiran 100 bot nelayan China bersama kapal pengawal pantai republik itu di perairan negara di Laut China Selatan.

Pada Jumaat lepas, Huang menemui Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Malaysia Muhammad Shahrul Ikram Yaakob untuk berbincang isu berbangkit itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim pada Khamis lepas, berkata, kerajaan telah mengerahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) supaya menjalankan kerja-kerja pemantauan selepas mendapati bot dan kapal dari China dengan jumlah yang banyak menceroboh perairan negara dengan Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein menolak laporan pencerobohan di kawasan perairan negara itu seperti yang dilaporkan media tempatan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.