Ketua Polis Baru Malaysia Mulakan Tugas

Ali Nufael
2019.05.07
Kuala Lumpur, Malaysia
190507-MY-Police-Fuzi-1000.jpg Mohamad Fuzi Harun (kiri) bersalaman dengan Abdul Hamid Bador (kanan) yang menggantikannya sebagai Ketua Polis Negara sambil disaksikan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin pada majlis serah tugas jawatan tertinggi polis Malaysia itu di Kuala Lumpur, 3 Mei 2019.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Mohamad Fuzi Harun bersara sebagai ketua polis Malaysia minggu lalu selepas dikritik kerana gagal mengambil tindakan segera terhadap skandal rasuah yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Najib Razak, manakala seorang pegawai kanan polis yang pernah dipinggirkan kerana lantang bersuara mengenai kemelut itu menggantikannya bagi jawatan tersebut.

Abdul Hamid Bador, 61, yang merupakan anak lelaki seorang konstabel, kini menyandang jawatan ketua Polis DiRaja Malaysia, sebuah pasukan peringkat persekutuan yang mempunyai 130,000 pegawai dan anggota. Beliau dilantik menyandang jawatan tertinggi polis itu secara kontrak khas selama dua tahun selepas melepasi usia persaraan wajib iaitu 60 tahun.

"Saya berasa amat berbesar hati kerana diberi kepercayaan untuk menerajui pasukan polis," kata Abdul Hamid selepas Mohamad Fuzi menyerahkan jawatan ketua pasukan polis itu pada Jumaat, lapor akhbar Malaysia, The Star.

Pada majlis serah tugas itu, Mohamad Fuzi memuji penggantinya dengan berkata: "Beliau adalah insan yang tepat untuk jawatan ini."

"Saya yakin beliau dapat meneruskan legasi kecemerlangan dan melonjakkan lagi nama pasukan polis," kata Mohamad Fuzi dalam laporan The Star.

Abdul Hamid kembali ke PDRM setelah dilantik sebagai timbalan ketua polis negara oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad tidak lama selepas Pakatan Harapan menewaskan kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib dalam pilihan raya umum pada Mei 2018.

Abdul Hamid memilih bersara awal empat tahun lalu selepas kerajaan Najib bertindak mengeluarkannya daripada PDRM. Tindakan itu diambil susulan kelantangannya bersuara menentang skandal yang membelenggui 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sebuah dana negara yang diasaskan Najib pada 2009.

Semasa beliau menjadi timbalan ketua Cawangan Khas PDRM, Abdul Hamid secara terbuka mengkritik pentadbiran Najib dengan mendakwa bahawa perdana menteri itu enggan mengikut nasihat jabatannya berhubung 1MDB.

Mohamad Fuzi, yang berusia 60 tahun pada 4 Mei, menggantikan Khalid Abu Bakar sebagai Ketua Polis Negara pada September 2017. Namun, khabar angin berhubung Mohamad Fuzi mungkin dilepaskan daripada jawatan tertinggi polis itu mula tersebar beberapa minggu selepas beliau membantu kerajaan Pakatan Harapan dalam proses peralihan kuasa.

Pada 10 Mei 2018 - sehari selepas pilihan raya umum – Mohamad Fuzi mengadakan sidang media di Kuala Lumpur di mana beliau menggesa semua pihak supaya memberikan kerjasama bagi melancarkan peralihan kuasa antara kerajaan lama dan baru.

Ketua polis negara, panglima angkatan tentera dan ketua setiausaha negara telah merancang untuk segera menghadap Yang di-Pertuan Agong Malaysia bagi membawa perkara itu kepada baginda untuk mengelak sebarang kekacauan berikutan kekalahan Barisan Nasional.

"Semasa pertemuan itu, kami bersetuju bahawa proses itu perlu dilakukan secepat mungkin," kata Mohamad Fuzi kepada wartawan.

"Kami mahu menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V secepat mungkin bagi memberi penjelasan kepada beliau mengenai peralihan kuasa tersebut," kata Mohamad Fuzi ketika itu.

Tetapi dua bulan kemudian, khabar angin tersebar kononnya Mohamad Fuzi akan dilepaskan daripada jawatan ketua polis negara kerana kegagalannya bertindak pantas semasa skandal 1MDB dibangkitkan kepada umum buat pertama kalinya pada Julai 2015 ketika beliau menjadi ketua Cawangan Khas, cabang perisikan PDRM.

Sumber yang amat diyakini memberitahu BeritaBenar tentang alasan bagi melepaskan Mohamad Fuzi pada masa itu, yang bersara wajib pada Jumaat lalu.

"Kecuaian dalam tugas, kegagalan untuk menyiasat perbuatan jenayah dalam 1MDB," kata sumber itu.

Mohamad Fuzi juga dikecam berikutan kenyataannya yang sering bercanggah mengenai rakan sekutu Najib iaitu pembiaya kewangan Malaysia, Low Taek Jho.

Lebih dikenali sebagai Jho Low, ahli perniagaan itu kini menjadi buruan pihak berkuasa serta menjadi tumpuan utama dalam penyiasatan antarabangsa terhadap skandal 1MDB, di mana berbilion-bilion dolar didakwa telah diselewengkan.

"Jho Low bukan sebahagian daripada 1MDB dan tidak pernah bekerja untuk syarikat itu. Setiap urus niaga perniagaan dibuat oleh lembaga pengarahnya," Mohamad Fuzi dipetik sebagai berkata pada Mac 2018, dua bulan sebelum pilihan raya umum, menurut laporan akhbar bahasa Malaysia, Berita Harian.

Bagaimanapun, Mohamad Fuzi memberitahu perkara yang berbeza selepas Pakatan Harapan mengambil alih kuasa pentadbiran.

Dalam laporan yang disiarkan oleh The Star, Mohamad Fuzi berkata pegawainya telah mengesan Jho Low dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa luar negara termasuk China.

"Perbincangan dengan rakan-rakan kami sedang dijalankan dan beberapa pegawai ditugaskan untuk terlibat dalam perbincangan itu. Saya tahu ramai yang berkata bahawa dia (Jho Low) berada di China tetapi itu tidak pasti," akhbar The Star memetiknya sebagai berkata.

Mohamad Fuzi tidak memberi respon segera terhadap permintaan BeritaBenar untuk mendapatkan komennya.

Abdul Hamid: 'Saya mesti tunjuk contoh yang baik'


Pada 1 Mei, tiga hari sebelum persaraan Mohamad Fuzi, Mahathir mengumumkan bahawa Mohamad Fuzi akan digantikan oleh Abdul Hamid.

Walaupun sudah lama menyertai bidang kepolisan, Abdul Hamid tidak berapa dikenali pihak awam. Tetapi pada 2014, namanya muncul sebagai antara perunding utama di Lahad Datu, semasa sekumpulan pejuang dari Sulu, Filipina melancarkan pencerobohan ke negeri di Timur Malaysia itu.

Abdul Hamid juga menerima Bhayankara Nararya Star iaitu anugerah tertinggi kerajaan Indonesia selepas membantu pihak berkuasa di negara jiran itu melumpuhkan sel yang dikaitkan dengan militan Jemaah Islamiyah (JI) dan pro- Negara Islam (IS).

Dengan pengalaman selama 40 tahun di dalam pasukan PDRM, Abdul Hamid berdepan cabaran yang besar sebagai ketua polis negara: untuk memastikan para pegawai dan anggotanya mematuhi peraturan dan membersihkan sebarang salah guna kuasa dan rasuah dalam pasukan itu.

"Kita mesti tahu bahawa ribuan polis jahat tidak mewakili ratusan ribu polis baik yang ada di luar sana," kata Abdul Hamid kepada akhbar Sun.

"Pegawai dan anggota polis yang baik ini sudah lama dipinggirkan dan saya memberi jaminan kepada mereka bahawa di bawah pemerhatian saya, hanya mereka yang baik sahaja akan diambil kira," beliau dipetik berkata pada Ahad.

"Apa yang penting ialah saya mesti menunjukkan contoh yang baik," katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.