Malaysia Hukum 14 Rakyat Filipina, 3 Warga Tempatan Atas Pencerobohan Sabah

Dennis Wong
2016.07.26
Kuching, Sarawak
160726-my-filipinos620 Jamalul Kiram III, yang mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Sulu, bercakap kepada media di Manila, Filipina mengenai pertempuran yang melibatkan penyokongnya di Sabah, Malaysia, 22 Februari 2013.
AFP

Sebuah mahkamah di Sabah pada Selasa telah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap sembilan rakyat Filipina yang memainkan peranan utama dalam serangan maut oleh kumpulan bersenjata dari kawasan selatan negara itu tiga tahun lepas, menurut laporan.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu turut menjatuhkan hukuman penjara antara 10 dan 15 tahun terhadap lima lagi warga Filipina serta tiga rakyat tempatan kerana didapati bersalah atas tuduhan berkaitan keganasan serta peranan kecil mereka dalam kumpulan yang dikenali sebagai ‘Royal Army of Sulu’ dalam serangan yang berlaku di beberapa lokasi di sepanjang pantai Sabah.

Satu sesi mahkamah tinggi khas telah bersidang di dalam penjara negeri di Kepayan,  yang telah mengeluarkan sabitan terhadap 17 tertuduh sehari lebih awal, atas peranan mereka dalam "melancarkan perang" terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Anggota kumpulan Royal Army of Sulu, memperkenalkan diri mereka sebagai pengikut kepada Jamalul Kiram III, yang mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Sulu, semasa melancarkan serangan keatas kawasan Malaysia Timur, dari Februari hingga Mac 2013 itu.

Datu Amirbahar Hushin Kiram, anak saudara kepada Almarhum Sultan Kiram, adalah antara sembilan rakyat Filipina yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, dan terselamat daripada hukuman mati pada hari akhir perbicaraan, yang bermula pada Januari 2014.

Keputusan mahkamah itu telah menghantar mesej yang tegas bahawa sebarang pencerobohan ke atas wilayah berdaulat Malaysia akan menerima hukuman yang berat, menurut seorang pakar keselamatan yang berpangkalan di Sabah.

"Adalah hak mutlak kami untuk melindungi kedaulatan negara. Tindakan dan keputusan yang diambil [oleh mahkamah] adalah untuk melindungi dan menjaga kesejahteraan negara dan rakyatnya," kata Zaini Othman, Pengarah Pusat Strategik dan Penyelidikan Keselamatan di Universiti Malaysia Sabah, kepada BeritaBenar.

Pada 2013, pasukan keselamatan Malaysia telah mematahkan cubaan pencerobohan oleh kira-kira 200 pejuang yang menaiki bot dari Sulu – sebuah wilayah di selatan Filipina yang berjiran dengan Malaysia.

Tujuh puluh dua orang termasuk 56 lelaki bersenjata, 10 anggota pasukan keselamatan Malaysia dan enam orang awam terbunuh dalam serangan selama beberapa minggu itu.

Kumpulan dari Filipina itu telah menuntut untuk diiktiraf sebagai wakil Kesultanan Sulu yang pernah memerintah Sabah. Pada masa lalu kesultanan itu tersebar di beberapa kepulauan di selatan Filipina dan sebahagian Borneo termasuk Sabah, sebelum ia menjadi sebuah negeri di bawah naungan British pada abad ke-19. Sabah menyertai Malaysia pada 1963, tetapi negeri itu masih membayar sewa bersyarat kepada Kesultanan Sulu setiap tahun.

Dua bulan lepas,  kerajaan Malaysia mengumumkan penangkapan 22 individu termasuk 12 rakyat asing yang disyaki mempunyai kaitan dengan pencerobohan itu.  Kesemua 22 suspek itu ditahan tanpa perbicaraan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan Malaysia (Langkah-Langkah Khas), menurut laporan.

Terlepas hukuman mati


Dalam menjatuhkan hukuman pada Selasa terhadap sembilan rakyat Filipina yang berkemungkinan boleh dikenakan hukuman mati, Hakim Stephen Chung Hian Guan berkata, tiada sebarang bukti bahawa kesemua tertuduh [defendan] terlibat secara langsung dalam pertempuran di Sabah ataupun bukti bahawa mereka telah membunuh angota pasukan keselamatan Malaysia.

Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) telah memetik hakim semasa berhujah sebagai berkata, kedua-dua dalang yang disyaki dalam serangan itu, iaitu Datu Agbimuddin Kiram dan "Jeneral Musa," belum dapat ditangkap berkaitan kes berkenaan.

Kesemua sembilan warga Filipina itu turut dihukum secara berasingan antara 13 dan 18 tahun atas tuduhan berkaitan keganasan, dan akan menjalani kedua-dua hukuman berkenaan secara serentak, menurut laporan media tempatan.

Pada Isnin, mahkamah membebaskan seorang warga Filipina, Basil Samiul, 35, atas tuduhan menyokong kumpulan pengganas berkenaan. Seorang lagi tertuduh yang juga seorang warga Filipina, Hadil Suhaili, 68, telah meninggal dunia akibat penyakit semasa dalam tahanan di Malaysia pada 23 April lalu, menurut laporan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.