Malaysia Dedahkan Lakaran Wajah Suspek Pembunuhan Jurutera Palestin

Hadi Azmi
Kuala Lumpur
2018-04-23
Share
180423-MY-shooting-620.jpg Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun menunjukkan lakaran wajah dua suspek dalam pembunuhan jurutera Palestin, Fadi Mohamed Al Batsh, di Kuala Lumpur, 23 April 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Polis Malaysia pada Isnin mendedahkan lakaran wajah suspek pembunuhan jurutera Palestin di Kuala Lumpur sambil meminta orang awam tampil menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengenali mereka.

Kumpulan militan Hamas menuduh Israel terlibat dalam pembunuhan Fadi Al Batsh, yang ditembak oleh dua lelaki yang menunggang motosikal pada Sabtu ketika beliau berjalan ke sebuah surau berdekatan rumahnya untuk menunaikan solat Subuh. Israel tidak menafikan atau mengesahkan tuduhan itu.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata, lakaran komputer itu adalah berdasarkan keterangan saksi yang melihat penembak itu, yang dirakamkan oleh video keselamatan ketika menunggu mangsa hampir 20 minit di luar kompleks perumahan itu.

Lakaran itu, yang diedarkan ke semua balai polis dan pintu masuk sempadan di seluruh negara, menunjukkan lelaki yang berjanggut, berkulit cerah daripada keturunan Eropah atau Timur Tengah, kata para penyiasat.

"Seorang daripada mereka mempunyai ciri-ciri wajah yang cukup menonjol dan ... berbadan tegap," kata Fuzi.

Ketua Polis itu berkata, para penyiasat juga mengandaikan jenis motosikal yang digunakan oleh suspek adalah sama ada BMW GS atau Kawasaki Versys. Beliau menggesa sesiapa yang mungkin mempunyai maklumat mengenainya supaya tampil membantu.

Beliau juga mengakui bahawa polis tidak pasti jika lelaki bersenjata tersebut masih berada di negara ini.

Laporan bedah siasat hospital menunjukkan Fadi, 35, ditembak 14 kali pada badan dan kepalanya, kata Fuzi kepada pemberita, sambil memberitahu bahawa suspek melepaskan sekurang-kurangnya 20 tembakan.

Fadi, bapa kepada tiga anak, berada di Malaysia sejak lebih tujuh tahun lalu dan memegang status penduduk tetap negara itu, kata para pegawai.

Universiti Kuala Lumpur, yang mempunyai lebih daripada 30,000 penuntut tempatan dan asing, berkata dalam satu kenyataan bahawa Fadi adalah seorang pensyarah kanannya dan menyertai universiti itu pada 2016.

Menurutnya, Fadi mempunyai ijazah kedoktoran dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik kuasa dari Universiti Malaya serta menerima ijazah sarjana muda dan sarjana dalam bidang kejuruteraan elektrik dari Universiti Islam Gaza, sebuah institusi pendidikan bebas di Semenanjung Gaza.

Hamas dan saudara mara Fadi menuduh Mossad, agensi perisikan Israel, mempunyai kaitan dengan pembunuhan itu, menurut laporan.

Pada Ahad, Menteri Pertahanan Israel, Avigdor Lieberman, berkata, negaranya  "tidak mempunyai sebab untuk menitiskan air mata" terhadap pembunuhan Fadi, menurut akhbar harian Israel, Haaretz. Beliau mengulas bahawa pembunuhan tersebut mungkin disebabkan oleh "tindakan penyelesaian di kalangan organisasi pengganas."

Lelaki bersenjata menyamar


Hamas tidak mendedahkan peranan Fadi dalam kumpulan militan Islam, tetapi menggambarkannya sebagai ahli.

Wall Street Journal (WSJ) melaporkan bahawa ketika keluarga Fadi dan berpuluh-puluh orang lain berkumpul di Gaza pada Ahad, satu tanda di luar sebuah khemah tertera: "Briged Qassam meratapi pemimpinnya yang mati syahid. Jurutera Fadi Mohammed al-Batsh. "

Briged Izz al-Din al-Qassam adalah sayap tentera Hamas dan anggota bersenjata kumpulan itu berpakaian secara penyamaran semasa menghadiri perhimpunan itu, kata WSJ.

Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi memberitahu agensi berita nasional, Bernama, pada Sabtu bahawa Fadi aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan pro-Palestin dan merupakan pakar dalam kejuruteraan elektrik dan pembinaan roket.

Zahid berkata beliau mengesyaki perisikan asing mungkin  bertanggungjawab terhadap pembunuhan itu tetapi tidak memberikan bukti untuk menyokong dakwaannya.

Namun, Hafidzi Mohd Noor, pengerusi NGO Islam MyCare, menolak dakwaan Zahid.

"Dia seorang jurutera elektrik dan pakar dalam bidang kuasa dan elektronik. Tidak pernah menjadi saintis roket atau pakar drone," kata Hafidzi, yang bekerja dengan Fadi, kepada BeritaBenar pada  Sabtu.

Fauziah Mohd Hasan, wakil dari Rose2Rose, sebuah NGO yang bekerja dengan wanita Palestin, pula memberitahu BeritaBenar bahawa beliau melawat Enaas, balu Fadi, di kediaman mereka di Kuala Lumpur beberapa jam selepas pembunuhan itu.

"Beritahu saya, ini hanyalah mimpi ngeri apabila saya bangun dari tidur," Fauziah memetik Enaas sebagai berkata.

Katanya, wanita yang berusia 30 tahun itu tidak dapat menahan perasaannya walaupun dikelilingi oleh keluarga dan rakan-rakannya.

Duta Palestin ke Malaysia, Anwar Al Agha, memberitahu BeritaBenar pada Isnin bahawa Kuala Lumpur telah meluluskan permintaannya untuk membawa pulang jenazah Fadi ke wilayah Palestin dengan penerbangan melalui Mesir.

"Persiapan sedang dilakukan. Mungkin dalam masa dua hingga tiga hari. Apa yang kita perlukan adalah kelulusan daripada kerajaan Mesir untuk membolehkan kita melalui kawasannya, "kata Anwar.

Malaysia, sebuah negara majoriti Muslim yang mempunyai 32 juta penduduk, tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan Israel. Ia menjadi tuan rumah kepada duta dan kira-kira 3,000 orang penduduk Palestin, kebanyakannya pelajar universiti.

Sejak beberapa tahun lalu, para pegawai Malaysia menafikan tuduhan perkhidmatan keselamatan Israel bahawa ahli-ahli Hamas sedang berlatih di bumi Malaysia bagi menjalankan operasi ketenteraan terhadap Israel.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh