Follow us

Kajian Kebebasan Internet Global Malaysia Bertambah Baik, Naik 2 Mata

Staf BeritaBenar
Washington
2019-11-12
E-mel
Komen
Share
Seorang wanita Malaysia sedang melihat aplikasi rangkaian sosial media seperti Facebook, Instagram, Snapchat, Whatsapp, Twitter, Messenger dan Linkedin dalam telefon pintar beliau di Kuala Lumpur, 22 Mac, 2018.
Seorang wanita Malaysia sedang melihat aplikasi rangkaian sosial media seperti Facebook, Instagram, Snapchat, Whatsapp, Twitter, Messenger dan Linkedin dalam telefon pintar beliau di Kuala Lumpur, 22 Mac, 2018.
[AFP]

Kedudukan Malaysia dalam kaji selidik kebebasan Internet global bertambah baik dan naik dua kedudukan kepada 57 mata, berbanding tahun lepas, tetapi kekal kepada "separa bebas," kata Freedom House, sebuah kumpulan penyelidikan demokrasi dan hak asasi manusia berpangkalan di Washington dalam satu kajiannya.

Freedom House dalam laporan kajian bertajuk ‘Freedom on the Net 2019’ berkata, kedudukan Malaysia bertambah baik kerana tiada lagi sekatan terhadap laman web tempatan dan antarabangsa yang kritikal terhadap kerajaan dahulu termasuk penurunan maklumat serta pengaruh pengulas berbayar di alam maya yang dikenali sebagai “cybertroopers.”

‘Kebebasan internet bertambah baik di Malaysia, disebabkan tiada lagi sekatan terhadap laman web tempatan dan antarabangsa, dan juga berlaku penurunan pengaruh ‘cybertrooper’ yang dibayar untuk membuat komen di alam maya,

“Berikutan perubahan kerajaan pada Mei 2018, pertuduhan jenayah terhadap aktivis masyarakat sivil dan ahli politik bagi komen mereka dalam talian juga menurun,” kata kajian itu.

Malaysia adalah satu daripada 16 buah negara yang menunjukkan peningkatan dengan mendapat 57 daripada 100 mata, dengan 100 mewakili paling bebas dan 0 paling tidak bebas. Tahun lalu Malaysia mendapat 55 mata.

Kajian itu dibuat bermula 1 Jun 2018 sehingga 31 Mei lalu turut menyenaraikan beberapa faktor yang membawa kepada perkembangan penting yang berlaku terhadap kebebasan internet di negara berkenaan.

Kos untuk mengakses internet di Malaysia telah menurun dengan ketara, selepas harga jalur lebar menurun antara 30 dan 65 peratus adalah antara satu sebabnya.

“Kerajaan baru telah menguatkuasakan Standard Mandatori pada Harga Akses (MSAP) bagi harga jalur lebar, sekaligus dengan ketaranya telah mengurangkan kos akses kepada pengguna.

“Pasaran yang agak terbuka itu telah membolehkan persaingan di kalangan penyedia, menghasilkan harga yang berpatutan, walaupun kualiti perkhidmatan tidak selalu tinggi,” demikian menurut kajian itu lagi

“Walaubagaimanapun berlaku peningkatan gangguan dalam talian, terutamanya terhadap pengguna LGBT dan laman web berita bebas di Malaysia.”

Selain itu pendakwaan jenayah dan hukuman penjara 10 tahun kepada pengguna Facebook yang memuat naik komen dan ekspresi apa yang dikatakan menghina Islam dan Nabi Muhammad juga telah menimbulkan ancaman kepada kebebasan internet di negara itu, menurut kajian tersebut.

Menjelang Januari 2019, statistik kerajaan menunjukkan bahawa 87.4 peratus penduduk Malaysia menggunakan internet, berbanding 76.9 peratus pada 2016, dengan Laporan Indeks Inkubator Inklusif Unit Ekonomi Intelek 2019 menyenaraikan Malaysia pada tangga 45 dari 100 negara dari segi ketersediaan, ditentukan oleh kualiti dan keluasan infrastruktur yang tersedia.

"Banyak kerajaan mendapati bahawa di media sosial, propaganda berfungsi lebih baik daripada penapisan," kata presiden Freedom House, Mike Abramowitz dalam kenyataannya semasa  mengumumkan kajian tersebut.

"Pengarang dan populis di seluruh dunia mengeksploitasi kedua-dua sifat manusia dan algoritma komputer untuk menakluki kotak undi, yang mengamalkan peraturan yang dirancang untuk memastikan pilihan raya yang bebas dan adil."

Kajian itu turut mendapati kebebasan internet merosot di seluruh dunia, dengan pemerintah semakin menggunakan media sosial untuk mengawal warganya dan menyebarkan maklumat di dalam dan luar negara.

Iceland, Estonia, Kanada, Jerman, Australia telah disenaraikan sebagai negara bebas internet manakala China adalah “negara paling buruk bagi kebebasan internet di dunia” diikuti dengan Iran, Syria, Cuba and Vietnam.

Lihat Laman Penuh