Lapan Kanak-kanak Malaysia Dilatih Sebagai Pejuang IS, Polis

Fahirul N. Ramli

2016-01-12
Share
160112-MY-CHILDREN620 Warga Iraq berkumpul di tapak serangan bom di timur Baghdad. 12 Januari 2016.
AFP

Lapan kanak-kanak Malaysia dipercayai sedang menjalani latihan sebagai kadet di beberapa kem milik kumpulan ekstremis Negara Islam (IS) di Syria dan Iraq, kata Ketua Cawangan Khas Polis Bukit Aman, Mohamad Fuzi Mohd Harun.

"Mereka dibawa ke negara-negara yang dilanda perang itu oleh ibu bapa yang menyertai IS," katanya seperti dilapor agensi Berita Malaysia, Bernama pada Selasa.

Fuzi memberitahu satu sidang berita bahawa 47 rakyat Malaysia terlibat dengan IS di negara asal kumpulan itu, di mana ia mengawal sejumlah besar wilayah di Syria dan Iraq, yang diisytiharkan sebagai khalifah oleh kumpulan itu.

"Daripada jumlah itu, seramai 12 orang adalah wanita manakala selebihnya adalah lelaki dan lapan kanak-kanak," Bernama memetik Fuzi sebagai berkata.

Pada Selasa, Ketua Cawangan Khas itu yang jabatannya merangkumi bahagian menangani pengganas, memberitahu BeritaBenar bahawa beliau "tidak boleh mendedahkan bagaimana atau bila maklumat itu diperolehi."

Maklumat itu dikeluarkan pihak polis 10 bulan setelah sekumpulan kanak-kanak lelaki muda dari Asia Tenggara, termasuk beberapa yang kelihatan berusia di bawah 10 tahun, muncul dalam video propaganda IS.

Dalam video itu, kanak-kanak dipaparkan sedang mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan dan kelas indoktrinasi di sebuah kawasan yang dirahsiakan, lapor Berita Harian Singapura, yang mendedahkan berita itu pada Mac lalu.

Maklumat 47 orang yang disyaki anggota IS itu adalah "tidak lengkap sepenuhnya," tetapi angka itu diyakini tepat kerana pihak polis telah mengumpul maklumat itu melalui pemeriksaan terperinci dengan kerjasama pihak risikan serta mendapatkan bantuan daripada agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang di luar negara, Fuzi memberitahu BeritaBenar.

Bilangan rakyat Malaysia keseluruhannya yang telah menyertai IS di Timur Tengah menurun daripada 55 orang seperti laporan sebelum ini, kerana mereka yang pulang ke Malaysia telah ditangkap atau didakwa di mahkamah, kata Fuzi seperti dilaporkan media tempatan.

Menurut laporan akhbar harian The Sun, Fuzi berkata, pada tahun lepas, polis Malaysia menahan seramai 82 orang kerana disyaki terlibat dengan IS, termasuk sembilan warganegara asing.

Daripada jumlah itu, 17 rakyat Malaysia telah terbunuh, termasuk enam pengebom bunuh diri, dalam perjuangan bersama IS di Iraq atau Iraq, menurut beliau seperti dilaporkan oleh Star.

Bagaimanapun, angka yang dinyatakan oleh Fuzi adalah berbeza dengan apa yang dinyatakan oleh pegawai-pegawai Malaysia pada tahun lepas.

Pada September lalu, Ayob Khan Mydin Pitchay yang menerajui bahagian menangani pengganas Cawangan Khas (Bukit Aman), memberitahu BeritaBenar bahawa 121 rakyat Malaysia termasuk 23 wanita telah menyertai IS di Timur Tengah.

Pada Oktober pula, Perdana Menteri Najib Razak memberitahu mesyuarat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York bahawa pihak berkuasa di negaranya telah menahan lebih daripada 100 orang yang disyaki mempunyai hubungan dengan IS.

Sementara itu, Ketua Polis Malaysia Khalid Abu Bakar memberitahu pemberita bahawa pihak berkuasa sedang cuba untuk mengesahkan bahawa dua pengebom bunuh diri dari Malaysia, telah terbunuh semasa operasi IS di Raqqa, Syria pada 29 Disember dan di Tikrit, Iraq, pada 3 Januari.

"Adalah dipercayai bahawa sekurang-kurangnya dua daripada mereka adalah ahli IS Malaysia, tetapi kita akan menunggu sehingga laporan rasmi dikeluarkan," media tempatan memetik Khalid sebagai berkata.

"Identiti Malaysia telah dieksploitasi sebelum ini, jadi kita perlu  sahkan dahulu," kata beliau.

Pada Isnin, Perdana Menteri Najib menulis catatan dalam laman Facebook beliau dengan mengutuk laporan yang mendakwa bahawa dua rakyat Malaysia telah terlibat dalam serangan di Syria dan Iraq, yang mengorbankan lebih daripada 30 orang.

Beliau kelihatan memberi maklum balas kepada berita yang disiarkan pada Isnin oleh akhbar New Straits Times (NST) bahawa dua rakyat negara itu, Mohd Amirul Ahmad Rahim, 26, dan Mohamad Syazwan Mohd Salim, 31, terbunuh semasa mengambil bahagian dalam misi IS di Raqqa dan Tikrit.

NST  memetik sumber yang tidak dinamakan dan mengandungi maklumat yang bercanggah tentang bagaimana kedua-dua lelaki muda itu mati.

Remaja ditahan

Dalam berita lain yang berkaitan dengan IS, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang didakwa telah dipengaruhi oleh doktrin IS yang disebarkan menerusi laman media sosial, telah ditahan kerana mengancam seorang pekerja wanita di sebuah pasar raya di  Kedah pada malam Isnin, kata polis.

"Pelajar Tingkatan Empat dari Sungai Layar itu mendaftar di sebuah sekolah menengah agama Islam swasta di Sungai Petani ... pergi ke tingkat bawah Billion Supermarket," kata Ketua Polis Negeri Zamri Yahya kepada BeritaBenar.

"Berbekalkan pisau dan pistol palsu, dia mendepani kakitangan pasar raya berusia 27 tahun itu  dan memintan beliau supaya menghubungi polis," kata Zamri.

Antara barangan yang dirampas daripada suspek remaja itu ialah kain putih penutup muka putih tertera logo IS dan dokumen yang berkaitan dengan kumpulan pengganas global itu.

Bukit Aman telah mengambil alih kes itu dan suspek sedang disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan Malaysia (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), kata beliau





Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.