Follow us

Lima Ditahan Terlibat Dalam Keganasan – Ketua Polis Negara

Zam Yusa & Ali Nufael
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-10-31
E-mel
Komen
Share
Kawalan oleh pejuang Syria di sebuah pusat pemeriksaan di bandar barat laut Idlib, Syria, 13 Oktober 2018.
Kawalan oleh pejuang Syria di sebuah pusat pemeriksaan di bandar barat laut Idlib, Syria, 13 Oktober 2018.
AP

Polis Malaysia telah menahan empat lelaki dan seorang wanita termasuk tiga warga negara asing yang dipercayai mempunyai kaitan dengan keganasan dengan dua daripada mereka merupakan ahli kumpulan Al-Qaeda dan Lashkar-e-Taiba, demikian menurut Ketua Polis Negara pada Rabu.

Mohamad Fuzi Harun berkata kesemua mereka ditahan dalam operasi yang dijalankan oleh Bahagian Anti-Keganasan Cawangan Khas, Polis DiRaja Malaysia [PDRM] di Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Sabah dari 13 hingga 26 Oktober lalu.

“Seorang lelaki warga Mesir berusia 50 tahun yang bekerja sebagai pengurus eksekutif di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur telah ditahan di Selangor pada 13 Okt lepas.

“Beliau merupakan bekas anggota kumpulan pengganas Al-Qaeda, pernah berada di Afganistan dari tahun 1988 sehingga 1993 dan pernah bertemu dengan Osama Bin Ladin, pemimpin kumpulan berkenaan. Suspek mengaku menggunakan dokumen perjalanan palsu untuk menyelusup masuk ke Kanada, Azerbaijan dan Pakistan,” kata Fuzi dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Beliau berkata, suspek juga pernah ditahan dan dipenjara di Kanada dan Mesir atas kesalahan menggunakan dokumen perjalanan palsu.

Seorang lelaki rakyat Pakistan yang pernah menjalani latihan ketenteraan di kem kumpulan pengganas Lashkar e-Taiba [LeT] telah ditahan pada 25 Oktober lepas di Sitiawan, Perak.

“Lelaki berusia 31 tahun yang bekerja sebagai buruh itu terlibat dalam kumpulan pengganas yang berpangkalan di sebuah negara di Asia Selatan dan menyelusup masuk ke Malaysia sejak Ogos 2016,” tambah Fuzi.

Lima hari sebelum itu, PDRM dari Bahagian Anti-Keganasan itu telah menahan seorang lagi warga asing dari sebuah negara di Timur Tengah, berusia 31 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang.

Ketua Polis Negara itu berkata, lelaki tersebut yang tidak bekerja terlibat dalam kes ugutan untuk membunuh terhadap seorang diplomat asing di Kuala Lumpur.

Salur dana

Dua lagi suspek yang ditahan merupakan rakyat tempatan yang menyalurkan dana kepada rakyat Malaysia, Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, seorang pengganas kumpulan militan Negara Islam [IS], yang juga perekrut nombor satu anggota baru kumpulan tersebut di Syria. Wanndy terbunuh dalam satu serangan pesawat ‘drone’ di negara tersebut pada April tahun lepas.

“Wanita berusia 32 tahun yang bekerja di sebuah syarikat swasta juga menyalurkan dana kepada Muhammad Wanndy di antara 2014 hingga 2017 bagi membiayai aktiviti keganasan. Beliau ditahan di Gombak, Kuala Lumpur pada 25 Okt lepas,” tambah Fuzi lagi.

Suspek kelima juga didakwa mempunyai kaitan dengan Wanndy, yang dipercayai turut bertanggungjawab ke atas serangan bom tangan di sebuah kelab malam di Puchong, pinggir Kuala Lumpur pada tahun 2016 yang juga adalah satu-satunya serangan yang berkaitan dengan militan IS di Malaysia.

Pengurus perkhidmatan berusia 40 tahun di sebuah syarikat telekomunikasi di Kota Kinabalu, Sabah itu ditahan pada 26 Okt lalu.

"Beliau didakwa terlibat dalam pembiayaan keganasan dengan menghantar wang kepada Wanndy serta Muhammad Fudhail Omar, seorang pengganas rakyat Malaysia di Syria, dan juga kepada kumpulan Abu Sayyaf di selatan Filipina antara tahun 2015 dan 2018," kata Fuzi.

Fudhail dikatakan menjadi salah seorang daripada empat calon yang menggantikan Wanddy sebagai pemimpin IS Malaysia di Syria selepas kematiannya dalam serangan drone di Raqqa, Syria itu.

Malaysia pilihan pengganas

Seorang pakar deradikalisasi berkata kehadiran bekas pengganas al-Qaeda di Malaysia selain daripada negara asal dan negara yang mereka pernah berjuang adalah sesuatu yang dijangkakan.

"Ia adalah kesan sisa fenomena militan yang aktif di tempat lain, seperti Afghanistan," kata Ahmad el-Muhammady, seorang pakar mengenai menangani keganasan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kepada BeritaBenar.

"Selepas aktiviti awal mereka, militan akan mahu berehat dan mencari tempat perlindungan yang selamat, dengan Malaysia, menjadi negara terbuka dengan rakyatnya yang mesra, adalah sangat sesuai pada pandangan mereka."

"Langkah-langkah keselamatan yang ketat di sempadan dan kerjasama perisikan yang lebih kuat dengan negara-negara di rantau ini dan lain-lain seperti Timur Tengah dan Eropah juga diperlukan untuk mencegah kemasukan militan asing."

Seorang penganalisis berkata Malaysia kekal menjadi destinasi bagi pengganas walaupun penguatkuasaan yang kukuh dan rekod prestasi yang mengkagumkan, antara lain kerana prosedur imigresen yang agak santai, selain kemasukan “tanpa visa” bagi kebanyakan warga asing.

Pakar keganasan Asia Selatan berkata kes yang melibatkan warga Pakistan boleh dikatakan yang pertama membabitkan LeT di Malaysia.

"Saya percaya ia merupakan kes pertama di Malaysia," kata Faran Jeffery, timbalan pengarah Islamic Theology of Counter Terrorism, sebuah kumpulan pemikir yang berpangkalan di United Kingdom kepada BeritaBenar.

LeT, adalah sebuah organisasi militan Islam yang terbesar dan paling aktif di Asia Selatan, dan beroperasi terutamanya di Pakistan.

India telah menuduh LeT melancarkan serangan terutamanya di Mumbai pada 2008, yang mengorbankan seramai 166 nyawa, sembilan daripada mereka merupakan penyerang.

Kerajaan Amerika Syarikat, Australia dan India telah menetapkan LeT sebagai organisasi pengganas.

Empat daripada suspek ditahan kerana disyaki terlibat dalam keganasan di bawah Bab VIA Kanun Keseksaan dan akan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas) 2012 manakala seorang lagi di bawah Akta Imigresen 1959/1963.

Al- Qaeda di Malaysia


Kehadiran anggota kumpulan al-Qaeda di Malaysia bukan sesuatu yang baru kerana pada tahun 2000, beberapa anggota al-Qaeda peringkat tinggi mengadakan pertemuan di Kuala Lumpur dengan dipercayai cuba merancang untuk mengebom kapal tentera USS Cole di Yaman dan terlibat dalam serangan 11 September 2001 (9/11) di Amerika Syarikat.

Beberapa anggota juga dipercayai memainkan peranan perampas pesawat yang diterbangkan ke bangunan Pentagon pada hari tersebut.

Pada tahun 2000 Yazid Sufaat, seorang rakyat Malaysia yang juga graduan Bio-Chemistry, California State University, Amerika Syarikat telah menganjurkan sidang kemuncak Al-Qaeda 2000 di Kuala Lumpur.

Beliau ditahan oleh pihak berkuasa di Bukit Kayu Hitam, Kedah pada 9 Disember 2001 ketika mahu memasuki ke Malaysia dari Bangkok, Thailand selepas menyertai Al Qaeda di Afghanistan.

Yazid, bekas kapten tentera, kini sedang merengkuk dalam penjara selepas tiga kali ditahan pihak berkuasa Malaysia atas kesalahan melibatkan keganasan sejak 16 tahun lepas.

Lihat Laman Penuh