Malaysia anjur latihan ketenteraan bersama empat negara di Laut China Selatan

'Eksesais Bersama Lima' merupakan latihan ketenteraan tahunan melibatkan pasukan keselamatan gabungan di bawah Peraturan Pertahanan Lima Negara.
Iman Muttaqin Yusof
2023.10.03
Kuala Lumpur
Malaysia anjur latihan ketenteraan bersama empat negara di Laut China Selatan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Mohammad Ab. Rahman bersama Panglima Angkatan Tentera Singapura, Australia, New Zealand serta Timbalan Ketua Pegawai Turus Am United Kingdom semasa sidang media di Kuala Lumpur, 3 Okt, 2023.
[Iman Muttaqin Yusof/BenarNews]

KEMASKINI pada 9 malam waktu tempatan ETS - 2023-10-03

Malaysia menjadi tuan rumah bagi satu latihan ketenteraan di Laut Cina Selatan bersama-sama angkatan tentera dari Australia, New Zealand, Singapura dan United Kingdom bulan ini bagi mempertingkatkan tahap kesiagaan keselamatan serantau, kata Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Mohammad Ab Rahman pada Selasa.

Latihan ketenteraan itu, yang melibatkan negara-negara gabungan di bawah Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) melibatkan strategi peperangan konvensional dan bukan konvensional, bermula pada Isnin dan berterusan selama kira-kira tiga minggu sehingga 20 Okt depan.

Ia merupakan sebahagian daripada beberapa latihan ketenteraan lain yang dianjurkan Malaysia pada tahun ini selepas lama tertangguh akibat pandemik COVID-19.

"Latihan ini melibatkan bilangan angkatan yang besar dengan seramai 2,500 anggota tentera, 44 pesawat dan tujuh kapal yang akan memperlihatkan pendekatan pelbagai bentuk terhadap kesiapsiagaan ketenteraan,” kata Mohammad pada sidang media selepas Persidangan Panglima Angkatan Tentera (FDCC) FDPA ke-22 yang diadakan di Kuala Lumpur.

"Dengan mempertingkatkan kapasiti operasi konvensional serta bukan konvensional, ia akan menyediakan negara-negara ahli FPDA untuk bertindak balas dengan daya tahan yang lebih terhadap cabaran keselamatan yang disebabkan dinamik geopolitik dan perkembangan teknologi yang pesat," kata beliau.

Persidangan itu dianjurkan secara giliran oleh Malaysia dan Singapura serta menjadi platform bagi semua panglima angkatan tentera negara-negara FPDA - yang merupakan perjanjian pertahanan tertua di Asia - untuk berbincang mengenai isu-isu keselamatan serantau.

Latihan bersama itu, yang dikenali sebagai Ex Bersama Lima, dianjurkan sejak 2004 dan melibatkan latihan peperangan di darat, laut dan udara. Ia dilaksanakan di dalam kawasan Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia, menurut kenyataan Angkatan Tentera Malaysia.

Malaysia mengerahkan seramai 1,000 anggota tenteranya manakala Singapura (400), Australia (410), New Zealand (330) dan UK (140) untuk latihan tahun ini, yang diadakan ketika ketegangan berlaku di Laut Cina Selatan. Ia diadakan di kawasan perairan Kuantan di Semenanjung Malaysia.

"FPDA kekal relevan dengan memperluaskan kebolehannya dalam keselamatan maritim, antikeganasan, bantuan kemanusiaan serta misi bantuan bencana, dan juga di dalam bidang siber serta maklumat," menurut kenyataan bersama oleh panglima tentera lima negara tersebut.

Pada September, kesemua 10 negara anggota ASEAN termasuk Malaysia menganjurkan latihan ketenteraan bersama di Indonesia di mana penganalisis memujinya dengan berkata bahawa ia merupakan satu petanda kepada "peningkatan kerjasama dan kebersamaan dalam keselamatan maritim", ketika Beijing terus berusaha untuk mengukuhkan tuntutannya terhadap Laut China Selatan.

Sejak beberapa tahun ini, China menggunakan kapal penguatkuasa maritimnya untuk mengukuhkan tuntutannya terhadap kawasan perairan itu, yang menjadi pertikaian dan turut dituntut oleh Vietnam, Filipina, Malaysia, Brunei dan Taiwan.

Ogos lalu, Beijing telah mengeluarkan satu peta baharu yang menunjukkan Taiwan dan keseluruhan lautan di Laut China Selatan adalah milik China. Negara-negara ASEAN serta Taiwan bagaimanapun menolak peta tersebut.

Di Malaysia, Luconia Shoal atau dikenali sebagai Beting Patinggi Ali – iaitu gugusan batu karang di kawasan selatan perairan Sarawak di Laut China Selatan, turut dituntut oleh China di bawah peta Sembilan Garisan Putus (Nine Dash Line) yang dikeluarkannya. Pakar keselamatan maritim sebelum ini turut mengesahkan bahawa terdapat kehadiran kapal penguatkuasaan maritim China di kawasan tersebut.

Bulan lalu, Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berkata penerimaan Beijing terhadap reaksi penolakan ke atas peta baharu China adalah "cukup menyakinkan" dengan China menyatakan bahawa tidak perlu ada kerisauan tentang kemungkinan ketegangan di Laut China Selatan termasuk di kawasan-kawasan tuntutan.

"Respon dari Perdana Menteri Li Qiang agak menyakinkan. (Beliau) berkata bahawa ya, kami (China) membuat tuntutan dan ia adalah bertentangan dengan negara-negara lain tetapi kami tidak agresif, kami akan terus berbincang dan mencari resolusi bersama kepada masalah itu,” kata Anwar dalam satu sesi temu bual bersama Bloomberg TV.

Tingkatkan kesiapsiagaan

Shariman Lockman yang merupakan pengarah projek khas di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi memberitahu BenarNews bahawa latihan FPDA di Laut China Selatan bukanlah ditujukan kepada pertikaian di kawasan itu.

Beliau berkata latihan ketenteraan itu secara amnya adalah untuk mempertingkatkan kesiapsiagaan anggota ketenteraan itu secara bekerjasama.

"Ia bukan sesuatu yang bijak untuk menyatakan tiada sesiapapun memikirkan tentang isu melibatkan Laut China Selatan ketika mengadakan latihan-latihan ini tetapi perkara itu bukanlah satu-satunya sebab kenapa latihan Eksesais Bersama Lima diadakan,” kata Shahriman.

Menurutnya pelbagai faktor turut mempengaruhi kenapa sesuatu lokasi itu dipilih dalam latihan termasuklah meminimakan gangguan terhadap laluan penerbangan awam.

"Kemudian, adalah penting untuk turut mengambil maklum kedudukan negara ahli FPDA berkaitan sempadan maritim Malaysia, Singapura dan negara jiran.

"Pendirian mereka untuk melakukan latihan ketenteraan di dalam kawasan Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia juga kritikal dan tiada siapa boleh menidakkan potensi cabaran untuk melakukan latihan di dalam kawasan yang turut dituntut oleh China di Laut China Selatan."

Chong Ja Ian, penganalisis dari National Universiti di Singapura, pula berkata latihan FPDA yang telah dianjurkan berdekad lamanya adalah untuk membina keyakinan diri, kerjasama dan kelancaran bagi kuasa-kuasa yang terlibat.

Sama ada latihan itu boleh membantu Angkatan Tentera Malaysia untuk mempersiapkan aset bagi menghadapi situasi di kawasan yang dipertikaikan seperti Beting Patinggi Ali adalah bergantung kepada sifat latihan yang dilakukan, katanya.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.